Jangan terlalu teruja dengan saham atau derivatif
Dalam keadaan semasa, ramai yang teruja untuk melabur dalam saham atau derivatif niaga hadapan komoditi. Ini tidak menghairankan kerana harga saham dan komoditi telah naik melambung.
Tetapi kita perlu ingat bahawa apa yang naik juga boleh turun, seperti junaman 50 mata pasaran saham pada dua minggu lepas.
Mungkin seseorang tidak harus terlalu ghairah untuk melabur, terutamanya jika kewangan belum lagi kukuh. Bagi saya pulangan bersih yang diberikan oleh Tabung Haji atau Amanah Saham Kerajaan adalah agak baik kerana tidak mempunyai risiko.
Perkara paling penting ialah bina simpanan anda terlebih dahulu. Tanpa simpanan yang mencukupi jangan melabur dalam saham atau derivatif.
Ramai yang tertarik dengan derivatif seperti FCPO, iaitu niaga hadapan minyak sawit kerana faktor leveraj atau pengganda yang diberikan. Ini kerana kita perlu mendeposit hanya nilai margin tertentu untuk mengawal pelaburan sehingga berkali-kali ganda pelaburan yang dibuat. Selain itu, pelabur yang kekurangan wang juga sering melabur menggunakan margin (hutang).
Faktor leveraj atau pengganda akan membolehkan seseorang itu untung besar tetapi berpotensi untuk menyebabkan kerugian besar. Begitu juga pelaburan saham menggunakan margin.
Pada pendapat saya kita perlu membina tabungan dulu dan menutup segala hutang penggunaan (iaitu hutang kad kredit, hutang peribadi dan hutang lain yang tidak bercagaran) sebelum melabur sendiri dalam saham.
Tabungan yang saya maksudkan di sini bukanlah pelaburan dalam unit amanah tetapi akaun simpanan atau pelaburan yang nilainya tetap dan tiada risiko kerugian.
Perlu diingat bahawa bukan mudah untuk buat duit di pasaran saham atau pasaran derivatif dan ramai yang menganggap atau mendakwa mereka boleh menjana pendapatan untuk menyara hidup daripada kedua-dua pasaran ini, tetapi realitinya berbeza.
Pada pendapat saya, tujuan kita melabur adalah untuk mengembangkan dana kita, bukan untuk menyara hidup setiap bulan. Untuk menyara hidup, kita perlu bekerja atau berniaga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan