12 February, 2014

Berwaspada Terhadap Pergerakan Gergasi

Jual beli pelabur institusi pengaruhi harga saham dalam jangka pendek

Selain daripada mengkaji kekuatan kewangan dan juga kualitatif syarikat sebelum membeli saham, pelabur juga perlu meninjau sama ada terdapat pergerakan pelabur institusi dan/atau pemegang saham utama syarikat.

Memandangkan mereka mempunyai pegangan yang besar, tindakan mereka untuk menjual atau membeli saham berpotensi mempengaruhi harga.

Saya berikan satu contoh. Baru-baru ini saya meninjau sebuah saham syarikat yang bernama Eversendai. Syarikat ini disenaraikan pada harga di sekitar RM1.70 pada tahun 2012. Eversendai bukannya lemah, cuma prestasinya selepas disenaraikan tidak seperti dijangka. 

Berikut adalah pergerakan harga Eversendai sejak disenaraikan:

Bursa Malaysia

Prestasi syarikat menjunam pada bulan November 2013 kerana mengumumkan keputusan suku ketiga yang kurang baik.

Pada harga di bawah RM1.10, saya bercadang untuk mempertimbangkan semula syarikat ini. Saya pernah membeli pada RM1.20 dan menjual selepas harga naik kembali untuk memberikan saya untung lebih 20%.  Saya jual kerana tidak begitu yakin syarikat dapat mengembangkan untung pada waktu itu.

Semasa menilai kembali syarikat, saya mendapati catatan berikut dalam bahagian Company Announcements di Bursa Malaysia:

Bursa Malaysia Company Announcements

Jika anda klik pada mana-mana link tersebut, anda akan mendapati bahawa KWSP, sebuah pelabur institusi, sedang menjual saham Eversendai. Saya menganggap pelabur institusi sebagai gergasi yang pergerakannya boleh menggegar kawasan sekeliling.

Teknik jualan seperti ini, iaitu sedikit demi sedikit, dilaksanakan untuk mengelakkan gangguan besar kepada harga. Jualan terbaru adalah seperti berikut:


Apa yang saya temui dalam pengumuman yang dibuat kepada Bursa ini menyebabkan saya mengubah pandangan saya. Ternyata bahawa: 
  1. KWSP menjual saham tersebut pada paras rugi, kerana harga saham berada pada tahap paling rendah.
  2. Mereka masih mempunyai banyak saham dalam pegangan, dan boleh meneruskan jualan.
  3. Jualan ini turut menimbulkan tekanan kepada harga, walapun sebab utama kejatuhan ialah kemerosotan prestasi.
Seperti yang saya jangkakan, sekarang ini harga telah jatuh lagi ke paras bawah RM1.00. Apa yang KWSP tahu yang kita tidak tahu? 

Walaupun saham ini nampak undervalued, saya akan menunggu dan melihat perkembangan terkini dan sejauh mana jualan tersebut diteruskan sebelum mempertimbangkannya semula.

Jualan pelabur institusi atau pemegang saham utama kadangkala dilakukan untuk meraih tunai dan mengambil untung. Tetapi dalam keadaan lain, ia merupakan tanda bahawa mereka tahu sesuatu yang kita tidak tahu atau tidak yakin dengan prospek syarikat.

2 comments:

Razali Razman said...

Ada masalah sikit dengan bahagian komen. Bagi yang komen menerusi Google+ tempoh hari tetapi komen tersebut dah hilang. Jawapan kepada soalan ialah:

Jika sekali Pelabur institusi beli, belum ada isyarat kukuh tetapi jika dah beli lebih sekali dan fundamental seiring dengan keputusan pelabur institusi, maka ada potensi untuk menjejak langkah mereka.

Anonymous said...

Terima kasih.