28 Februari, 2014

Patutkah Melabur Dalam Syarikat Yang Menghadapi Masalah Seperti MAS?

Masa depan syarikat amat bergantung kepada kewibawaan pengurusan

Saya menerima soalan daripada pembaca yang ingin tahu sama ada ini merupakan masa yang sesuai untuk membeli saham MAS yang jatuh merudum sekarang selepas mengumumkan kerugian pada tahun kewangan 2013 tempoh hari. Keputusan yang diumumkan adalah lebih teruk daripada jangkaan banyak pihak.

Pendek kata, bolehkah kita membeli dengan harapan bahawa syarikat akan kembali untung dan seterusnya menyebabkan saham naik dengan ketara?.

Berikut adalah harga saham MAS dalam tempoh beberapa bulan lepas:

Bursa Malaysia

Perkara pertama yang perlu diingat ialah apabila melabur dalam situasi seperti ini, pelabur mengambil risiko yang besar dengan harapan meraih pulangan yang tinggi.

Nilai asset bersih MAS sekarang, berasaskan laporan suku tahun terakhir ialah 0.24 sen. Pendek kata kerugian hanya 24 sen sesaham pada masa depan boleh menyebabkan MAS diklasifikasi sebagai syarikat dengan nilai aset bersih negatif, iaitu liabilitinya melebihi aset.

Walaupun harga sahamnya murah sekarang, MAS tidak mempunyai terlalu banyak ruang lagi untuk mencatatkan kerugian. MAS perlu dipulihkan pada tahun 2014, jika tidak syarikat ini mungkin lenyap atau memerlukan 'bailout' daripada kerajaan.

Tetapi jika pemulihan berjaya dicapai, maka potensi bagi pelabur untuk untung lebih daripada sekali ganda pasti ada kerana harganya akan melonjak.

Maka keputusan sama ada anda patut membeli MAS bergantung semata-mata kepada pelan pemulihan yang dibentangkan oleh pihak pengurusan. Analisis penyata kewangan, walaupun penting, tidak begitu bermakna lagi kerana survival syarikat menjadi pertaruhan.

Pendek kata pelaburan ini mempunyai ciri 'very high risk, high reward'.

Pada pendapat saya anda boleh beli saham MAS hanya jika anda:
  1. Yakin dengan kewibawaan pihak pengurusan MAS.
  2. Berpendapat bahawa strategi yang diambil oleh pengurusan bersesuaian dengan keadaan.
  3. Percaya bahawa turnaround boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
  4. Kerajaan tidak akan membiarkan MAS muflis.
  5. Anda membelinya sebagai sebahagian daripada portfolio yang turut mengandungi saham lain.
Faktor kelima adalah amat penting. Saya pernah membaca tentang pelabur tersohor yang melabur dalam syarikat bermasalah yang berpotensi dipulihkan. Mereka selalunya melabur dalam sekumpulan saham dan bukannya satu sahaja. 

Ini kerana mereka sedar bahawa terdapat risiko satu dua syarikat tidak dapat dipulihkan dan adalah mustahil untuk meramalkan dengan tepat syarikat mana yang akan pulih dan mana yang gagal.

Jika MAS ialah satu-satunya saham yang anda beli, anda mengambil risiko yang besar. Tetapi jika syarikat dapat dipulihkan, untung yang anda raih juga sangat besar. Terpulang kepada pelabur untuk membuat pertimbangan sendiri.

Nota:
  1. Dapatkan research report mengenai MAS dari laman Bursa Malaysia dan juga laman web MAS sendiri.
  2. Pihak pengurusan MAS yang sedia ada mengambil langkah yang berbeza daripada Idris Jala semasa beliau menerajui MAS. Pengurusan sekarang mementingkan faktor muatan dan bukannya hasil pulangan. Ini bermakna mereka mahu memastikan kapal terbang penuh walaupun jika buat masa ini tidak dapat pulangan tinggi daripada penumpang. Tetapi wajar untuk kita berikan masa satu lagi tahun untuk melihat keberkesannnya.

Tiada ulasan: