24 Februari, 2010

Ekonomi Berkembang 4.5% Pada Suku 4 2009

Data terbaru sahkan ekonomi Malaysia telah pulih

Pada hari ini, Perdana Menteri kita telah mengumumkan bahawa ekonomi kita telah berkembang 4.5% pada suku ke-4 2009, menandakan bahawa ekonomi Malaysia telah pulih dari kemelesetan. (Bagaimanapun dari segi teknikal, kita perlu menunggu pertumbuhan positif dicatatkan pada suku pertama 2010 sebelum mengisytiharkan secara rasmi bahawa kemelesetan telah berakhir).

Dengan keputusan terbaru ini, secara keseluruhan pada 2009, ekonomi kita telah menyusut 1.7% pada 2009, lebih rendah daripada jangkaan penyusutan 3% oleh kerajaan dan juga penganalisis.

Pertumbuhan 4.5% ini ternyata lebih tinggi daripada yang dijangka dan jelas bahawa rangsangan ekonomi Kerajaan telah mula membuahkan hasil.

Pada tahun 2010, unjuran rasmi kebanyakan penganalisis ialah pertumbuhan 4% tetapi Perdana Menteri sendiri berharap pertumbuhan 5% dapat dicapai. Saya rasa terdapat kemungkinan besar pertumbuhan lebih 4% mampu dicatatkan.

Dari segi kaitan dengan pasaran saham, saya rasa kebanyakan risiko kepada pasaran adalah bergantung kepada situasi luar dan bukannya dalam negera. Keadaan hutang dan defisit beberapa negara Eropah seperti Greece, Portugal dan Spain agak membimbangkan.

Biasanya jika pasaran saham di satu rantau terjejas, dalam dunia global hari ini, tempiasnya akan dirasai di rantau ini. Walaupun begitu, ia diimbangi oleh situasi tempatan yang kukuh.

Satu lagi perkara yang harus diambil kira ialah Bank Negara pasti akan menaikkan kadar dasar semalaman atau OPR tahun ini kepada tahap lebih normal, iaitu sekurang-kurangya 0.25% di peringkat permulaan, dan mungkin ditambah 0.25% lagi kemudian.

Ini akan membawa kadar faedah ke tahap lebih sederhana (tidak terlalu rendah), cuma bagi mereka yang mempunyai pembiayaan berasaskan BLR atau BFR, kos hutang atau pembiayaan anda akan meningkat.

Seperti yang saya jangka (lihat beberapa posting lepas), pasaran saham telah menyusut daripada paras yang agak tinggi pada bulan Januari. Tetapi 'going forward', saya rasa keadaan agak positif, terutamanya dengan keputusan suku Okt - Dis 2009 yang baru diumumkan minggu ini yang agak baik.

Justeru, walaupun ada risiko saham turun naik dalam tempoh terdekat, dalam jangka lebih panjang sedikit, iaitu satu atau dua tahun, saya rasa keuntungan yang lumayan boleh diperolehi dengan membuat pemilihan saham yang bijak.

Secara peribadi, pada bulan Disember tahun lepas, saya agak bimbang dengan kenaikan terlalu tinggi pasaran saham, tetapi kejatuhan sementara telah berlaku menyebabkan harga saham turun ke tahap lebih munasabah manakala keputusan banyak syarikat agak baik. Jadi saya rasa agak positif bagi ekonomi dan saham terutamanya pada separuh kedua tahun ini.

Tiada ulasan: