05 Februari, 2014

Pengiraan Bonus Tabung Haji Pada 2013

Bonus Tahunan 6% untuk semua pendeposit dan Bonus Haji 2% hingga jumlah maksimum RM9,980 bagi mereka yang belum menunaikan Haji

Baru-baru ini, Tabung Haji telah mengumumkan bonus untuk para pendeposit bagi tahun 2013. Bonus yang diumumkan ialah Bonus Tahunan 6% untuk semua penyimpan dan juga Bonus Haji 2% bagi mereka yang belum menunaikan Haji, sehingga simpanan maksimum RM9,980.

Berasaskan laporan akhbar, ada yang mungkin tersalah anggap bahawa mereka akan menerima Bonus Haji 2% untuk keseluruhan simpanan mereka, tetapi sebenarnya bonus diberi sehingga nilai maksimum RM9,980 sahaja. Nilai tersebut ialah kos asas untuk menunaikan Haji. Wang simpanan selebihnya hanya akan menerima Bonus Tahunan. 

Berikut adalah kaedah pengagihan yang dipetik daripada laman web TH:


Dari segi sejarah, kadar 6% adalah antara bonus yang tertinggi, dan jika anda belum menunaikan Haji dan simpanan anda berjumlah RM9,980 atau lebih rendah, maka bonus 8% yang anda terima adalah yang tertinggi dalam sejarah.

Sebagai contoh pengiraan, jika anda memiliki RM20,000 dalam akaun sepanjang tahun 2013. Bonus yang akan anda terima ialah:

(9,980 x 8%) + (RM10,020 x 6%) = RM1,400

Pada tahun lepas, saya ada menulis artikel mengenai topik yang sama dan memberikan contoh jumlah pulangan yang diterima pada akhir 2012 jika anda menyimpan RM10,000 pada 2003 dan tidak menambah apa-apa. Pulangan terkompaun bersih yang dicatatkan ialah 5.38%.

Pada tahun ini, saya menggunakan jadual yang sama dan menambah pulangan bonus yang diterima pada tahun ini.

Tahun
Nilai Awal (RM)
Pulangan (%)
Nilai Akhir (RM)
2003
10,000
4.00
10,400
2004
10,400
4.30
10,847
2005
10,847
4.50
11,335
2006
11,335
4.75
11,874
2007
11,874
5.00 + 2.00
12,705
2008
12,705
5.00
13,340
2009
13,340
5.00
14,007
2010
14,007
5.50
14,777
2011
14,777
6.00
15,664
2012
15,664
6.50 + 1.50*
16,883
2013
16,883
6%+
17,895
*Bonus Khas dikira mengikut kaedah TH
(Baki minima bulanan dari Jan 2006 hingga Dis 2012/84 bulan) x 1.5%
+Saya mengambil kira hanya 6% kerana itulah yang diterima oleh semua pelabur

Bermula dengan simpanan RM10,000 pada awal tahun 2003, selepas tempoh 11 tahun anda akan menerima RM17,895. Pulangan terkompaun yang dicatatkan ialah 5.43% setahun.  Kadar ini adalah pulangan bersih kerana TH telah membayar zakat untuk pendeposit.

Segala pelaburan anda, sama ada emas, saham, hartanah dan sebagainya, boleh ditanda aras (benchmarked) dengan pulangan TH.

Jika dalam jangka panjang anda tidak dapat menghasilkan pulangan terkompaun bersih (selepas menolak zakat) sebanyak 5.43% setahun, maka ternyata lebih selamat untuk simpan sahaja di dalam TH kerana risikonya jauh lebih rendah daripada pelaburan lain.

Tiada ulasan: