Bahagian 1: Mengamalkan hidup tanpa riba dan gharar
Dengan kemajuan pesat kewangan dan pelaburan Islam di Malaysia, kita sepatutnya sudah boleh membebaskan diri daripada segala unsur riba dan gharar.
Apa yang boleh kita lakukan ialah mengaudit kewangan dan amalan kewangan kita dan melihat di mana kita masih mengamalkan riba. Perubahan tidak perlulah dilakukan sekaligus tetapi beransur-ansur (ini pandangan saya) sehingga akhirnya tiada lagi unsur riba dalam kehidupan kita.
Berikut ialah cara kita boleh berhijrah kepada instrumen kewangan patuh syariah, yang mencakupi perlindungan kewangan, pinjaman, simpanan dan pelaburan.
1. Insurans kepada Takaful
Ini mungkin sukar dilakukan terutamanya jika kita sudah ada insurans sejak dari dulu. Namun begitu sekarang ada syarikat yang benarkan kita migrate kepada takaful dengan mendapatkan segala manfaat dan mengekalkan premium (dalam takaful dinamakan sumbangna) skim lama. Pilihan kedua ialah menyerahkan (surrender) insurans dan mendapatkan nilai tunai dan mengambil takaful baru. Ini mungkin menyebabkan kita rugi sedikit dari segi kos dan juga manfaat.
Dalam pada itu, bagi insurans tanpa unsur pelaburan atau simpanan seperti insurans kebakaran atau kereta, kita boleh tukar kepada takaful pada tarikh pembaharuan seterusnya. Sekarang ini terdapat skim takaful bagi hampir semua jenis insurans konvensional, termasuklah kad perubatan bagi insurans perubatan.
2. Pinjaman kepada Pembiayaan Islam
Memang berat bagi kita untuk menukar kerana jika kita sudah ada pinjaman konvensyenal, mungkin ada tempoh sekatan tertentu sebelum kita boleh biaya semula kepada pembiayaan Islam. Pada pendapat saya, kita boleh tunggu sampai tempoh penalti (lazimnya lima tahun) dan selepas itu biayai semula dengan pembiayaan Islam. Perubahan ini amat penting dan perlu dititikberatkan dan tidak boleh dipandang ringan.kerana amalan riba adalah dosa yang sangat besar.
Apabila anda membuat keputusan untuk mengambil pembiayaan Islam, diharapkan anda mendapatkan pembiayaan Musyarakah Mutanaqisah dan bukannya BBA kerana pada pendapat saya terlalu banyak kelemahan dalam kontrak BBA sedangkan bagi Musyarakah Mutaqisah, kontraknya lebih adil dan telus.
3. Kad Kredit kepada Kad Debit/Kredit/Kad Caj Islam
Sebenarnya jika anda gunakan kad kredit secara tidak berhutang, iaitu membayar balik kad kredit tepat pada masanya, anda tidak terlibat dalam riba, tetapi untuk mengelakkan keraguan atau kemungkinan bayar lewat yang menyebabkan faedah dikenakan ada baiknya jika tukar kepada pilihan seperti Kad Debit, Kredit atau Kad Caj Islam.
Pada pendapat saya, pilihan terbaik ialah Kad Debit kerana saya memang kurang senang dengan hutang. Saya juga kurang setuju dengan kontrak yang digunakan bagi Kad Kredit Islam di Malaysia, iaitu Al-Inah, yang pernah saya sebutkan di beberapa posting lain dalam blog, kerana mempunyai unsur hilah di dalamnya.
Jika perlu juga kad yang membolehkan anda berhutang, dapatkan kad caj yang dikeluarkan oleh Bank dari Timur Tengah seperti Al-Rajhi kerana saya lebih selesa dengan mekanisme urus niaganya. Tetapi ini hanya pendapat peribadi dan terpulang kepada anda untuk memilih yang mana sesuai untuk anda
Bahagian 2 akan membincangkan tentang simpanan dan pelaburan.
3 ulasan:
Salam.
Yeala... saya pun berusaha ke arah tu. Kini kereta ke-2 guna pembiayaan Islamik.
Saya ada pertanyaan... Adakah CPO itu patuh syariah?
Saya memang bercadang nak hadiri kursus CPO.
sekian.
Salam,
Majlis Syariah SC menetapkan bahawa CPO Futures adalah patuh syariah.
Mungkin ada satu dua pendapat lain yang mengatakan kontrak perlu dipegang sehingga settlement baru boleh dan tak boleh dijual beli selepas urus niaga pertama sehinggalah settlement dan settlement mesti dibuat dengan produk fizikal (iaitu deliver CPO secara fizikal)
Tapi saya lebih cenderung untuk setuju dengan pandangan SC.
bagaimana pula dgn pembiayaan homeflexi-i dari bank cimb dan hsbc adakah ianya patuh syariah, nampak mcm menarik..skrg ni dgn bank islam BBA..lg 3 tahun lock period habis cadangnya nk refinance le ngan cimb or hsbc bank..ok ke ? tlg bantu
Catat Ulasan