21 Februari, 2010

Proton Catat Untung Lebih Tinggi

Potensi Proton bergantung pelaksanaan dan pakatan

Pada Jumaat lepas, Proton mengumumkan keputusan suku ketiga yang agak baik, iaitu keuntungan hampir RM80 juta dan pendapatan sesaham (EPS) 14.50 sen. Tahun kewangan penuh Proton berakhir pada 31 Mac 2010.

Secara kumulatifnya, keuntungan bersih Proton sehingga suku ketiga ialah lebih RM215 juta manakala pendapatan sesahamnya ialah 39.40 sen. Nilai aset ketara bersihnya (NTA) ialah pada RM9.76 sesaham.

Jika diandaikan Proton mengulangi prestasinya pada suku ketiga, maka EPS untuk seluruh tahun adalah lebih kurang 54 sen. Pada harga penutup hari Jumaat RM3.98 sen, nisbah harga pendapatan (PE Ratio) anggaran adalah lebih kurang 7 - 8 kali.

Pada nisbah ini, dan juga NTA RM9.76, saham Proton nampak seperi undervalued. Tetapi kita perlu berwaspada kerana ini adalah sebuah syarikat kereta yang bersaing dalam industri yang amat sengit dan kedua, Proton mempunyai sejarah prestasi yang tidak konsisten.


Dipetik dari Bursa Station


Justeru memang ada risiko apabila membeli Proton, terutamanya dari segi keupayaannya memberikan prestasi yang konsisten dalam suasana persaingan industri yang sengit.

Namun begitu, saya dapati ada satu faktor yang sentiasa menggerakkan saham Proton, iaitu apabila ada khabar angin bahawa satu usaha sama akan dilaksanakan dengan syarikat asing. Jadi ini satu daripada faktor penting yang boleh menggerakkan saham Proton.

Satu lagi faktor pemangkin ialah prestasi yang mantap untuk tempoh dua atau tiga suku akan datang, dengan jualan konsisten Saga, Persona dan Exora selain penembusan ke pasaran luar negara. Di samping itu, kekuatan model pengganti bagi Waja juga tidak kurang penting.

Nampaknya buat masa ini, Proton dijangka meneruskan prestasi baiknya. Lebih-lebih lagi selepas pelancaran Perodua Alza yang pada mulanya dijangka menjejaskan Exora, tetapi apabila dilancarkan, didapati kereta ini lebih kecil dan mungkin tergolong dalam segmen berbeza.

Walau apa pun, Proton, bagi saya ialah satu pelaburan lebih tinggi sedikit risikonya kerana faktor 'unpredictability' industri dan juga syarikat itu sendiri. Cuma apa yang dilihat positif ialah kewibawaan pengurusan kanan sejak dua tiga tahun ini untuk melaksanakan strategi dengan lebih berkesan, walaupun tanpa rakan kongsi asing.

Walau apa pun, saya rasa survival jangka panjang Proton tetap bergantung kepada pakatan yang dijalin dengan syarikat asing yang lebih besar dan pelaksanaan berkesan usaha sama tersebut.

2 ulasan:

Pok Li berkata...

Teringin nak beli kereta proton pulak

Unknown berkata...

Salam Pok Li,

Kita pun tgh pikir nak beli Exora...boleh bawa jalan-jalan jelajah Malaysia ngan family