28 Julai, 2015

Keadaan Di China Tunjukkan Bahawa Kerajaan Tak Boleh Kawal Pasaran Dalam Jangka Panjang

Semalam Indeks Komposit Shanghai telah jatuh sebanyak 8.5 peratus, satu junaman yang agak membimbangkan. Tetapi jika kita membandingkan paras keuntungan dan harga saham di China, kejatuhan ini bukan sesuatu yang mengejutkan.

Bulan lepas saya telah menulis tentang keadaan pasaran saham di China dalam posting Berwaspada Terhadap Pasaran China dan di blog peribadi saya, Irrational Exuberance Returns.

Selepas berlaku kejatuhan pertama beberapa minggu lepas, Kerajaan China telah cuba menstabilkan pasaran dan mengenakan langkah tertentu yang sebenarnya menyelindungi keadaan sebenar.

Namun semalam, pasaran jatuh kembali, dan nampak seperti unsur panik berlaku. Terdapat kemungkinan kerajaan akan kembali memasuki pasaran dan menstabilkan harga tetapi dalam jangka panjang ini tidak dapat dilakukan untuk tempoh yang terlalu lama.

Indeks Komposit Shanghai

Walau apa pun yang dilakukan, untung syarikat tetap untung syarikat dan dalam jangka panjang harga akan mencerminkan paras untung.

Amat penting bagi kita untuk belajar daripada pengajaran di China. Kita tahu bahawa saham tidak boleh berada lebih tinggi daripada paras yang munasabah terlalu lama dan begitu juga ia tidak boleh berada jauh di bawah paras puratanya untuk tempoh yang terlalu panjang.

Dalam keadaan euforia keterlaluan, lebih baik kita jauhkan diri daripada pasaran, dalam situasi terlalu pesimistik, itulah masanya kita mendekati pasaran.

Mengapa kita perlu bimbang terhadap China? Ia ekonomi yang jauh lebih besar dari Greece dan kejatuhan pasaran mungkin menjejaskan keyakinan dan secara tidak langsung menimbulkan kesan negatif kepada ekonomi dan juga pasaran saham lain di Asia termasuk Malaysia.

Di samping itu, China ialah salah satu rakan dagangan utama Malaysia dan juga pengguna komoditi terbesar, termasuk minyak dan kelapa sawit. Keadaan di China akan mempengaruhi harga kedua-dua komoditi tersebut.

Kemungkinan besar anda tidak mempunyai apa-apa pelaburan di China tetapi jangan lepaskan peluang untuk belajar daripada apa yang berlaku di sana.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

18 Julai, 2015

9 Cara Untuk Memanjat Tangga Kerjaya

Tidak ada cara yang lebih baik untuk mencapai kejayaan dalam dunia kerjaya melainkan menjadikan diri anda lebih berharga kepada majikan.

Apabila kemahiran anda mendapat permintaan yang tinggi, gaji anda sudah tentu meningkat. Berikut adalah beberapa cara untuk menjadikan diri anda lebih berharga.
  1. Membina kepakaran lebih tinggi daripada orang lain.
  2. Mempunyai kemahiran unik.
  3. Terus menambah baik keupayaan dengan mengikuti kursus atau bengkel.
  4. Melakukan lebih daripada yang diminta
  5. Membina jaringan yang luas (networking)
  6. Bijak menyelesaikan masalah
  7. Pandai bercakap di khalayak umum dan berkomunikasi
  8. Menyiapkan tugasan tepat pada masanya
  9. Jujur dan amanah
Dunia hari ini lebih berasaskan prestasi. Ganjaran anda sedikit sebanyak bergantung kepada berapa banyak yang anda sumbang kepada keuntungan syarikat.

Sebab utama pekerja yang baru mendapat ijazah dibayar gaji rendah ialah kerana belum ada kemahiran kerja lagi dan masih belum membuktikan diri. Sumbangan mereka kepada keuntungan syarikat juga kecil.
 
Pada beberapa tahun pertama kerjaya, jangan terlalu mengutamakan gaji tetapi sebaliknya lihat kemahiran apa yang boleh dibina daripada tugas anda.

Di samping itu, cuba bina jaringan sejak dari peringkat awal lagi kerana ramai orang yang mendapat kerja berasaskan jaringan dan recommendation, terutamanya jawatan peringkat atasan.

Jangan beri tumpuan pada gaji, sebaliknya fokus pada nilai yang dapat anda berikan, kerana inilah yang akan menetukan kejayaan anda dalam jangka panjang.

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin. Diharapkan pembaca memandu dengan selamat sepanjang musim perayaan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.
 
09 Julai, 2015

Prestasi Dana Ekuiti Syariah Sehingga Separuh Pertama 2015

Kita alihkan tumpuan sebentar daripada segala drama politik tempatan dan masalah kewangan dan pasaran saham yang sedang berlaku di Greece dan China untuk meninjau prestasi unit amanah ekuiti patuh Syariah Malaysia sehingga 30 Jun 2015.

Selepas kenaikan ketara sepanjang tempoh 5 - 6 tahun lepas, kita sekarang memasuki fasa untuk jangka masa 3 bulan hingga setahun akan datang di mana kita akan melihat dana mana pula akan lebih menyerlah dalam pasaran yang mendatar atau menurun.

