07 Mac, 2010

Produk Perbankan Islam Masih Kurang Diterima

Ramai masih belum maklum betapa seriusnya riba

Dalam satu posting mengenai pelancaran buku terbarunya, Ustaz Zaharuddin ada menyatakan yang berikut: "Islamic finance is supposed to be offered and served to the Muslim community as their priority, however in Malaysia, the statistic shows that the subscribers to the Islamic banking products are dominated by the non-Muslim clients".

Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Sebenarnya saya pun pada mulanya tidak begitu yakin dengan perbezaan antara kedua-dua perbankan konvensyenal dan Islam sehinggalah saya membaca ayat Quran dan hadis berikut berikut dan diterangkan maksudnya oleh seorang pensyarah di UIA:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya." (Surah Ali Imran: 130)

"Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasulnya. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba) maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan juga tidak dianiaya."
(Surah Al Baqarah: 278-279)

Hadis Nabi S.A.W

“Jauhilah daripada tujuh dosa, syirik , sihir, membunuh tanpa hak, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

“Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali.”
(Riwayat Ahmad & Ad-Dar Qutni)

“Sungguh akan datang pada manusia suatu masa yang pada waktu itu tidak tersisa seorang pun melainkan akan makan riba, barang siapa yang tidak memakannya maka ia akan terkena debunya.”
(Riwayat Abu Dawud & Ibn Majah)

Sesungguhnya amaran ayat Quran dan Hadis di atas amat serius tetapi hadis terakhir ini yang mengesahkan segala-galanya. Cuba teliti ayat terakhir. Bukankah zaman tersebut ialah sekarang?!

Sebagai contoh sekarang ini, walaupun kita berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan riba, kita masih terkena tempiasnya kerana Bank Negara (BNM) menetapkan dasar menerusi Overnight Policy Rate (OPR) dan Base Financing Rate (BFR) biasanya akan ditentukan merujuk kepada OPR BNM.

Walaupun ramai yang mendakwa perbankan Islam banyak kelemahan dan mirip perbankan konvensyenal, perlu diingat bahawa kontraknya adalah berbeza dan berasaskan jual beli dan konsep lain yang dibenarkan Syariah.

Saya rasa adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memaklumkan kenalan dan saudara-mara kita tentang larangan riba dan menggalakkan penggunaan perbankan Islam dan takaful, dan juga mengingatkan tentang riba dalam bentuk lain, termasuklah dalam sesetengah skim pelaburan cepat kaya.

Bagi saya "isytiharkan perang dengan Allah dan Rasulnya" dan "seperti berzina sebanyak 36 kali" adalah amaran yang cukup kuat. Tetapi bukti paling kukuh ialah unjuran Rasulullah tentang keadaan yang dihadapi pada zaman ini. Pada saya hadis terakhir memberikan bukti muktamad yang tidak boleh dinafikan.

03 Mac, 2010

Penilaian Ingress Corporation

Potensi besar tetapi risiko tinggi

Saya menerima permintaan daripada seorang pembaca untuk menilai Ingress Corporation, sebuah syarikat yang dulu boleh dianggap 'high-flying' tetapi sudah jatuh ke bumi sejak 2006, kerana prestasinya mula merosot. Saya bersetuju untuk membuat penilaian kerana syarikat ini telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan kebelakangan ini.

Ingress Corporation ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang perniagaan teras pengilangan komponen automatif bagi pengeluar kereta di Malaysia (terutamanya Proton dan Perodua) dan rantau ASEAN, dan juga terlibat dalam kejuruteraan kuasa dan sektor rel di Malaysia.

Berikut adalah sejarah keuntungan Ingress dalam tempoh 5 tahun lepas (sen):

2005 2006 2007 2008 2009
20.3 17.1 (13.9) (14.8) (53.1)


Carta Ingress

Dipetik daripada Bursa Station

Kita dapat lihat bahawa saham Ingress ternyata melonjak tinggi antara tahun 2002 dan 2004 kerana prospek cerah tetapi telah mula menjunam selepas itu kerana prestasi kurang baik, sehinggalah mencecah harga 20 sen. Namun harga saham telah mula pulih pada tahun 2009. Harga penutup hari ini ialah RM0.60.

Apakah masalah Ingress? Selain daripada mencatatkan kerugian untuk tempoh tiga tahun lepas, syarikat juga mengalami masalah aliran tunai, terutamanya pada tahun berakhir Januari 2009, apabila aliran tunainya berada pada tahap negatif. Namun begitu masalah ini mula reda kerana berasaskan sembilan bulan pertama tahun berakhir Jan 2010, syarikat sudah mencatatkan aliran tunai yang positif.

(Nota: maklumat ini diperolehi daripada laporan suku tahunan Ingress di Bursa Malaysia. Pembaca yang berminat digalakkan memuat turun sendiri fail PDF dari laman web Bursa Malaysia)

Namun begitu pada bulan Januari ini, syarikat telah mendapatkan persetujuan daripada pemegang sukuk untuk menangguhkan bayaran sukuk ke Julai 2010. Ini menunjukkan bahawa walaupun sudah pulih, aliran tunainya masih belum lagi cukup mantap untuk menebus sukuk.

Pada suku terakhir 31 Oktober 2009 (suku ketiga bagi tahun berakhir Jan 2010), syarikat mencatatkan EPS 6 sen, manakala untuk tempoh sembilan bulan, EPS ialah pada 10 sen. NTA bernilai RM1.54 sen. Kemungkinan besar, keuntungan mampu dicatatkan pada tahun berakhir Jan 2010.

Prospek syarikat nampak cerah kerana sebagai pengeluar komponen automatif, kejayaan syarikat bergantung kepada jualan kenderaan. Selepas menghadapi tahun yang sukar pada 2009, saya rasa prospek 2010 adalah lebih cerah bagi syarikat, terutamanya kerana pemulihan jualan kenderaan Proton dan Perodua, di samping kejayaan memenangi kontrak baru daripada General Motors.

Sekiranya kita andaikan secara konservatif bahawa syarikat mencatatkan EPS 13 sen untuk seluruh tahun berakhir Januari 2010, maka P/E rationya adalah sangat rendah pada para kurang daripada 5.

Saham ini nampak undervalued, tetapi risiko tetap ada, termasuk keupayaannya menebus sukuk pada bulan Julai ini. Namun berasaskan, keputusan terbarunya, mungkin syarikat boleh melakukannya dan terus mencatatkan untung. Masalah syarikat bukan pada prospek perniagaannya, yang sebenarnya agak positif, cuma aliran tunainya sahaja menghadapi masalah.

Bagi pelabur yang berminat dalam saham ini, kenaikan harga semata-mata bergantung kepada prestasinya pada tempoh yang mendatang. Saya cadangkan letakkan stop loss bagi pelaburan ini, walaupun anda membuat pelaburan berasaskan Fundamental Analysis. Jika untung, berpotensi untung besar tetapi jika rugi, kerugian anda dihadkan dengan adanya stop loss.

28 Februari, 2010

Keputusan Suku Terakhir 2009 Agak Kukuh

Lebih banyak syarikat atasi jangkaan

Pada hujung minggu lepas (akhir Februari), syarikat di BSKL telah mengumumkan keputusan bagi suku tahun Okt-Dis 2009. Syarikat diwajibkan mengeluarkan laporan suku tahunan selewat-lewatnya dua bulan selepas berakhir suku tahun tersebut.

Umumnya banyak keputusan yang baik dicatatkan. Antara syarikat besar, CIMB dan Axiata mencatatkan prestasi lebih baik daripada yang dijangka (tetapi seperti biasa harga sahamnya pun naik apabila keputusan diumumkan).

Tetapi bagi saya ada beberapa syarikat kurang mendapat perhatian yang turut mencatatkan prestasi yang memberangsangkan, tetapi sahamnya belum lagi menarik minat pelabur.

Berikut adalah beberapa syarikat yang saya 'follow' dengan keputusan agak baik (secara relatif kepada harga sahamnya)

Syarikat Takaful
EPS suku tahun semasa 8.57 sen. NTA RM2.29. EPS seluruh tahun 19.42 sen. Harga penutup minggu lepas RM1.33. P/E Ratio lebih kurang 7. Tetapi satu kelemahan ialah saham ini volumnya rendah.

Khind Holdings
EPS suku tahun semasa 4.6sen. NTA RM1.79. EPS seluruh tahun ialah 20 sen. Harga penutup minggu lepas RM0.90. P/E Ratio lebih kurang 4.5. Saham ini pun volumnya rendah.

Masteel
EPS suku tahun semasa 5.44 sen. NTA RM2.14. EPS seluruh tahun ialah -4,35 sen. Harga penutup minggu lepas RM1.10. Walaupun syarikat catat kerugian pada 2009, tahun 2010 dijangka lebih positif dan dicerminkan oleh keuntungan suku tahun semasa. Harga keluli pun sudah pulih.

Yee Lee
EPS suku tahun semasa 10.51 sen. NTA RM3.45. EPS seluruh tahun 32.13 sen. Harga penutup minggu lepas RM1.71. P/E Ratio adalah lebih kurang 5. Saham ini juga volumnya rendah.

Kumpulan Fima
EPS suku tahun semasa 6.88 sen. NTA RM1.48. EPS seluruh tahun 17.65 sen. Harga penutup minggu lepas RM0.86. P/E Ratio adalah lebih kurang 5.

Paparan di atas adalah contoh bagaimana saya meninjau syarikat undervalued dan bukannya cadangan untuk membeli saham. Pembaca digalakkan membuat analisis sendiri.

Ada banyak juga syarikat lain yang mencatatkan keputusan yang baik, bacalah akhbar kewangan atau laporan broker anda untuk mendapatkan senarai saham berpotensi untuk ditinjau.

Sekali lagi saya tekankan bahawa kalau tahun lepas, faktor peruntukan aset (berapa banyak yang anda laburkan dalam saham) menentukan pulangan anda, tahun ini pemilihan saham memainkan peranan yang lebih penting untuk menentukan pulangan.

24 Februari, 2010

Ekonomi Berkembang 4.5% Pada Suku 4 2009

Data terbaru sahkan ekonomi Malaysia telah pulih

Pada hari ini, Perdana Menteri kita telah mengumumkan bahawa ekonomi kita telah berkembang 4.5% pada suku ke-4 2009, menandakan bahawa ekonomi Malaysia telah pulih dari kemelesetan. (Bagaimanapun dari segi teknikal, kita perlu menunggu pertumbuhan positif dicatatkan pada suku pertama 2010 sebelum mengisytiharkan secara rasmi bahawa kemelesetan telah berakhir).

Dengan keputusan terbaru ini, secara keseluruhan pada 2009, ekonomi kita telah menyusut 1.7% pada 2009, lebih rendah daripada jangkaan penyusutan 3% oleh kerajaan dan juga penganalisis.

Pertumbuhan 4.5% ini ternyata lebih tinggi daripada yang dijangka dan jelas bahawa rangsangan ekonomi Kerajaan telah mula membuahkan hasil.

Pada tahun 2010, unjuran rasmi kebanyakan penganalisis ialah pertumbuhan 4% tetapi Perdana Menteri sendiri berharap pertumbuhan 5% dapat dicapai. Saya rasa terdapat kemungkinan besar pertumbuhan lebih 4% mampu dicatatkan.

Dari segi kaitan dengan pasaran saham, saya rasa kebanyakan risiko kepada pasaran adalah bergantung kepada situasi luar dan bukannya dalam negera. Keadaan hutang dan defisit beberapa negara Eropah seperti Greece, Portugal dan Spain agak membimbangkan.

Biasanya jika pasaran saham di satu rantau terjejas, dalam dunia global hari ini, tempiasnya akan dirasai di rantau ini. Walaupun begitu, ia diimbangi oleh situasi tempatan yang kukuh.

Satu lagi perkara yang harus diambil kira ialah Bank Negara pasti akan menaikkan kadar dasar semalaman atau OPR tahun ini kepada tahap lebih normal, iaitu sekurang-kurangya 0.25% di peringkat permulaan, dan mungkin ditambah 0.25% lagi kemudian.

Ini akan membawa kadar faedah ke tahap lebih sederhana (tidak terlalu rendah), cuma bagi mereka yang mempunyai pembiayaan berasaskan BLR atau BFR, kos hutang atau pembiayaan anda akan meningkat.

Seperti yang saya jangka (lihat beberapa posting lepas), pasaran saham telah menyusut daripada paras yang agak tinggi pada bulan Januari. Tetapi 'going forward', saya rasa keadaan agak positif, terutamanya dengan keputusan suku Okt - Dis 2009 yang baru diumumkan minggu ini yang agak baik.

Justeru, walaupun ada risiko saham turun naik dalam tempoh terdekat, dalam jangka lebih panjang sedikit, iaitu satu atau dua tahun, saya rasa keuntungan yang lumayan boleh diperolehi dengan membuat pemilihan saham yang bijak.

Secara peribadi, pada bulan Disember tahun lepas, saya agak bimbang dengan kenaikan terlalu tinggi pasaran saham, tetapi kejatuhan sementara telah berlaku menyebabkan harga saham turun ke tahap lebih munasabah manakala keputusan banyak syarikat agak baik. Jadi saya rasa agak positif bagi ekonomi dan saham terutamanya pada separuh kedua tahun ini.

21 Februari, 2010

Proton Catat Untung Lebih Tinggi

Potensi Proton bergantung pelaksanaan dan pakatan

Pada Jumaat lepas, Proton mengumumkan keputusan suku ketiga yang agak baik, iaitu keuntungan hampir RM80 juta dan pendapatan sesaham (EPS) 14.50 sen. Tahun kewangan penuh Proton berakhir pada 31 Mac 2010.

Secara kumulatifnya, keuntungan bersih Proton sehingga suku ketiga ialah lebih RM215 juta manakala pendapatan sesahamnya ialah 39.40 sen. Nilai aset ketara bersihnya (NTA) ialah pada RM9.76 sesaham.

Jika diandaikan Proton mengulangi prestasinya pada suku ketiga, maka EPS untuk seluruh tahun adalah lebih kurang 54 sen. Pada harga penutup hari Jumaat RM3.98 sen, nisbah harga pendapatan (PE Ratio) anggaran adalah lebih kurang 7 - 8 kali.

Pada nisbah ini, dan juga NTA RM9.76, saham Proton nampak seperi undervalued. Tetapi kita perlu berwaspada kerana ini adalah sebuah syarikat kereta yang bersaing dalam industri yang amat sengit dan kedua, Proton mempunyai sejarah prestasi yang tidak konsisten.


Dipetik dari Bursa Station


Justeru memang ada risiko apabila membeli Proton, terutamanya dari segi keupayaannya memberikan prestasi yang konsisten dalam suasana persaingan industri yang sengit.

Namun begitu, saya dapati ada satu faktor yang sentiasa menggerakkan saham Proton, iaitu apabila ada khabar angin bahawa satu usaha sama akan dilaksanakan dengan syarikat asing. Jadi ini satu daripada faktor penting yang boleh menggerakkan saham Proton.

Satu lagi faktor pemangkin ialah prestasi yang mantap untuk tempoh dua atau tiga suku akan datang, dengan jualan konsisten Saga, Persona dan Exora selain penembusan ke pasaran luar negara. Di samping itu, kekuatan model pengganti bagi Waja juga tidak kurang penting.

Nampaknya buat masa ini, Proton dijangka meneruskan prestasi baiknya. Lebih-lebih lagi selepas pelancaran Perodua Alza yang pada mulanya dijangka menjejaskan Exora, tetapi apabila dilancarkan, didapati kereta ini lebih kecil dan mungkin tergolong dalam segmen berbeza.

Walau apa pun, Proton, bagi saya ialah satu pelaburan lebih tinggi sedikit risikonya kerana faktor 'unpredictability' industri dan juga syarikat itu sendiri. Cuma apa yang dilihat positif ialah kewibawaan pengurusan kanan sejak dua tiga tahun ini untuk melaksanakan strategi dengan lebih berkesan, walaupun tanpa rakan kongsi asing.

Walau apa pun, saya rasa survival jangka panjang Proton tetap bergantung kepada pakatan yang dijalin dengan syarikat asing yang lebih besar dan pelaksanaan berkesan usaha sama tersebut.