30 November, 2009

Risiko Kepada Pasaran Saham

Ekonomi dunia belum pulih sepenuhnya;
Perlu tangani arus kegawatan kedua

Walaupun pasaran saham sedunia telah naik dengan ketara tahun ini, ramai yang berpendapat bahawa kenaikan ini terlalu optimistik memandangkan masalah ekonomi dunia belum selesai.

Memang benar 'the worst is over', iaitu tahap terendah dan situasi paling serius telah berlalu bagi ekonomi dunia, tetapi ia masih belum pulih sepenuhnya. Tetapi jika dilihat daripada kenaikan pasaran, seolah-olah kegiatan perniagaan global telah kembali berkembang pesat.

Nouriel Roubini, pakar ekonomi yang meramalkan kegawatan serius 2008 / 2009 berkata pasaran akan kembali menghadapi realiti sebenar tidak lama lagi. Saya tak tahu setakat mana ketepatan ramalannya tetapi terdapat tanda-tanda bahawa unjuran beliau mungkin mula menjadi kenyataan.

Bukti pertama ialah permintaan Dubai menangguhkan bayaran hutang bernilai RM60 billion (lihat posting saya sebelum ini). Kedua ialah risiko 'US$ carry trade', iaitu pinjaman yang dibuat pada kadar rendah dan dilaburkan di pasaran Asia. Aliran masuk wang ini dinamakan 'hot money'. Perlu diingat 'hot money' ini boleh keluar sepantas ia masuk.

Ketiga Bundesbank (Bank Pusat Jerman) meramalkan masalah lanjut dalam sistem perbankan, dengan kerugian berbilion lagi dollar dijangkakan di kalangan Bank di Jerman. Keempat, Bank Pusat di Eropah sudah menunjukkan tanda-tanda bahawa kadar faedah akan dinaikkan, dan jika ini berlaku, bekalan wang akan berkurangan dan pasti menjejaskan pasaran saham.

Sebenarnya tahun ini kita telah melihat ekonomi meleset tetapi pasaran saham naik (berasaskan ramalan pemulihan). Tetapi separuh pertama tahun depan, kita mungkin melihat pula ekonomi mula berkembang secara positif, tetapi pasaran saham menyusut (kerana pemulihan tidak sekukuh yang dijangka).

Hakikatnya Malaysia terlepas daripada kesan serius kegawatan. Di samping itu, pasaran saham Malaysia juga tidak naik terlalu tinggi seperti beberapa pasaran lain, termasuk China yang naik lebih 100%. Kedudukan bank di Malaysia juga amat kukuh dan banyak syarikat yang mencatatkan prestasi yang baik.

Namun begitu, syarikat dan pasaran saham Malaysia tidak akan terlepas daripada apa yang berlaku di luar negara. Justeru pada pandangan saya, faktor global mengatasi faktor lokal dalam keputusan pelaburan saya.

Walau apa pun, pelabur harus sentiasa bersedia. Wang yang dikeluarkan daripada pasaran saham boleh digunakan untuk membeli kembali jika pasaran jatuh dan banyak saham kembali ke tahap undervalued.

27 November, 2009

Dubai World Mula Goyah

Pertumbuhan tidak terbatas akhirnya bawa padah

Semalam, 26, Nov., Dubai World, iaitu bahagain pelaburan milik kerajaan Dubai, mengumumkan bahawa ia telah meminta para peminjam untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman terhadap hutang yang ditanggung bernilai $60 bilion.

Pengumuman ini memeranjatkan pasaran dunia, kerana jika Dubai World gagal membayar balik pinjaman, maka banyak bank yang memberikan pinjaman kepadanya akan merasai kesannya.

Selain itu, satu lagi persoalan yang menjadi tanda tanya ialah projek-projek yang dilaksanakan oleh Dubai World. Jika projek-projek ini terjejas, maka sesetengah tempat di Asia pasti merasai kesannya, terutamanya syarikat yang terlibat dengan projek di Dubai, dan ini satu perkembangan yang agak membimbangkan.

Di Malaysia sahaja kita dapat lihat bahawa Dubai World telah membatalkan MoU dengan MMC bagi satu projek di Malaysia dan membatalkan hasratnya untuk melabur dalam Bank Islam. Berita tersebut mungkin petanda awal kepada situasinya sekarang.

Dubai ialah sebuah bandar yang berkembang sangat pesat pada alaf baru, mungkin perkembangannya terlalu pesat. Dengan pelbagai projek membina bangunan canggih dan hotel mewah yang jauh lebih mewah daripada apa yang dianggap mewah di sini, cita-cita tidak terbatas telah menggoncang kedudukannya. Mungkin situasinya begitu 'surreal' dan kini mereka terpaksa berpijak di bumi nyata.

Situasi ini lebih dekat dengan Asia. Di Asia sekarang ini terdapat sedikit 'bubble' dalam pasaran saham, walaupun kenaikan saham tidak begitu ketara di Malaysia berbanding pasaran lain di Asia. Masalah Dubai World ini pasti menjejaskan pasaran saham rantau ini dan global. Adakah ini jarum kecil yang akan menusuk buih-buih kenaikan pasaran yang sedang membuak-buak? Terpulang kepada anda untuk membuat penilaian.

Saya sendiri tak begitu pasti, tetapi selama dua tiga minggu ini, seperti yang saya nyatakan dalam posting saya baru-baru ini, saya lihat seperti indeks di Malaysia sudah penat mendaki. Saya telah mengeluarkan lebih 50% daripada wang daripada pasaran. Pelaburan yang tinggal hanya syarikat yang sangat menguntungkan sahaja.

Selamat Hari Raya Haji diucapkan kepada para pembaca.

22 November, 2009

Feeder Fund dan Fund of Funds

Melabur Di Luar Negara Menerusi Dana Kepada Dana

Selain daripada dana yang melabur dalam saham, bon dan instrumen pasaran wang, terdapat dana yang melabur dalam dana lain yang lazimnya terbahagi kepada dua jenis, iaitu feeder fund atau dana pembekal; dan juga fund of funds atau dana kepada dana. Umumnya di Malaysia, feeder funds dan fund of funds digunakan untuk melabur dalam dana luar negara.

Feeder fund ialah dana yang melaburkan semua dananya dalam satu dana induk. Struktur begini digunakan ialah untuk memudahkan pelabur dari negara berbeza untuk melabur dalam satu dana. Sebuah Master Fund atau Dana Induk ditubuhkan di satu negara atau di luar pesisir dan kemudian feeder fund dibuka di negara-negara lain untuk mengumpulkan pelaburan daripada pelabur daripada negara-negara tersebut.

Justeru pelabur dari negara berlainan boleh melabur dalam satu dana yang sama. Sistem Master-Feeder ini membolehkan pelabur sesuatu negara melabur dalam dana di negara lain atau di luar pesisir dengan mudah, mengikut peraturan pelaburan yang ditetapkan di negaranya sendiri. Contoh feeder fund di Malaysia termasuk Alliance Global Diversified Property Fund yang melabur dalam Fidelity Global Property Fund dan juga Prudential Global Market Navigator yang melabur dalam dana Global Market Navigator oleh International Opportunities Funds yang didaftarkan di Luxembourg.

Fund of funds pula ialah dana pelaburan yang hanya melabur dalam beberapa dana lain. Di Malaysia, dana seperti ini perlu melabur dalam sekurang-kurangnya lima unit amanah lain pada setiap masa dan tidak lebih daripda 30% daripada nilai aset bersih Fund of Funds boleh dilaburkan dalam mana-mana dana tunggal.

Fund of Funds juga merupakan satu kaedah yang digunakan untuk melabur dalam dana di luar negara. Antara contoh fund of funds ialah Global Asset Spectra Fund yang melabur dalam dana ekuiti, bon hartanah dan komoditi global dan juga TA European Equity Fund yang melabur dalam dana ekuiti temaptan dan juga asing dan juga REIT dan ETF yang melabur di Eropah.

Bagaimana dengan yuran dan risiko yang dihadapi oleh dana-dana seperti ini? Umumnya yuran pengurusan adalah lebih tinggi sedikit, iaitu 1.8%. Suruhanjaya Sekuriti telah menetapkan bahawa pelabur hanya boleh dikenakan yuran sekali, iaitu di peringkat dana pembekal atau dana sasaran, dan tidak boleh dikenakan yuran dua kali. Yuran perkhidmatan/jualan juga lebih kurang sama dengan unit amanah biasa. Walau apa pun, pelabur dinasihatkan untuk membaca prospektus untuk mendapatkan kepastian tentang kos dana tertentu.

Bagaimana pula dengan risiko yang dihadapi? Sebenarnya risiko adalah sama dengan risiko yang dihadapi apabila melabur dalam unit amanah Malaysia kecuali pelabur terdedah kepada keadaan ekonomi dan kadar faedah pasaran di mana dana tersebut dilaburkan. Justeru, untuk mengetahui setakat mana pendedahan mereka, pelabur perlu memastikan pasaran sasaran dan membuat kajian tentang pasaran negara tersebut.

Satu lagi risiko yang wujud ialah risiko pergerakan mata wang yang berpotensi menambah atau mengurangkan pulangan yang diterima oleh pelabur dana di peringkat tempatan berbanding dana sasaran yang dilaburkan di peringkat antarabangsa. Selain itu, pelabur juga harus berhati-hati tentang kaedah operasi dana sasaran, iaitu sama ada ia menggunakan hutang untuk melabur atau menggunakan instrumen derivatif.

Pada pendapat saya kedua-dua cara ini merupakan kaedah yang selamat untuk melabur dalam dana yang terlibat di pasaran luar negara, kerana pelaburannya diawasi oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

20 November, 2009

Perhatikan Tindak-Tanduk Orang Dalam

Petanda kurang baik jika pegawai kanan jual saham

Baru-baru ini sebuah syarikat bernama Lityan telah disenaraikan semula di pasaran saham selepas menjalani penyusunan semula. Ini memang menjadi perkara biasa cuma yang mencuit perhatian ialah harganya telah naik secara mendadak sehingga hampir mencecah RM3.

Kenaikan ini pun tak menjadi masalah, tetapi perkara yang membimbangkan ialah apabila pengarah urusannya dikatakan menjual saham pada harga lebih kurang RM3 (menurut The Edge) di pasaran terbuka.

Tidak ada apa yang salah tentang urus niaga ini, kerana pemimpin syarikat mungkin menerima opsyen saham atau memiliki saham dan mahu mengambil untung daripada saham syarikat apabila ia mula disenaraikan semula.

Namun begitu kita sebagai pelabur perlu risau tentang perkara ini kerana apabila orang dalam syarikat menjual, ini bermakna mereka berpendapat harga sudah sampai ke tahap yang sama dengan nilai syarikat atau lebih tinggi daripada nilai syarikat.

Sudah tentulah dari segi peribadi, mereka akan jual jika mereka anggap ini untung tertinggi yang boleh mereka capai, dan sebagai orang dalam, malah pemimpin syarikat, mereka tahu nilai sebenar syarikat mereka.

Beberapa tahun dahulu Pengasas Gamuda ada menjual sahamnya dan penjualan tersebut menimbulkan tanda tanya pelabur. Seperti yang dijangka, harga saham Gamuda jatuh dengan ketara selepas itu. Jika kita lihat harga Lityan hari ini ialah RM2.44.

Saya ingin menekankan bahawa tindakan menjual saham oleh pegawai kanan adalah perkara biasa, tetapi kita sebagai pelabur kecil perlu akur bahawa orang dalam lebih tahu dari kita tentang hal ehwal syarikat. Jika mereka mula menjual, kita pun patut mempertimbangkan perkara yang sama, kecuali kalau ada sebab munasabah, seperti menjual kepada pemegang saham institusi besar dan sebagainya.

Sementara itu, pembelian orang dalam atau pembelian balik saham oleh syarikat pula memberikan persepsi yang sebaliknya, iaitu persepsi positif kerana ini menunjukkan keyakinan mereka terhadap syarikat dan mereka berpendapat harga saham akan naik lagi kepada nilai yang mencerminkan nilai sebenar. Situasi ini bukannya benar dalam semua keadaan tetapi umumnya begitu.

Justeru kita sebagai pelabur kecil harus sentiasa peka dengan tindak-tanduk orang dalam. Berita mengenai jual beli orang dalam akan diumumkan di Laman Web Bursa atau akhbar kewangan utama.

15 November, 2009

MIER: Ada Risiko Kemelesatan Lanjut

Peluang 50% Ekonomi Dunia Akan Meleset
Pada Separuh Pertama 2010

MIER baru-baru ini memberi amaran bahawa ekonomi global mungkin menghadapi kemelesetan lanjut pada separuh pertama tahun 2010, disebabkan oleh situasi di AS.

Menurut Pengarahnya Datuk Mohd Ariff, pemulihan ekonomi semasa yang digambarkan menerusi angka KDNK positif adalah disebabkan oleh pakej rangsangan besar-besaran oleh Kerajaan AS dan kerajaan lain, termasuk Malaysia.

Apabila rangsangan tidak lagi diberikan, keadan sebenar kegiatan ekonomi akan dilihat, dan menurut beliau ekonomi sebenar masih lagi belum kukuh.

Menurutnya, jika perkara di atas berlaku, maka ramalan pertumbuhan ekonomi 3% Malaysia mungkin sukar dicapai kerana Malaysia amat bergantung kepada eksport dan perdagangan sebagai pemacu ekonomi.

Semakin hari kita mendengar lebih banyak amaran tentang ekonomi, terutamanya daripada pakar ekonomi, termasuk Nouriel Roubini, yang terkenal kerana meramalkan kemesetan ekonomi global yang terkini.

Namun bukan semua yang berpendapat sedemikian, kerana ramai juga pakar ekonomi dan pakar saham lain yang berpendapat kemelesetan telah berakhir.

Jadi pandangan mana yang harus diikuti jika kita mempunyai wang dalam pasaran saham? Sukar untuk tentukan, tetapi secara peribadi saya rasa dalam keadaan sekarang kita perlu berhati-hati apabila membuat pelaburan kerana indeks telah naik tinggi dan pada satu masa kelak, rangsangan akan dihentikan dan kadar faedah akan dinaikkan kembali.

Pendek kata dalam tempoh terdekat ini...'anything can happen'

11 November, 2009

Ceramah Panduan Bijak Melabur







Jemputan ke Hari Terbuka Truewealth Publications


Pada 13 - 15 November ini, syarikat penerbit Truewealth Publications akan mengadakan Hari Terbuka dan jualan murah untuk menghabiskan stok. Pelbagai diskaun menarik ditawarkan kepada pengunjung, ada yang sehingga 70%.

Selain daripada diskaun, beberapa orang penulis, termasuk saya, akan hadir untuk memeriahkan acara. Ada di antara penulis yang akan menyampaikan ceramah selama satu jam mengenai buku masing-masing. Pengunjung boleh menghadiri ceramah ini secara percuma. Ini satu peluang yang baik untuk meningkatkan ilmu pengetahuan anda.

Ceramah saya adalah seperti berikut:

Tarikh: Sabtu, 14 November
Masa : 2.30 ptg - 3.30 ptg
Tajuk : Pemilihan Saham dan Peruntukan Aset

Saya harap dapat bertemu dengan anda di acara ini. Layari laman web Truewealth untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Alamat TrueWealth Publications:

A-2-11, Dataran Glomac, Jalan SS6/5A, Pusat Bandar Kelana Jaya, 47301 Petaling Jaya, Selangor (Peta).

08 November, 2009

Anda Pelabur atau Pedagang?

Pastikan matlamat pelaburan saham anda jelas

Pada hari Sabtu lepas (7 Nov.), saya menghadiri satu seminar anjuran Shareinvestor/Bursastation membabitkan tiga penceramah. Salah seorang daripada mereka ialah Dr Michael Leong, pengasas Shareinvestor.

Beliau menegaskan (dan saya amat bersetuju) bahawa seseorang pelabur perlu menentukan mengapa beliau membeli saham. Soalan yang perlu ditanya ialah, adakah anda melabur atau berdagang?

