17 Oktober, 2009

Unjuran Ekonomi Malaysia oleh MIER

Unjuran KDNK dinaikkan daripada -4.2% kepada -3.3%
Kadar pengangguran turun daripada 4.0% kepada 3.6%

Beberapa hari lepas, MIER telah mengubah unjuran yang dibuat tentang KDNK Malaysia daripada -4.2% kepada -3.3% bagi tahun 2009. Peningkatan ini memang dijangkakan berasaskan tahap keuntungan syarikat yang dilihat rata-rata semakin pulih.

Satu lagi faktor yang mengesahkan pemulihan ialah kadar penganguran yang menyusut daripada 4% kepada 3.6%. Ini merupakan petanda lanjut bahawa suasana perniagaan semakin stabil.

Data dan perangkaan di atas diperkukuhkan lagi menerusi soal selidik yang dilakukan oleh MIER yang menunjukkan bahawa sentimen pengguna kini sudah mula positif. Sentimen pengguna penting kerana sentimen positif mendorong perbelanjaan pengguna, yang seterusnya membawa manfaat kepada perniagaan dan ekonomi.

Bagi tahun 2010, MIER meramalkan bahawa KDNK negara akan meningkat 3.7% pada tahun depan. Angka ini masih agak rendah kerana pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka tidak begitu pesat.

Sebenarnya pergerakan pasaran saham dan tahap keuntungan suku tahunan syarikat pada suku kedua tahun ini sudah sememangnya merupakan petanda awal pemulihan. Justeru, Malaysia dijangka keluar secara rasmi daripada kemelesetan pada suku keempat tahun ini.

Pada pandangan saya ramalan MIER untuk tahun ini memang tepat sekali. Tetapi unjuran pertumbuhan tahun depat adalah agak konservatif dan pertumbuhan sebenar mungkin lebih tinggi, dengan perkembangan paling pesat dicatatkan pada suku pertama dan kedua 2010.

Diharapkan pembaca dan pelabur dapat mengambil kira segala unjuran dan tinjauan ini dalam keputusan pelaburan saham dan unit amanah yang mereka buat.

3 ulasan:

Pok Li berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Pok Li berkata...

Semoga ekonomi makin pulih. Masih menunggu bajet 2010. Ada ulasan ke tuan.

Unknown berkata...

Salam Pok Li,

Harap cukai diturunkan dan ada insentif untuk rakyat biasa.

Bajet Defisit masih diperlukan kerana perbelanjaan kerajaan masih penting untuk terus pulihkan ekonomi. Rasanya pada 2011 barulah kita patut cuba untuk bajet yangl lebih seimbang.