27 Mei, 2009

Takaful Insan Sebagai Pelengkap

Bina Tabung Pendidikan Anak Dengan ASW atau ASB;
Gunakan Takaful Insan Maybank Sebagai Perlindungan

Sebelum ini saya ada membandingkan segala pilihan tabungan pendidikan anak-anak dalam posting bertajuk Tabungan Pendidikan: Mana Paling Sesuai. Saya juga memberitahu bahawa tabungan pendidikan dengan ASB/ASW memberikan antara pulangan paling tinggi. Malah, jika dibandingkan dengan pelan tabungan pendidikan takaful yang ada di pasaran, perbezaan mutlak dalam tempoh 15 hingga 20 tahun adalah agak besar.

Namun begitu, satu kelemahan tabungan ASB/ASW ialah jika apa-apa berlaku kepada anda sebagai orang yang membayar ke dalam tabung tersebut, tabungan pendidikan anak hanya mencapai setakat jumlah yang anda simpan apabila kematian dan kehilangan upaya berlaku.

Saya sendiri menabung menggunakan ASB/ASW. Akhirnya saya telah menyelesaikan kebimbangan tentang apa akan terjadi jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada diri saya dengan mencarum dalam produk Takaful Maybank yang dinamakan Takaful Insan.

Takaful Insan ini sebenarnya takaful hayat yang membayar pendapatan bulanan kepada keluarga/waris anda sekiranya anda meninggal dunia atau kehilangan upaya kekal. Justeru ia sebenarnya lebih kurang sama seperti takaful hayat biasa. Cuma untuk memenuhi matlamat khusus takaful ini, saya telah menamakan kedua anak saya sebagai penerima/benefisiari. Saya mendapatan perlindungan untuk tempoh 15 tahun.

Carumannya berpatutan, iaitu RM75 atau RM100, untuk perlindungan yang agak tinggi. Malah manfaat yang diterima bergantung kepada usia anda, lebih muda usia lebih tinggi manfaat, justeru adalah lebih baik untuk memulakan pada usia lebih muda.

Satu lagi kelebihan, seperti kebanyakan produk takaful lain, ialah jika tiada apa-apa yang berlaku kepada anda, wang yang dibayar akan dibayar akan dikembali bersama dengan sedikit manfaat tambahan. Contohnya, saya telah mengambil pelan RM100 untuk 15 tahun. Pada akhir tempoh, jika tiada apa yang berlaku dalam tempoh 15 tahun, saya dijamin akan menerima kembali RM19,800 serta sebarang perkongsian lebihan. Jika sesuatu terjadi kepada saya, anak-anak saya akan menerima RM1,100 sebulan selama 10 tahun.

Sebenarnya, matlamat utama Takaful Insan ialah untuk memberikan tunai bulanan kepada keluarga sekiranya apa-apa terjadi kepada pembayar, cuma saya telah ubahsuai kegunaannya untuk menampung tabungan pendidikan anak yang tidak dapat dilengkapkan sekiranya apa-apa terjadi kepada saya.

Satu lagi perkara ialah kemudahan seperti ini juga mungkin ditawarkan oleh syarikat takaful lain (mungkin dengan cara dan manfaat yang berbeza sedikit). Anda dinasihatkan untuk membuat perbandingan yang sewajarnya sebelum mencarum.

Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman web Maybank.

24 Mei, 2009

Sentimen Pelabur Mengundang Kerugian

Pelabur kecil sering terjerat kerana terikut-ikut sentimen

Apabila krisis berada dalam keadaan paling meruncing antara Oktober hingga Mac, beberapa soal selidik dan tinjauan sentimen pelabur menunjukkan bahawa sentimen pelabur berada pada tahap paling rendah. Ini tidak menghairankan kerana memang menjadi lumrah manusia untuk berasa khuatir apabila krisis melanda.

Apakah kesan sentimen pelabur yang lemah ini? Dalam keadaan ini, pelabur lebih cenderung menukar pelaburan mereka daripada saham kepada instrumen lebih selamat seperti simpanan tetap dan sebagainya yang melindungi wang mereka.