Ini penting kerana cara anda membuat keputusan jual beli adalah berbeza sama sekali apabila anda melabur atau berdagang. Malah jika kadangkala anda membeli untuk jangka panjang dan kadangkala anda berdagang untuk satu dua hari, anda dinasihatkan memisahkan wang pelaburan dan wang dagangan saham.

Jika anda melabur, anda perlu membuat penilaian syarikat, keuntungannya, asetnya, hutangnya dan banyak lagi untuk mengetahui potensi saham syarikat memberikan pulangan kepada anda. Anda juga mengharapkan potensi ini akan direalisasikan dalam jangka masa yang agak panjang dalam bentuk kenaikan harga atau pembayaran dividen kepada anda.

Sebaliknya jika anda berdagang, iaitu menjual beli dalam jangka pendek, perkara paling penting ialah sentimen, momentum, volum, sokongan dan rintangan dan pelbagai faktor teknikal lain yang boleh ditelaah menerusi analisis teknikal. Faktor keuntungan, aset dan sebagainya tidak lagi menjadi perkara penting.

Malah jika anda berdagang, anda perlu berdagang dengan cara yang tersusun. Perkara paling penting ialah strategi hadkan kerugian atau stop loss yang ditetapkan mungkin pada 5% 7% atau 10% (terpulang kepada anda).

Maksudnya ialah apabila harga saham turun ke tahap yang sudah ditetapkan, anda akan menjual saham walaupun anda rugi untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar. Dengan cara ini, anda dapat mengawal risiko anda pada setiap masa. Malah anda perlu berdisplin untuk mematuhi penetapkan stop loss.

Anda tidak boleh kata bahawa apabila saham jatuh ke tahap stop loss, anda tukar objektif anda daripada berdagang menjadi pelaburan jangka panjang. Tindakan ini adalah amat berbahaya sekali. Seperti yang ditekankan, jika anda melabur, buat cara melabur dan bila berdagang buat cara berdagang. Jangan campurkan atau tukar strategi di tengah jalan.

Kesimpulannya ialah apabila anda membeli, anda perlu jelas mengapa anda membeli saham tersebut. Selain itu, anda juga perlu menetapkan matlamat khusus bagi seluruh portfolio pelaburan anda. Pastikan anda mematuhi strategi yang ditetapkan di peringkat awal. Kejayaan dalam pelaburan saham banyak bergantung kepada disiplin pelabur.

Nota: Saya akan menyampaikan 'talk' selama satu jam di Hari Terbuka Truewealth, Sabtu 14 Nov. pada jam 2.30 ptg. Para pembaca dijemput hadir dan masuk adalah percuma.

04 November, 2009

Penilaian Akaun Al-Awfar Bank Islam

Perbandingan AL-Awfar dengan pilihan pelaburan lain

Produk simpanan dan pelaburan Al-Awfar telah diperkenalkan oleh Bank Islam pada Mac tahun ini (2009). Produk ini menawarkan hadiah lumayan kepada penabung dan pelabur bertuah. Pada mulanya saya tak mengendahkan produk ini sebab saya kurang berminat terhadap produk dengan unsur cabutan. Bukan sebab meragui kesahihannya, cuma saya tak suka simpanan di mana kalau tak menang hadiah, tiada sebarang pulangan diterima (seperti sijil simpanan BSN).

Tetapi apabila meneliti sekali lagi, saya dapati produk ini agak inovatif kerana ia tetap menyediakan pulangan kepada pelabur, DAN memberi peluang kepada mereka memenangi hadiah. Terdapat dua jenis akaun, iaitu akaun simpanan (pembahagian untung 98% bank dan 2% penyimpan) dan akaun pelaburan (70% bank dan 30% pelabur).

Hadiah tertinggi yang ditawarkan ialah RM100,000 dan cabutan dibuat tiga bulan sekali. Setiap simpanan atau pelaburan RM100 diberikan satu penyertaan. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Bank Islam.

Dari segi kesahihan produk dan kontraknya, selepas membaca dengan lebih lanjut hukum dan dalil yang diberikan, saya boleh katakan saya yakin, tidak seperti produk Pinjaman Peribadi atau Pinjaman ASB Islam yang saya amat was-was. (Cari Al-Awfar dalam enjin pencarian untuk mengupas lebih lanjut tentang persoalan sama ada produk ini patuh syariah).

Saya hanya akan menyentuh perkara yang paling penting yang dikehendaki oleh pembaca blog saya, iaitu adakah produk ini menguntungkan mereka.

Umumnya ramai yang pasti tertarik dengan janji hadiah lumayan yang diberikan. Tetapi kita perlu teliti sama ada ia benar-benar menguntungkan. Rata-rata pulangan bagi Akaun Simpanan Pelaburan adalah rendah jika dibandingkan dengan pulangan yang diberikan oleh ASB, ASW dan Tabung Haji.

Justeru adakah peluang memenangi hadiah cukup untuk membuatkan anda memindahkan wang anda ke akaun ini? Perlu diingat bahawa hadiah besarnya ada sepuluh sahaja, iaitu 1 hadiah RM100,000, 1 hadiah RM10,000, 1 hadiah 5,000, 3 hadiah Rm1,000 dan 5 hadiah RM500.

Melainkan anda menang hadiah pertama, kedua atau ketiga anda akan rugi kerana melepaskan peluang untuk meraih pulangan lebih tinggi menerusi instrumen pelaburan lain. Secara peribadi, saya tidak suka ketidakpastian atau bergantung kepada nasib.

Jika anda tiada masalah dengan ASB dan ASW, jadikanlah kedua-duanya pilihan utama. Jika tidak, simpan wang anda di Tabung Haji. Tetapi jika anda masih teruja dengan peluang memenangi hadiah, maka anda boleh pindahkan wang anda ke Al-Awfar, siapa tahu anda mungkin bertuah.

Justeru berasaskan penilaian saya, tabungan/pelaburan risiko rendah terbaik masih lagi ASW, ASW dan Tabung Haji. Tetapi jika anda mahu membuka akaun simpanan di Bank untuk kegunaan biasa (bukan untuk tabungan) maka Al-Afwar adalah pilihan yang bijak kerana sambil anda menggunakan kemudahan akaun bank, anda berpeluang untuk menang.

01 November, 2009

Indeks Perlu Rehat Selepas Penat Mendaki

Dalam Keadaan Semasa Pemilihan Saham Amat Penting

Pasaran saham Malaysia, dan juga negara-negara lain menyaksikan kenaikan mendadak dalam tempoh enam bulan lepas. Indeks telah naik dari sekitar 800 kepada 1270 sebelum jatuh sedikit pada minggu lepas.

Dipetik dari Bursa Station

Ramai yang memang sudah meramalkan bahawa pasaran akan jatuh kerana telah naik begitu tinggi dengan sangat pantas. Justeru adalah mustahil jika pasaran terus naik dan naik sedangkan pemulihan ekonomi baru nak bermula.

Saya telah berulang kali mengatakan dalam blog saya, dalam buku saya dan dalam rencana saya di Dewan Ekonomi bahawa masa paling baik untuk membeli ialah dalam keadaan paling gawat dan apabila semua orang lain takut untuk membeli saham. Malah saya ada menulis artikel bertajuk Peluang Dalam Kegawatan yang diterbitkan dalam majalah DE pada Disember 2008.

Jika anda membeli pada waktu itu, anda tidak perlu bijak memilih saham untuk mendapat untung. Hampir apa sahaja saham yang dipilih naik.

Namun begitu situasi tersebut telah berakhir di mana sekarang ini indeks telah kembali ke tahap sepatutnya. Pada masa ini ada saham yang sudah overvalued kerana naik terlalu tinggi, ada yang fairly valued dan masih banyak juga yang masih undervalued.

Jika semasa gawat, peruntukan aset menentukan sebahagian besar daripada pulangan, maka dalam keadaan semasa, pemilihan saham yang bijak lebih penting untuk menentukan pulangan anda.

Justeru pelabur perlu lebih berhati-hati dan teliti dalam pemilihan saham dalam keadaan sekarang untuk memastikan mereka mendapat pulangan yang sewajarnya. Tidak kiralah sama ada anda gunakan analisis asas atau teknikal, pastikan anda membuat kajian sewajarnya sebelum melabur.