03 April, 2009

Susulan Kepada Tragedi Oktober

Keputusan Jual Secara Tergesa-Gesa Terbukti Kurang Bijak

Pada bulan Oktober tahun lepas, saya ada mengulas tentang kejatuhan ketara saham apabila kegawatan serius mula melanda ekonomi global. Tajuknya ialah Saham Jatuh Teruk...Jangan Panik: Keputusan Jual Secara Tergesa-Gesa Mungkin Kurang Bijak.

Pada waktu ini, indeks telah menyusut dengan ketara ke tahap 800 mata, dan berlegar di sekitar 820 mata selepas itu. Ramai yang terlibat di pasaran panik dan menjual saham, terutamanya kerana kemelesetan ekonomi dijangka menjadi semakin teruk.

Dalam tempoh hampir separuh tahun selepas itu, memang ekonomi dunia dilihat mengalami krisis yang begitu besar. Kesemua negara maju mengalami kemelesetan yang ketara. Malah tempiasnya kini dirasai oleh hampir semua negara di dunia.

Namun begitu, apa yang terjadi kepada pasaran saham? Indeks komposit telah berlegar di sekitar tahap 830 - 900 mata, walaupun dengan kegawatan serius dan juga segala perkembangan politik yang berlaku di dalam negara. Malah pada hari ini saham sudah mencecah paras 900 mata.

Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa akan mengundang padah. Jika anda bersabar sedikit, anda mungkin dapat meraih nilai lebih tinggi bagi saham anda. Jangan jual apabila orang lain semua panik kerana anda akan menjual pada tahap terendah.

Sudah pasti pasaran masih akan turun semula daripada paras 900, dan akan naik kembali. Ini lumrah pasaran dalam ketidakstabilan ekonomi semasa. Tetapi harus diingat bahawa situasi paling buruk telah berlaku. Jadi, jika anda bercadang untuk melabur, bolehkah situasi menjadi lebih buruk daripada sekarang atau adakah ekonomi akan mula pulih pada separuh kedua tahun ini?

Jika anda mengikuti blog saya sejak enam bulan lepas, anda sudah pasti dapat menjangka bahawa saya tergolong dalam kumpulan yang lebih optimis.

29 Mac, 2009

Menjaga Penarafan Kredit Anda

Cuba Bayar Semua Hutang Tepat Pada Masanya

Kalau tak silap saya, kira-kira lebih setahun lepas, isu CTOS merupakan isu yang dibincangkan oleh ahli politik dan juga rakyat biasa. Perbincangan berkisar kepada masalah yang dihadapi oleh orang berhutang dan juga orang yang telah diisytiharkan muflis tetapi yang telah menyelesaikan segala tanggungan mereka.

Apabila anda mengambil pinjaman atau berhutang, sama ada pinjaman perumahan, pinjaman kereta, pinjaman peribadi atau kad kredit, anda seharusnya mencuba sedaya-upaya untuk menjelaskan hutang anda tepat pada masanya, iaitu bayar pada tarikh ansuran atau hutang tersebut perlu dibayar.

Ini kerana rekod pembayaran anda, atau lebih dikenali sebagai 'credit history' atau sejarah kredit anda akan menjadi asas penilaian terhadap anda sekiranya anda memohon untuk sebarang bentuk pinjaman pada masa depan. Perlu diingat bahawa pihak yang mengutip maklumat kredit ini bukan satu syarikat sahaja.

Anda mungkin rasa tidak mengapa jika anda tertinggal sebulan dua selagi anda terus membayar kerana bank tidak akan menarik kereta anda atau melelong rumah anda, tetapi jika sikap tidak membayar tepat pada masanya ini menjadi satu amalan biasa, sudah pasti penarafan kredit anda akan terjejas.

Selain itu, walaupun anda telah menyelesaikan segala masalah lama anda, sebagai contoh jika aset anda pernah dilelong kerana gagal membayar, atau anda diisytiharkan muflis tetapi telah membayar balik hutang anda dan tidak lagi muflis, rekod anda telah tercemar dan institusi kewangan akan mengambil kira hal ini.

Satu contoh yang baik ialah jika anda ada hutang kereta dan anda tidak memerlukannya lagi. Anda melepaskan sahaja kereta itu di tangan bank dan tidak membayar ansuran. Walaupun nilai kereta anda itu melebihi hutang dan bank akhirnya dapat menjualnya pada harga yang menampung nilai hutang anda, rekod kredit anda tetap tercemar.

Kontrak hutang ialah seperti sebarang kontrak lain. Apabila anda menandatangani kontrak hutang, anda harus mematuhi syarat-syaratnya dan menghormatinya. Jika tidak anda juga yang rugi pada masa depan nanti.

25 Mac, 2009

Lanjutkan Pengajian Untuk Tingkatkan Keupayaan

Jangan Sambung Belajar Untuk Kelayakan Kertas Semata-Mata

Beberapa bulan lepas, saya terbaca cerita di akhbar mengenai aduan segelintir penuntut matang yang mengambil diploma eksekutif daripada UMCCED (Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya). Mereka tidak puas hati kerana diploma mereka tidak diiktiraf Perkhidmatan Awam. Pihak universiti pula menjawab ini merupakan diploma 'eksekutif' yang bertujuan menambah kemahiran, dan ia diterima oleh sektor swasta.

Pada pendapat saya, apabila kita mengambil kursus di sebuah Pusat Pendidikan Berterusan, matlamatnya ialah untuk meningkatkan kemahiran, bukan mendapat sijil semata-mata. Walaupun pengiktirafan daripada majikan penting, sepatutnya sebab utama kita melanjutkan pengajian ialah untuk menambahkan kemahiran, ilmu dan keupayaan kita supaya kita dapat mencatatkan prestasi lebih baik dalam tugas. Apabila prestasi kita lebih baik dan menyebabkan prestasi majikan meningkat, sama ada dengan menjimatkan kos atau menambah keuntungan, barulah kita diiktiraf dan pangkat atau gaji kita dinaikkan.

Mungkin dulu, apabila kita mendapat ijazah lanjutan seperti Ijazah Sarjana (Masters) atau PhD, kita secara automatik dinaikkan ke gred lebih tinggi. Mungkin ini masih relevan di dalam dunia akademik, kerana tahap kelayakan itu sedikit sebanyak mencerminkan prestasi akademik seseorang dan harus diiiktiraf menerusi pangkat dan gajinya.

Namun dalam sektor swasta, kenaikan tidak akan berlaku secara automatik. Kelayakan lanjutan yang diterima hanyalah sebagai tanda bahawa anda telah lulus kursus yang anda ikuti, dan anda layak memaparkannya dalam resume anda. Namun sama ada anda dinaikkan pangkat atau menerima gaji lebih besar bergantung semata-mata kepada prestasi anda dan manfaat anda kepada majikan.

Cuba kita lihat dari perspektif lain. Jika anda seorang usahawan atau peniaga, dan anda melanjutkan pengajian atau mengambil kursus untuk mengembangkan perniagaan anda, tujuan utama anda belajar ialah untuk meningkatkan kemahiran supaya anda boleh memajukan lagi perniagaan. Tetapi selepas anda habis belajar, tidak semestinya perniagaan anda bertambah maju. Semuanya bergantung kepada ilmu yang anda pelajari dan bagaimana anda mengamalkannya.

Justeru, pada pandangan saya apabila kita mengikuti sesuatu kursus atau melanjutkan pengajian, matlamat utama kita sepatutnya untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan keupayaan diri kita sendiri supaya kita boleh mencatatkan prestasi yang lebih baik. Jika prestasi kita meningkat, barulah pangkat atau gaji lebih tinggi akan menyusul. Sijil yang diterima hanyalah lambang semata-mata, selain daripada cantik dijadikan perhiasan dinding. Tidak lebih daripada itu. Paling penting ialah ilmu yang ditimba bukan ijazah yang diterima.

22 Mac, 2009

Dividen KWSP Sangat Memuaskan

Pulangan positif dalam suasana semasa dialu-alukan

Saya tergelak melihat komen sangat negatif yang diberikan kepada berita mengenai perisytiharan dividen 4.5 peratus oleh KWSP dalam akhbar Malaysian Insider. Saya dapati ramai manusia yang cenderung untuk 'komplen' atau mengkritik, tanpa memahami apa yang dikritik dan walaupun tidak fasih dengan bidang yang dikritik. Main hentam saja.

Berikut adalah antara sebab mereka tidak puas hati:
1. Dividen lebih rendah daripada 5.8% tahun lepas.
2. Dividen lebih rendah diberikan walaupun pendapatan telah meningkat
3. Tidak puas hati kerana peruntukan wang yang dibuat kepada ValueCap.

Soalan pertama sepatutnya tidak perlu dijelaskan langsung. Tinjaulah keadaan ekonomi semasa. Cuba lihat beberapa banyak dana pencen di Barat yang lebih agresif dalam pelaburan mereka seperti Calpers. Hampir semua mengalami kerugian. Pelabur terkemuka Warren Buffet juga mengalami kerugian besar tahun lepas. Malah hampir semua dana unit amanah mencatatkan kerugian besar pada 2008. Indeks Komposit Bursa Malaysia juga jatuh dengan ketara. Pulangan KWSP jauh mengatasi prestasi Indeks Komposit. Apa lagi yang nak dikata?

Pendapatan KWSP telah meningkat tahun ini tetapi dividen yang diiystiharkan lebih rendah. Sebabnya ialah untuk tahun 2009, kemungkinan besar pulangannya tidak seberapa, maka adalah tidak logik untuk mengisytiharkan dividen lebih tinggi tahun ini, dan kemudian memberikan dividen sangat rendah tahun depan. Kedua, nilai aset pelaburan telah turun sejak awal tahun akibat kegawatan, justeru KWSP juga perlu mengambil kira kemerosotan ini.

Faktor ketiga ialah pelaburan dalam Valuecap. Sebenarnya, pelaburan asal dalam ValueCap masih memberikan pulangan positif. Manakala pelaburan baru dalam ValueCap baru sahaja dibuat. Perlu diingat bahawa ValueCap memberikan pulangan yang terjamin kepada KWSP. KWSP tidak akan rugi melainkan Kerajaan jatuh muflis. Bukan ValueCap yang menyebabkan kemerosotan dividen.

Ramai yang sedang marah dengan kerajaan kerana pelbagai perkara, dan saya sendiri setuju dan saya sendiri pun marah. Tetapi pada pandangan saya kita tak boleh main hentam sahaja dalam semua hal. Bagi saya KWSP dan Bank Negara ialah dua institusi yang telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik.

Ada satu komen yang mendapat banyak rating positif berbunyi begini "At 4.5% we could do better on our own". Ini sebenarnya komen yang amat jahil memandangkan kerugian besar yang dialami di sana-sini. Sepatutnya biarkan sesiapa saja yang nak melabur sendiri keluarkan wang mereka daripada KWSP. Secara peribadi, kalau boleh saya tidak akan menyentuh wang saya sehingga usia tua.

Nota: Lihat posting saya sebelum ini mengenai KWSP (Kategori Kewangan) untuk melihat bagaimana pulangan jangka panjang KWSP didapati mengatasi pelaburan saham dalam tempoh masa tertentu.

18 Mac, 2009

Menilai Keupayaan Syarikat

Selain Kewangan, Faktor Kualitatif Juga Amat Penting

Ramai yang berpendapat analisis sesuatu syarikat membabitkan prestasi kewangan dan kedudukan perakaunannya. Walaupun kedudukan kewangan penting, tetapi segala laporan kewangan adalah laporan masa lalu. Namun begitu, harga saham syarikat pada masa depan tidak akan ditentukan oleh prestasi masa lalu, tetapi prestasi masa depannya.

Untuk menentukan prestasi masa depan, kita perlu menggunakan analisis kewangan dan juga analisis kualitatif, termasuk meninjau operasi, produk dan pengurusan syarikat. Antara faktor yang sepatutnya diberi perhatian termasuk perkara berikut:

1) Produk dan Perkhidmatan Syarikat
Kita perlu meninjau produk-produk syarikat dan melihat sama ada produk ini mendapat sambutan daripada pelanggan. Prestasi dan kelarisan produk atau perkhidmatan syarikat memainkan peranan penting untuk menentukan prestasi untung syarikat.

2) Jenama
Jenama produk atau syarikat juga penting. Jenama ialah aset penting yang tidak terdapat dalam akaun tetapi sebenarnya amat berharga. Jenama memberikan identiti dan kredibiliti kepada produk syarikat, selain daripada kepercayaan pelanggan. Tetapi kita juga perlu membezakan jenama yang mantap dengan jenama yang kurang diyakini.

3) Kuasa Pasaran
Adakah syarikat mampu menetapkan harga sendiri atau harga produknya ditentukan oleh pasaran terbuka. Jika syarikat hanya price-taker, kemungkinan besar syarikat mengeluarkan barangan komoditi, dan kita perlu meninjau harga komoditi untuk menentukan prestasi syarikat. Kalau harga komoditi rendah, amat sukar bagi syarikat mencatatkan prestasi yang baik.

4) Kuasa Ke Atas Pembekal Input
Adakah syarikat mempunyai kuasa ke atas pembekalnya atau syarikat hanya menerima sahaja harga pasaran. Sebagai contoh, syarikat yang menggunakan minyak sawit sebagai bahan mentah terjejas teruk apabila harga minyak kelapa sawit naik.

5) Pengurusan
Pengurusan ialah satu lagi faktor yang amat penting. Pengurusan yang baik akan sentiasa berhubung dan berterus-terang dengan pelabur dalam keadaan susah dan senang. Tinjau siaran akhbar yang dikeluarkan syarikat, kalau banyak unsur putar-belit dan terlalu menekankan yang positif, kita patut berwaspada dengan mereka. Sebagai contoh jika perolehan meningkat tetapi syarikat mencatatkan kerugian, kita perlu berwaspada jika 'headline' siaran akhbar menyebut perolehan meningkat. Sepatutnya syarikat berterus-terang dan menekankan bahawa syarikat mengalami kerugian.

Kebanyakan maklumat di atas boleh didapati menerusi Internet, sama ada di laman web Bursa Malaysia, laman web syarikat atau laman web akhbar harian dan kewangan.