Namun begitu, reaksi pelabur kecil ini selalu berlaku 'after the fact', iaitu selepas krisis melanda. Ini bermakna mereka hanya mula berebut-rebut menjual saham hanya apabila harga saham umumnya telah jatuh. Ini bermakna mereka menjual dalam keadaan rugi dan mengeluarkan wang mereka daripada pasaran saham kerana takut rugi lagi.

Dalam tempoh ini, mereka menyimpan wang mereka dalam instrumen selamat sambil menunggu sehingga kegawatan reda. Tiba-tiba, apabila mereka melihat saham naik semula seperti keadaan sekarang, mereka membuat keputusan untuk masuk kembali ke pasaran saham tanpa berfikir panjang, kerana bimbang akan terlepas peluang meraih untung.

Bagaimanapun, tindakan mereka mengeluarkan wang mereka daripada apabila pasaran sudah jatuh telah menyebabkan mereka rugi. Umpamanya jika mereka menjual saham dalam keadaan panik apabila saham jatuh di bawah 850 mata pada bulan September dan kemudian masuk kembali pada waktu ini, apabila indeks berada di sekitar 1020 - 1050, ini bermakna mereka tidak dapat mengambil kesempatan daripada kenaikan hampir 200 mata atau kira-kira 20%.

Malah jika mereka beli sekarang kerana terbuai-buai dengan kenaikan dan indeks jatuh kembali ke tahap di bawah 1,000, mereka akan rugi pula buat kali kedua. Sebenarnya pelabur kecil tidak harus terlalu terikut-ikutkan sentimen. Beli saham berasaskan kekuatan syarikat, bukan sentimen pasaran dan terus pegang selagi anda fikir syarikat akan mencatatkan prestasi baik dan nilai saham lebih tinggi daripada harganya.

Keputusan jual beli mengikut sentimen hanya akan membawa padah.

20 Mei, 2009

Mendapatkan Modal Daripada Pelabur Kaya

Alternatif Baik Kepada Pembiayaan Bank & Dana Kerajaan

Apabila memikirkan cara untuk mendapatkan modal bagi memulakan perniagaan, perkara pertama yang terlintas di minda kebanyakan usahawan ialah bank atau tabung usahawan yang disediakan oleh kerajaan. Justeru modal pinjaman adalah perkara pertama difikirkan oleh ramai bakal peniaga apabila mahu memulakan perniagaan.

Walaupun pinjaman sememangnya merupakan sumber pembiayaan yang umum, kebanyakan orang sukar mendapat pinjaman atau pembiayaan bank, manakala tabung atau pinjaman kerajaan pula mungkin tidak mencukupi untuk menampung keperluan perniagaan. Satu lagi persoalan yang timbul ialah bagaimana untuk mendapat pinjaman bank jika perniagaan tersebut baru ditubuhkan dan tidak mempunyai rekod operasi.

Malah, nak buka akaun semasa pun kadang kala susah kalau tak ada introducer, inikan pula mendapatkan pinjaman. Kalaupun bank memberikan pinjaman, mereka memerlukan cagaran yang sama nilai dengan pinjaman, dan kebanyakan orang tidak mempunyaui cagaran yang secukupnya.

Justeru, ramai yang menggunakan khidmat pembiaya perniagaan berlesen atau tidak berlesen. Syarat yang dikenakan adalah lebih longgar, cuma kadar pembiayaannya amat tinggi, kadangkala lebih tinggi daripada kad kredit. Bagi saya ini bukan satu pilihan yang baik.

Selain pinjaman, satu saluran penting untuk mendapatkan modal ialah dengan mengajak saudara-mara melabur dan berkongsi pemilikan dengan mereka. Namun begitu, anda perlu melayan mereka secara profesional dan menganggap mereka sama seperti pelabur biasa. Jangan anggap wang tersebut pemberian dari mereka. Terima wang dengan azam untuk membalasnya dengan keuntungan atau dividen. Namun begitu, berapa ramaikah di antara kita yang mempunyai saudara-mara yang cukup kaya untuk melabur dalam perniagaan kita?

Satu lagi cara yang kurang digunakan tetapi berpotensi untuk mendapatkan modal yang diperlukan ialah dengan mengemukakan rancangan perniagaan kepada mereka yang mempunyai harta kekayaan tinggi. Sesetengah pihak menggelar mereka sebagai 'angel investors'.

Kaedah ini mempunyai potensi lebih tinggi untuk berjaya daripada permohonan pinjaman bank kerana pelabur seperti ini bukan melihat kedudukan kewangan anda, tetapi potensi anda dan juga perniagaan anda menghasilkan untung kepada mereka pada masa depan. Mereka sanggup menerima hakikat bahawa perniagaan akan rugi dalam tempoh satu atau dua tahun pertama.

Kelebihan cara ini ialah jika anda rugi pada tahun-tahun awal, anda tidak dibebankan dengan bayaran bulanan yang perlu dibuat sekiranya anda mendapatkan modal menerusi pembiayaan bank. Maka, peluang anda untuk 'survive' pada peringkat awal adalah lebih tinggi.

Bagaimanapun, kelemahannya ialah apabila anda sudah berjaya, anda terpaksa berkongsi keuntungan dengan pelabur tersebut. Tetapi saya rasa ini tidak menjadi masalah, kerana tanpa bantuan pelabur, anda langsung tidak mempunyai peluang untuk membuktikan keupayaan anda.

Sekiranya anda memerlukan modal untuk perniagaan, pertimbangkan dulu dengan teliti semua sumber yang ada sebelum membuat keputusan.

17 Mei, 2009

Langkah Pertama Sebelum Labur Saham

Perlu Buka Akaun Broker dan CDS Terlebih Dahulu

Saya ada menerima emel dari pembaca buku saya, Panduan Bijak Melabur yang bertanya tentang cara untuk mula melabur saham. Saya sedar buku Panduan Bijak Melabur bukan buku yang betul-betul asas tentang saham, dan lebih mengutamakan cara memilih saham.

Mungkin ramai yang belum tahu proses untuk menjual beli saham. Justeru dalam posting kali ini, saya akan terangkan serba sedikit cara memulakan langkah pertama ke arah menjadi seorang pelabur bijak.

Pertama sekali, sebelum melabur anda perlu membuka akaun dengan syarikat broker saham. Syarikat broker saham ini ialah syarikat yang menjadi perantara yang membolehkan anda menjual beli saham di Bursa Malaysia. Senarai syarikat broker boleh didapati dari laman web Bursa Malaysia.

Selain itu anda juga perlu membuka akaun CDS (Central Depository) yang merupakan organisasi yang menyelia saham anda secara elektronik. Biasanya syarikat broker akan memberikan anda borang untuk membuka kedua-dua akaun.

Perlu diingat bahawa apabila anda menjual beli saham sekarang, semuanya dilakukan secara elektronik. Anda tidak akan mendapat sebarang sijil saham, sebaliknya anda akan menerima penyata urus niaga dan penyata CDS menunjukkan jumlah saham anda.

Apabila membuka akaun, anda perlu membuat keputusan untuk membuka akaun dengan broker dalam talian (online) atau broker biasa. Namun sekarang ini kebanyakan broker menawarkan kedua-dua perkhidmatan sekaligus.

Apabila berurusan dengan broker biasa, anda menelefon untuk membuat pesanan, sedangkan apabila anda berurusan dalam talian, anda menaip pesanan belian atau jualan sendiri dan mengendalikan semua urusan (termasuk pembayaran) sendiri.

Kos urus niaga sudah tentulah lebih mahal dengan broker biasa kerana segala urusan pesanan dibuat oleh broker itu sendiri. Kos minimum bagi urus niaga biasa ialah RM40 sedangkan kos minimum bagi urus niaga dalam talian ialah RM12. Kos urusniaga tambahan (selepas kos minimum) pula antara 0.6 - 07% bagi broker biasa dan antara 0.4 - 0.6% bagi urus niaga dalam talian.

Satu lagi pilihan yang perlu anda buat ialah menentukan sama ada anda mahu membuka akaun biasa atau akaun margin. Akaun margin ialah akaun yang membenarkan anda membeli saham di atas margin atau hutang. Pada pendapat saya, kalau boleh elakkan daripada membuka akaun margin, terutamanya jika anda baru belajar tentang saham.

Diharapkan maklumat di atas dapat membantu. Saya bercadang untuk menulis sebuah buku berkenaan tentang asas jual beli saham (iaitu cara untuk mula melabur) menjelang hujung tahun ini.

13 Mei, 2009

Ke Mana Hala Tuju Pasaran?

Pakar Memberikan Pendapat Yang Berbeza

Ramai yang tertanya-tanya ke mana hala tuju pasaran dalam tempoh terdekat dan juga dalam jangka panjang. Ini kerana pasaran saham telah mula naik dan ramai yang takut bahawa mereka akan terlepas peluang mengaut untung.

Saya sudah mengatakan sejak Oktober lepas dalam satu posting di blog ini bahawa kita tidak harus panik apabila saham jatuh dan menganggapnya sebagai peluang keemasan. Malah kegawatan ialah peluang terbaik untuk mencari untung.

Namun begitu, memandangkan kenaikan pasaran sejak sebulan lepas, adakah sudah tiba masanya untuk pelabur berlumba-lumba memasuki pasaran? Pandangan saya ialah jangan terburu-buru, tinjau dulu pandangan pakar tentang pasaran semasa.

Nouriel Roubini - Beliaulah antara segelintir pakar yang meramalkan kejatuhan pasaran dan kegawatan serius akan berlaku, sebelum orang lain menyedarinya. Pada pandangan Roubini, kenaikan saham sekarang dianggap sebagai 'dead cat bounce' kerana ekonomi belum pulih sepenuhnya. Pemulihan dijangka amat perlahan dan kenaikan sekarang terlalu cepat dan tidak disokong oleh data ekonomi.

Marc Faber - Dikenali sebagai "doctor doom", tetapi beliau berpendapat situasi paling buruk telah berlaku. Walaupun meramalkan volatiliti tetap tinggi dan saham akan jatuh buat seketika, beliau berpendapat pasaran akan mula naik dengan ketara pada hujung tahun ini.

Tang Teng Boo - Pemilik iCapital, dana tertutup yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan seorang pakar yang pandangannya sangat dihormati di Malaysia. Beliau menganggap fasa kenaikan saham telah bermula dan sesiapa yang tidak mula melabur sekarang akan terlepas peluang keemasan.

Mohammed Rashdan Yusof - CEO Maybank Investment Bank berpendapat kenaikan pasaran semasa terlalu tinggi kerana ekonomi masih belum pulih lagi. Akibatnya pelabur dijangka mengambil untung dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, berasaskan apa yang saya baca, ada sesetengah pengurus dana sedang mengurangkan pendedahan mereka kepada saham buat masa ini dengan menjual kerana harga telah naik sejak sebulan lepas, sedangkan ada pula yang sibuk membeli saham, meramalkan bahawa harga saham akan terus naik lagi menjelang akhir tahun.

Justeru kita dapat melihat dua pandangan berbeza. Sebab itulah anda tidak harus terburu-buru untuk mengejar saham sekarang sekiranya sudah terlepas peluang membeli semasa saham berada di tahap terendah antara Oktober - Januari.

Pada pandangan saya, pemulihan akan tetap berlaku dan akan dilihat tidak lama lagi. Saham akan turun naik sehingga akhir tahun dan jika ia turun inilah peluang baik bagi kita untuk membeli dengan matlamat untuk menyimpannya dalam jangka panjang bagi mengambil kesempatan daripada pemulihan yang berlaku sepanjang tempoh satu hingga lima tahun akan datang.

10 Mei, 2009

Kadar Sewa Beli Kereta Perlu Diubah

Tukar daripada Kadar Peratus Tahunan Kepada Kadar Efektif; Pastikan Pengiraan Sama Seperti Kadar Pinjaman Perumahan

Dalam akhbar Star Jumaat lepas, presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang S.M Mohamed Idris berkata pindaan kepada Akta Sewa Beli amat diperlukan kerana kadar yang disebutkan tidak mencerminkan kadar sebenar atau kadar efektif. Justeru Bank Negara perlu membuat peraturan agar kadar efektif digunakan.

Saya telah menulis mengenai perkara ini dalam posting 1 September 2008 bertajuk Terpedaya dengan Kadar Pinjaman Kereta. Perubahan kepada kadar efektif seperti ini akan membolehkan pengguna mendapatkan maklumat yang lebih telus.

Ada seorang saudara saya yang membuat keputusan untuk mengambil hutang lebih tinggi dan untuk tempoh pinjaman lebih lama semata-mata kerana menganggap kadar pinjaman kereta amat rendah (kurang daripada 3% pada waktu itu).

Apabila saya memberitahunya bahawa kadar tersebut bukan kadar efektif, dan kadar sebenar lebih kurang 6-7%. Beliau seperti tidak percaya cakap saya. Akhirnya saya meminta dia pergi merujuk dokumen sewa beli dan membaca dengan teliti dan mencari apakah kadar efektif yang terbenam dalam 'fine print' dokumen tersebut.

Sebenarnya kadar yang diberikan oleh jurujual kereta dan bank yang memberikan pinjaman sewa beli dikira dengan cara yang lain daripada kadar pinjaman perumahan. Jika mereka kata 3% kemungkinan kadarnya dua kali ganda daripada itu, bergantung kepada tempoh pinjaman.

Justeru, apabila bertanya tentang kadar sewa beli kereta, tidak kira kadar konvensional atau Islam, tanya apakah 'effective rate'. Dengan kadar ini, anda akan mengetahui kos pinjaman sebenar anda. Dan jangan lupa untuk memberitahu perkara ini kepada rakan-rakan anda yang belum maklum tentangnya.

Sebenarnya perkara ini sudah lama ditimbulkan oleh pihak-pihak yang perihatin terhadap pengguna tetapi Bank Negara dan institusi kewangan masih belum mengambil sebarang tindakan. Apakah maknanya segala program tanggungjawab sosial korporat yang dilakukan jika perubahan semudah ini tidak sanggup dilakukan?

06 Mei, 2009

Bengkel dan Seminar Untuk Tingkatkan Diri

Kosnya mungkin mahal, tetapi pelbagai manfaat diperolehi

Saya tak ingat berapa banyak bengkel, kursus, seminar atau syarahan yang telah saya hadiri dan kos yang telah saya belanjakan untuk menghadiri semua kursus tersebut. Ada yang menelan belanja hampir RM1,000 manakala ada yang berharga hanya RM100. Selain itu, sesetengah seminar atau pembentangan boleh dihadiri secara percuma, terutamanya syarahan terbuka yang diberikan di Universiti.

Walau apa pun, saya tidak pernah keluar daripada seminar tanpa mempelajari apa-apa. Mesti ada sesuatu yang saya pelajari atau manfaat yang diperolehi daripadanya. Memang tidak dinafikan bahawa bukan semua kursus atau seminar itu bagus, tetapi jika kita membuka minda pasti kita akan pelajari sesuatu.

Antara kursus yang paling berguna yang saya hadiri ialah dua bengkel yang dianjurkan oleh Irfan Khairi. Kosnya bukan murah tetapi banyak ilmu yang telah ditimba daripadanya. Sementara itu, bengkel penulisan Azizi Ali pula menjadi titik permulaan kepada penerbitan buku pertama saya.

Saya tidak banyak belajar perkara baru di bengkel Azizi Ali kerana sudah sememangnya menceburi bidang ini tetapi 'contact' yang diperolehi dari bengkel tersebut telah membolehkan saya menerbitkan buku saya di bawah syarikat mereka.

Semasa menghadiri beberapa seminar, saya dapati ramai yang mengeluh bahawa kosnya mahal. Ini tidak dapat dinafikan. Namun begitu kita perlu sedar bahawa ilmu yang diturunkan juga amat berharga, jika ia relevan dengan keperluan anda.

Perlu diingat bahawa apabila menghadiri kursus, yang penting ialah bukan apa yang dilakukan di dalam kursus, tetapi apa yang diamalkan selepasnya. Jika kita tidak mengamalkan ilmu yang diperolehi dan tidak mengambil tindakan, kita sendiri yang rugi. Orang yang mendapat untung ialah mereka yang mengendalikan bengkel atau kursus tersebut.

Justeru, janganlah hadiri kursus atau bengkel semata-mata kerana anda minat sahaja, lebih-lebih lagi jika kosnya mahal (kalau percuma tak apa). Anda patut hadir hanya jika anda memerlukan ilmu yang hendak disampaikan dan bersedia untuk mengamalkannya.

03 Mei, 2009

Meninjau Aliran Tunai Syarikat

Gunakan aliran tunai untuk sahkan kekuatan

Tidak dinafikan bahawa apabila kita menilai kedudukan kewangan syarikat, keuntungan dan pendapatan sesaham merupakan pengukur prestasi yang utama. Ini kerana lebih besar keuntungan, lebih besar potensi ganjaran yang kita perolehi sebagai pelabur, sama ada menerusi dividen yang diperolehi atau menerusi kenaikan harga saham.

Namun begitu, keuntungan dikira berasaskan konsep 'accrual accounting' dan bukannya 'cash accounting'. Sebagai contoh, jika sesebuah syarikat menjual barangan secara kredit, maka nilai jualan tersebut diambil kira dalam pengiraan untung walaupun tunai belum diterima.

Justeru, keuntungan masih boleh dimanipulasi (walaupun sebahagian besar syarikat tidak melakukannya). Sebagai contoh, dalam beberapa kes penipuan (termasuk kes Transmile), jualan secara kredit yang besar telah dicatatkan dalam akaun, walaupun jualan tersebut tidak wujud. Akibatnya tahap keuntungan syarikat meningkat dengan mendadak.

Satu cara untuk mengesahkan sama ada syarikat kukuh atau tidak ialah meninjau penyata aliran tunai syarikat. Penyata ini terdapat dalam laporan tahunan dan juga laporan suku tahunan yang kedua-duanya boleh didapati dari laman web Bursa Malaysia.

Item paling penting yang boleh ditinjau ialah "Net Cash Generated From/(Used In) Operating Activities. Jika syarikat menghasilkan tunai dalam operasi, nilainya positif. Ini bermakna operasi syarikat berjaya menghasilkan tunai. Sebaliknya jika nilai untung tinggi sedangkan aliran tunai operasi negatif, kita harus musykil dan bertanya mengapa keuntngan yang tinggi tidak disokong oleh penjanaan tunai yang sepadan?

Mungkin ada alasan yang munasabah untuk keadaan tersebut, tetapi kita sebagai pelabur boleh menyiasat lebih lanjut. Antaranya termasuk memeriksa tahap penghutang untuk melihat sama ada syarikat ada masalah untuk mengutip hutang.

Aliran tunai boleh menjadi petanda prestasi syarikat pada masa depan. Sebarang masalah tunai sudah pasti akan menjejaskan operasi dan keuntungan. Justeru, sebelum membeli saham, pastikan anda bukan sahaja meninjau keuntungan, tetapi turut menyiasat kedudukan dan aliran tunainya. Keuntungan boleh dimanipulasi tetapi kelemahan aliran tunai amat sukar diselindungi.