03 Februari, 2010

Berapa lama pegang kalau saham jatuh?

Keputusan jual saham bergantung kepada strategi anda

Sejak semingu dua lepas kita dapati pasaran saham telah jatuh. Ada seorang ahli forum Bicara Jutawan yang bertanya berapa banyak kejatuhan harga yang boleh kita tanggung sebelum menjual saham. Maksud beliau ialah jika harga saham jatuh patutkah kita jual dulu atau kita terus pegang?

Ini satu soalan yang sangat baik dan relevan. Pada pendapat saya, kita boleh gunakan tiga pendekatan.

1. Pegang selagi fundamentals kukuh dan anda rasa saham undervalued. Dalam jangka panjang, jika pendapatan menepati sasaran untuk tempoh yang mendatang, kemungkinan besar harga saham akan mampu bertahan dan akan naik semula apabila sentimen pasaran kembali positif.

2. Jual walaupun fundamentals syarikat kukuh, kerana anda berpendapat fundamentals bagi pasaran atau ekonomi secara keseluruhannya agak lemah. Dalam kes ini, anda mengutamakan keadaan makro di mana anda merasakan bahawa situasi makro pasaran dan ekonomi akan mengatasi kekuatan saham tersebut buat sementara waktu.

3. Tetapkan stop loss pada xx% (terpulang kepada anda) dan jual jika mencapai takat ini tak kira apa betapa kuat atau lemah fundamentals. Kaedah ini lebih menjurus kepada strategi dagangan, tetapi boleh digunakan oleh pelabur jangka panjang juga. Dalam keadaan ini, kita mengaku bahawa kita sebagai pelabur kecil tidak mempunyai maklumat orang dalam atau maklumat lengkap mengenai syarikat yang dilaburkan. Justeru untuk mengelakkan kerugian besar, kita menetapkan stop loss untuk melindungi modal anda.

Ada sesetengah pelabur menggunakan satu strategi sahaja. Saya pula bersifat lebih fleksibel dan menetapkan strategi berasaskan saham yang dibeli.

Sebagai contoh, jika saya beli Mamee Double Decker, saya menggunakan kaedah pertama kerana kekuatan syarikat dan keuntungannya serta margin of safety yang diberikan.

Sebaliknya jika saya beli saham syarikat keluli seperti Kinsteel atau Masteel, saya mungkin menggunakan kaedah kedua kerana berpendapat keadaan ekonomi akan mempengaruhi permintaan bagi sektor ini.

Akhir sekali jika saya beli saham seperti Green Packet, saya akan gunakan strategi ketiga kerana walaupun saham ini berpotensi untuk naik, kebarangkalian penurunan ketara juga tinggi, maka saya tetapkan stop loss untuk hadkan kerugian.

Tetapkan strategi anda apabila membeli, dan kemudian ikut strategi tersebut dengan yakin dan berdisiplin.

Tiada ulasan: