29 November, 2015

Nak Jadi Jutawan? Makan Gaji Pun Boleh

Jika saya tinjau di Facebook, rata-rata mesej secara umum yang saya terima dalam newsfeed saya ialah anda perlu berniaga atau melabur dalam itu dan ini untuk mencapai kejayaan.

Jarang ada orang yang cakap 'jom jadi pekerja yang hebat' untuk berjaya. Atau memberi tips untuk menjadi jutawan dengan jadi kuli.

Tetapi hakikatnya, di kalangan rakan saya dalam dunia luar (berbanding friends di facebook), jauh lebih ramai golongan yang telah berjaya adalah di kalangan mereka yang makan gaji. Kemungkinan besar kebanyakannya jutawan dari segi net worth dan nilai bersih.

Ada di antara mereka adalah doktor, akauntan, ketua pegawai eksekutif, rakan kongsi, pengarah urusan, kakitangan kerajaan, pekerja bank, jurutera dll.

Di samping itu, hampir semua mereka bekerja dalam bidang yang menjana nilai kepada masyarakat dan ekonomi, bukan sebahagain daripada apa yang saya lihat di FB yang mana untung yang dicipta dari tangan orang lain, bukannya dengan proses mencipta nilai.

Perkara paling menarik, ialah mereka tidak perlu melabur dalam itu ini untuk melakukannya.  Walaupun sebahagian besar mereka akan melabur, tetapi jika mereka simpan dalam bank atau Tabung Haji pun mereka tetap hidup senang dengan gaji besar.

Mereka juga tidak menghebahkan bahawa mereka ini jutawan atau jalan yang mereka lalui boleh membawa kekayaan.

Rahsia mereka ialah mereka fokus kepada kerjaya mereka dan melakukan sebaik mungkin dalam tugas tersebut, membolehkan mereka diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar secara beransur-ansur.

Sememangnya untuk menjadi ultra kaya, berniaga mungkin satu-satunya jalan. Tetapi jauh lebih ramai yang menjadi sederhana kaya dengan bekerja makan gaji dan menabung dan melabur.

Ada banyak cara untuk berjaya. Tetapi jangan ingat yang apa yang anda lihat di Facebook itu yang terbaik kerana sebahagian besar orang berbisnes melakukan marketing (termasuk saya) melaluinya.

Ini berbeza daripada ramai orang lain yang berjaya dalam kerjaya tetapi hanya posting berkenaan keluarga dan isu semasa. Mereka tidak mendakwa mereka mengetahui rahsia untuk menjadi jutawan dan sebagainya walaupun mereka sendiri merupakan jutawan.

Malaysian memerlukan usahawan, perlukan pemberi perkhidmatan, perlukan kakitangan, perlukan golongan profesional, perlukan pendidik dan perlukan kakitangan awam.

Paling penting ialah nilai yang anda jana dan paling menarik, semua kerjaya di atas berpotensi memberikan anda jalan ke arah kejayaan kewangan. Pilih satu dan fokus terhadap usaha memberikan yang sebaik mungkin.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat
 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: