Bayaran hutang lebih cepat umumnya bawa manfaat
Jika kita ada duit lebih, patutkah kita menggunakan wang tersebut untuk mengurangkan jumlah pokok pembiayaan rumah? Atau patutkah kita membayar ansuran lebih cepat, contohnya dua minggu sekali (bayar separuh ansuran bulanan setiap dua minggu), seperti yang disyorkan oleh sesetengah buku atau perancang kewangan.
Jawapannya ialah bergantung kepada keadaan. Persoalan pertama ialah bolehkah anda berbuat demikian di bawah kontrak pinjaman anda? Sesetengah bank menetapkan syarat bahawa anda perlu membayar ansuran seperti biasa dalam tempoh beberapa tahun pertama kontrak. Malah ada sesetengah pembiayaan Islam lama berasaskan konsep BBA yang hanya menganggap bayaran lebih besar atau lebih cepat sebagai payment in advance yang tidak digunakan untuk mengurangkan nilai pokok.
Namun begitu, selepas beberapa tahun awal, kebanyakan kontrak pinjaman perumahan membolehkan anda membayar jumlah sekaligus untuk mengurangkan nilai pokok pembiayaan, tetapi sama ada anda 'dibenarkan' membayar dua minggu sekali untuk mempercepatkan penjelasan hutang tetap bergantung kepada jenis kontrak.
Maksud 'dibenarkan' sini bermakna apabila anda membayar lebih daripada ansuran biasa, jumlah tersebut akan diambil kira sebagai bayaran sebenar yang akan mengurangkan nilai pokok dan bukannya dianggap sebagai payment in advance.
Biasanya pinjaman konvensional tiada masalah berkenaan hal ini, tetapi bagi BBA mungkin ada masalah sedikit disebabkan ciri kontraknya. Namun begitu, perkara ini tidak timbul bagi kontrak jenis Musyaraqah Mutaqisah yang semakin popular. Malah ada bank yang membenarkan bayaran dibuat sesuka hati pelanggan.
Jadi kita tiba pula kepada persoalan kedua, sekiranya anda boleh membayar jumlah lebih besar atau dengan lebih cepat, patutkah anda berbuat demikian? Jawapan tepatnya ialah "bergantung kepada keadaan". Tetapi umumnya bagi saya sendiri, lebih cepat anda bayar hutang, lebih baik bagi anda.
Menurut Warren Buffet, "Orang yang tiada hutang tidak akan jatuh muflis". Jadi lebih cepat anda bayar hutang lebih baik. Saya rasa dalam Islam pun, kalau kita berhutang dan ada wang tambahan, lebih cepat bayar lebih baik.
Tetapi saya ulangi sekali lagi bahawa jawapan tepatnya ialah 'bergantung kepada keadaan'. Sebagai contoh kadar pembiayaan sekarang amat rendah. Jika anda dikenakan kadar 5%, patutkah anda gunakan duit lebih untuk melangsaikan hutang lebih cepat, atau lebih baik simpan sahaja dalam ASB yang memberikan pulangan kira-kira 8%?
Satu alternatif yang baik ialah selagi kadar pembiayaan rendah, wang lebihan anda boleh disimpan dalam ASB atau pelaburan risiko rendah sepertinya yang dijangka memberikan pulangan lebih tinggi. Apabila jumlah dalam akaun ASB sudah cukup untuk melangsaikan hutang, bayar baki hutang secara sekaligus. Namun kaedah ini memerlukan disiplin kerana kita sering tergerak hati untuk menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain.
Tetapi kalau kadar pembiayaan anda tinggi, sudah tentulah langkah mengurangkan hutang anda secepat mungkin adalah langkah paling bijak. Pendek kata, jika anda ada wang lebih, anda fikirkan apakah kegunaan paling berhasil bagi wang anda. Jika ada hutang kad kredit, bayar terlebih dahulu, selepas itu pertimbangkan kegunaan kedua paling bermanfaat, termasuk membayar pembiayaan rumah atau menabung dalam ASB.
Namun begitu ini semua secara teori sahaja, bagi saya kalau ada wang lebih, bayarlah hutang pembiayaan rumah, kerana apabila anda sudah bayar, wang tersebut sudah tiada dan anda tidak tergerak hati untuk membelanjakannya secara sia-sia (perbelanjaan gunaan).
Walaupun ramai orang menganggap mereka berdisiplin (contohnya tidak akan menyentuh pelaburan ASB), realitinya ialah ia sukar dipraktikkan. Jadi pandangan peribadi saya ialah kalau ada wang lebih dan nak bayar hutang pembiayaan, teruskan sahaja.
1 ulasan:
terima kasih atas artikel ini..menepati kehendak dan jangkaan..
saya mula membayar lebih pinjaman perumahan saya sejak 4 tahun yang lalu kerana tidak mahu membayar kadar faedah yang banyak.
kalau mengikut jadual bayaran utk tahun pertama seperti yang ditetapkan bank adalah RM375 dan jumlah ini akan meningkat semakin tinggi sehingga tahun ke lima dan mula flat sehingga tahun ke 30.
Masalahnya adalah kadar faedah sebulan - kiraan pada 4 tahun dahulu RM420 sedangkan bayaran hanya RM375.
Jadi saya mula membayar lebih sehingga RM500 pada tahun pertama untuk mengelakkan faedah di atas faedah kerana kadar faedah dikira di atas baki hutang terkini..
sehingga kini saya membayar lebih dari kadar faedah yang ditetapkan setiap bulan.
Catat Ulasan