Berikut adalah penarafan 20 unit amanah ekuiti patuh syariah terbaik untuk tempoh antara 6 bulan hingga 10 tahun berasaskan data Morningstar sehingga 30 Jun 2015. (Klik untuk besarkan)

Prestasi 6 bulan

Prestasi 1 tahun

Prestasi 3 tahun

Prestasi 5 tahun

Prestasi 10 tahun

Satu perkara yang sukar diramalkan ialah dana mana yang akan mencatatkan prestasi kukuh dalam tempoh yang mendatang, lebih-lebih lagi kerana situasi yang dihadapi dalam masa terdekat mungkin berbeza daripada yang dialami sejak 1 - 10 tahun lepas.

Kita lihat di atas bahawa ada dana yang mencatatkan prestasi jauh lebih baik sejak 5 tahun lepas berbanding 10 tahun, mungkin kerana pertukaran pengurusan dana atau strategi, tetapi kita sebagai pelabur individu sukar meramalkan perkara sebegini.

Cara terbaik ialah melihat dana-dana yang telah mencatatkan prestasi mantap dalam tempoh 3 - 10 tahun lepas dan berada di dalam senarai antara yang teratas dalam tempoh ini.  Prestasi jangka panjang memberikan gambaran yang lebih tepat tentang pengurusan dana berbanding prestasi jangka pendek.

Berasaskan semua tempoh pelaburan di atas, seorang pelabur unit amanah boleh mencatatkan pulangan yang memuaskan dalam jangka panjang jika bijak memilih salah satu daripada dana yang kukuh.

Namun begitu, senarai di atas hanya menunjukkan 20 dana terbaik, dan jika tersalah pilih, ada potensi bagi pelabur menerima prestasi yang tidak setimpal dengan pulangan yang dicatatkan oleh dana-dana di atas. Seperti pelaburan lain, sedikit penyelidikan diperlukan untuk mengelakkan kesilapan.

Nota:  Bagi saya, jika anda ada dana untuk dilaburkan dan mempunyai jangka masa pelaburan antara 3 - 10 tahun, tempoh kelemahan pasaran ini ialah masa yang amat sesuai untuk beli.  Jika ada jumlah besar untuk dilaburkan, pecahkan kepada 5 - 10 pelaburan secara berkala untuk memastikan tidak membuat kesilapan dari segi timing.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Jika anda memerlukan khidmat rundingan & bimbingan pelaburan, sila klik Bimbingan & Rundingan.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

02 Julai, 2015

Fitch Kekalkan Penarafan Malaysia: Naikkan Tinjauan Daripada Negatif Kepada Stabil

Fitch Ratings ialah sebuah agensi penarafan yang membuat analisis dan memberi penarafan kepada bon korporat dan hutang kerajaan di seluruh dunia menerusi analisis terperinci yang dilakukan.

Mengapa penarafan Fitch penting?
  • Pulangan yang ditetapkan oleh pasaran terhadap hutang kerajaan berasaskan penarafan mereka mempunyai pengaruh terhadap pulangannya atau yield, yang juga akan mempengaruhi nilai saham.
  • Menunjukkan keupayaan kerajaan membayar balik hutang.
  • Memberikan gambaran tentang kekuatan fiskal dan kewangan sesebuah negara.
Fitch telah mengekalkan penarafan Malayia pada A- dan menaikkan tinjauan daripada negatif kepada stabil walaupun pada mulanya penarafan Malaysia dijangka turun.

Ini sesuatu yang di luar dugaan dan bermakna pertemuan pegawai Kementerian Kewangan dengan Fitch pada awal Jun ini telah membuahkan hasil.

Kesannya ialah saham naik buat waktu ini kerana yield bagi hutang Kerajaaan Malaysia kekal. Kedua pelabur lebih yakin dengan kedudukan fiskal Malaysia walaupun masih ada kelemahan.

Mereka membuat keputusan tersebut kerana kedudukan defisit Malaysia yang sedikit lebih rendah, dan keyakinan mereka terhadap dua langkah utama yang menampung kejatuhan harga minyak, iaitu rasionalisasi subsidi dan juga pelaksanaan GST.

Ternyata bahawa pengurangan subsidi dan juga sumber hasil baru ini telah meningkatkan kedudukan kewangan kerajaan. Bagaimanapun, keadaan belum lagi cerah dan negara tetap menghadapi beberapa risiko yang saya senaraikan dua minggu lepas iaitu:
  1. Fed AS menaikkan kadar faedah.
  2. Kejatuhan pasaran bon global.
  3. Kemerosotan untung sesetengah syarikat di Malaysia.
  4. Potensi kejatuhan lanjut saham China, selepas naik dengan ketara.
  5. Pasaran hartanah di banyak negara dunia yang agak tinggi.
Cuma, berasaskan tinjauan daripada Fitch, saya rasakan worst case scenario mungkin tidak berlaku, dan situasi mirip krisis kewangan Asia tidak berulang. Cuma kita mungkin mengalami kesukaran dalam tempoh 6 - 12 bulan akan datang.

Kesimpulan yang boleh dibuat daripada keputusan penarafan Fitch ialah GST telah menyelamatkan Malaysia daripada diturunkan taraf akibat kesan kejatuhan harga minyak dan masalah lain seperti 1MDB.

Nota:  Persoalan sama ada wajar atau tidak membebankan rakyat untuk 'menyelamatkan' negara adalah soal politik yang berada di luar skop blog ini dan mungkin saya sentuh dalam blog peribadi saya dalam tempoh terdekat.