23 September, 2009

Unit Amanah: Baik atau Buruk?

Pandangan berbeza tentang unit amanah bergantung kepada bila pelabur membeli dan dana yang dibeli

Apabila saya bertanya tentang unit amanah kepada saudara-mara atau kenalan, saya menerima pelbagai jenis jawapan. Ada yang kata bagus atau sangat bagus, ada yang kata tak bagus. Malah ada yang dah serik dan langsung tidak mahu melabur lagi.

Bagaimana pandangan begitu jauh berbeza tentang satu instrumen pelaburan?

Pertama sekali walaupun unit amanah ini satu produk umum, ia mempunyai pelbagai jenis yang berbeza termasuk dana saham atau ekuiti, dana bon atau sukuk, dana bercampur, dana pendapatan tetap dan sebagainya. Tetapi secara umum, orang ramai biasanya melabur dalam dana ekuiti dan dana bercampur. Selain itu, dana ekuiti juga berbeza-beza objektifnya dan boleh memberikan pulangan yang berlainan.

Kedua, pandangan mereka amat dipengaruhi oleh sama ada mereka untung atau tidak, dan ini bergantung kepada bila mereka membeli dan menjual unit amanah. Saya kenal seorang yang telah melabur dalam dana ekuiti dua tahun lepas, iaitu di apabila saham berada di tahap tertinggi. Kita semua tahu kegawatan telah berlaku selepas itu. Apabila kerugian dialami oleh unit amanahnya, beliau membuat keputusan menjual unit pada harga yang agak rendah.

Ini amat merugikan kerana pada bulan-bulan seterusnya, unit amanah telah kembali naik dan mungkin beliau berpeluang untuk pulang modal jika menunggu lebih lama sehingga ekonomi kembali pulih. Selain itu, ada beberapa pelabur bijak yang membeli semasa kegawatan di tahap paling serius, dan pandangan mereka terhadap unit amanah, terutamanya dana ekuiti, amat positif.

Bagi mereka yang rugi, mereka berpendapat unit amanah adalah instrumen berisiko tinggi dan berpotensi merugikan, jadi mereka serik untuk melabur lagi. Daripada cuba melihat kesilapan dan belajar lebih lanjut, mereka terus menganggap unit amanah sebagai satu skim yang merugikan pelabur.

Jika pelabur tidak tahu bilakah masa sesuai untuk membeli, cara terbaik ialah melabur secara bulanan atau berkala dengan cara dollar cost averaging atau purata kos ringgit. Jadi anda terus melabur sama ada ekonomi hangat atau gawat, dan kos yang anda alami adalah kos purata.

Akhirnya pelabur boleh mengambil kesempatan daripada kenaikan jangka panjang unit amanah yang melabur dalam ekuiti, untuk mencapai keuntungan purata. Mereka tidak mendapat keuntungan tertinggi daripada perfect timing, tetapi mereka juga mengelakkan sebarang kerugian ketara atau pulangan yang kurang memuaskan.

Namun jika anda seorang yang peka terhadap ekonomi dan pergerakan pasaran saham, anda boleh cuba melabur apabila anda rasa nilai pasaran rendah dan mengelakkan daripada melabur jika anda rasa pasaran sudah overheated dan dijangka jatuh dalam tempoh terdekat. Kaedah ini memerlukan lebih banyak usaha dan lebih berisiko tetapi potensi pulangannya juga lebih tinggi.

Secara kesimpulannya jika anda rugi, mungkin ada dua sebab, iaitu anda tersalah pilih dana unit amanah atau anda melabur pada masa yang kurang sesuai.

4 ulasan:

azhar berkata...

Sudah menjadi lumrah manusia , setiap wang dikeluarkan pastinya mengharapkan pulangan dan keuntungan ke atasnya.

Hasrat dan matlamat ini menjadi kabur apabila melabur di dalam sesuatu instrument yang tidak difahami.

Moralnya,faham dulu baru buat pelaburan.

Saya berpendapat tidak wujud pelaburan yang dijamin 100% tidak akan rugi.

RAHISAM RAMLI berkata...

Saya mengucapakan selamat hari raya,maaf zahir dan batin sekiranya perbincangan online ada yang tersilap kata.

Muhammad Fathi berkata...

Apakah akta bg pelabur unit amanah yg mati? Dikatakan ianya akan dibekukan dlm 4-5 thn?

Unknown berkata...

Salam,

Sdr Azhar - memang betul

Sdr Rahisam - Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin

Sdr Fathi - Nanti saya cuba tanya-tanyakan mereka yang pakar, sebab saya bukan pakar dalam bidang urusan harta-usaka