03 Januari, 2011

2010 Cemerlang, Bagaimana dengan 2011?

Ramai pakar meramalkan indeks akan terus naik pada 2011

Tahun 2009 dan 2010 begitu cemerlang bagi pasaran saham. Pasaran telah naik buat dua tahun berturut-turut dan kenaikan secara agregat untuk dua tahun mencecah angka lebih 70%.

Selain itu, indeks utama FBM KLCI telah mencapai paras tertinggi dalam sejarah apabila mencecah paras lebih 1530 mata separuh kedua tahun ini.

Berikut adalah prestasi FBM KLCI dan FBM Emas Syariah dan perbandingan antara kedua-duanya:

FBM KLCI 2 Tahun

FBM Emas Shariah 2 Tahun


Perbandingan FBM KLCI (Merah) vs Emas Shariah

Dipetik daripada Bursastation 

FBM KLCI terdiri daripada 30 saham bermodal besar di Bursa Malaysia sedangkan Emas Shariah pula ialah indeks yang lebih menyeluruh yang merangkumi sebahagian besar daripada saham yang patuh Syariah di Bursa Malaysia.

Kita dapati bahawa.FBMKLCI telah naik daripada kira-kira 893 mata kepada 1518 mata atau kenaikan kira-kira 70% manakala FBM Emas Shariah telah naik daripada kira-kira 6059 mata kepada 10058 mata atau kenaikan kira-kira 66% 

Sementara itu, kita tinjau pula prestasi FBM100 dan FBMSmallCap (Merah)

FBM100 vs FBM SmallCap

Dipetik daripada Bursastation

FBM100 terdiri daripada 100 saham utama di Malaysia sedangkan FBM Small Cap mengukur prestasi sebahagian besar saham di luar FBM100.

Kita dapati bahawa FBM100 telah naik 76.2% manakala FMB Small Cap telah meningkat sebanyak kira-kira 87%.  Maksudnya ialah semua sektor pasaran telah naik dengan ketara daripada tahap terendah yang dicapai pada 2008/2009.

Sesetengah pelabur, termasuk saya juga sebelum ini, bimbang sama ada paras ini dapat dikekalkan, namun begitu keadaan ekonomi dan prestasi syarikat ternyata lebih baik daripada yang dijangka dan memang mampu menyokong saham pada paras ini.

Bagi 2011, kebanyakan syarikat broker dan firma penganalisis meramalkan bahawa saham akan naik ke paras lebih 1,600 dan ada juga yang meramalkan ke paras lebih 1,700.

Pelabur pasaran sedang membangun tersohor, Mark Mobius, juga mendakwa bahawa pasaran sedang membangun berada dalam 'secular bull market'.  Menurut beliau penurunan akan berlaku sekali-sekala tetapi rata-rata dalam jangka sederhana hingga panjang, pasaran akan naik.

Dari segi risiko pula, antara risiko yang dihadapi termasuk inflasi, kenaikan kadar faedah, keadaan ekonomi China dan kegawatan semasa di Eropah.  Keadaan ekonomi Amerika sudah stabil dan kian pulih.

Walau apa pun, petunjuk ekonomi China juga perlu diperhatikan kerana sekarang ini China merupakan salah satu faktor yang memacu ekonomi seluruh Asia.

Secara kesimpulannya, faktor yang akan memacu pasaran pada tahun 2011 ialah minat pelabur asing dan pelabur institusi tempatan terhadap saham Malaysia, paras keuntungan syarikat dan keadaan ekonomi global yang diterajui oleh China dan Amerika.

Tiada ulasan: