28 Mei, 2013

Penjelasan Tentang Pendapatan Sesaham, Dividen dan Nisbah P/E

Adakah P/E bersangkut paut dengan dividen? Jika saya melabur dalam saham yang mempunyai nilai P/E 10 adakah saya akan membuat keuntungan sekali ganda dalam masa 10 tahun?

Mengenai Nisbah P/E

Nisbah P/E bermakna nisbah antara harga dan pendapatan dan diperolehi dengan membahagikan harga saham dengan pendapatan sesaham. Pendapatan sesaham dikenali sebagai Earnings Per Share (EPS) dalam bahasa Inggeris.

Nisbah P/E  = Harga / Pendapatan Sesaham.

P?E ini tidak mempunyai maksud apa-apa berkaitan dengan pulangan yang anda terima sebagai pemegang saham.  Sebaliknya ia merupakan ukuran untuk membandingkan nilai sesebuah syarikat berbanding dengan syarikat lain. 

Kita semua tahu bahawa semua syarikat mempunyai harga berbeza dan tahap pendapatan sesaham yang berbeza. Justeru, adalah sukar untuk membandingkan satu syarikat dengan syarikat yang lain. Dengan adanya nisbah P/E, kita boleh membandingkan segala jenis syarikat, tidak kira saiznya.

Jika nilai P/E adalah 10, ini bermakna pada harga semasa dan pendapatan sesaham semasa, pelabur diandaikan akan pulang modal dalam masa 10 tahun.  Jika P/E adalah 5, pelabur akan pulang modal dalam 5 tahun.  Ini andaian sahaja dan merupakan kayu pengukur untuk membuat penilaian.  Pulangan sebenar yang anda terima akan bergantung kepada nilai saham pada masa depan dan juga dividen yang dibayar kepada syarikat.

Mengenai Dividen

Dividen pula ialah pulangan sebenar yang diterima oleh pelabur, yang dibayar daripada pendapatan sesebuah syarikat.  Kebanyakan syarikat membayar dividen manakala ada syarikat yang tiada dividen. Pulangan yang diterima pelabur ialah  kenaikan harga saham serta dividen yang diterima (jika ada).. 

Pulangan dividen yang anda terima bukan peratus dividen yang diumumkan oleh syarikat, kerana nilai ini adalah berasaskan nilai par saham, tetapi dividen, dalam sen, dibahagikan dengan harga belian saham anda. Inilah yang dinamakan dividen yield atau pulangan dividen anda.

Merujuk kembali kepada soalan di atas, untung yang anda terima dalam masa sepuluh tahun ialah jumlah keseluruhan dividen yang anda terima dalam tempoh tersebut, ditambah kenaikan harga saham (jika harga naik).  Kita tidak akan tahu nilainya sehinggalah masa tersebut tiba dan hanya boleh membuat anggaran.

Kaitan Antara Pendapatan Sesaham dan Dividen

Pendapatan sesaham ialah untung yang diperolehi syarikat dibahagikan dengan jumlah saham syarikat. Syarikat boleh melakukan dua perkara dengan pendapatan ini.  Pertama ialah menyimpannya untung mengembangkan syarikat dan kedua ialah dengan membayar dividen.

Sebagai contoh, jika EPS ialah 20 sen dan dividen ialah 10 sen, maka pendapatan yang dikekalkan oleh syarikat di dalam operasinya ialah 10 sen.  Lazimnya, 10 sen ini akan dapat dilihat daripada kenaikan Nilai Aset Bersih sesaham atau Net Tangible Assets (NTA).

Sebuah syarikat yang membayar dividen dan juga meningkatkan NTA tahun demi tahun ialah syarikat yang amat kukuh.

Kesimpulannya ialah kita menggunakan P/E untuk membuat perbandingan antara syarikat. Ia merupakan salah satu daripada kaedah penilaian saham dan bukannya ukuran untuk menentukan pulangan. Manakala pulangan yang kita perolehi pula meliputi dividen yang diterima dan juga kenaikan harga saham.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam.. Skarang bru saya faham. Terima kasih. Kenapa ada sesetengah saham tidak mempunyai nilai pe? Saya tgok ni dlam surat khabar. Adakah saham yang tidak mempunyai nilai pe ni bagus?

Tanpa Nama berkata...

contoh nya. Jika harga saham tersebut rm1.00
p/e 7.32 kemudian harga saham tersebut naik jadi rm1.08. Jadi cara nak mengira nya mcm ni rm1.00 / 0.08 dan pe nya jadi 12.5 mcm 2 ke? Maaf saya kurang faham sikit

Unknown berkata...

Wasalam,

Tanpa Nama 1

Saham yang tiada nilai P/E tidak mencatatkan untung, iaitu ia rugi. Pendek kata tak bagus melainkan dijangka berlaku pemulihan ketara pada tahun akan datang.

Unknown berkata...

Tanpa Nama 2,

Pengiraan P/E sangat mudah. Harga saham dibahagi pendapatan sesaham. Pendapatan sesaham bukan pendapatan yang anda terima tetapi pendapatan sesaham Syarikat tersebut. Jangan keliru antara 'pulangan' anda dengan 'pendapatan' syarikat.

Dalam kes soalan di atas. Jika saham tersebut RM1.00 dan P/E 7.32, oleh kerana pendapatan sesaham (EPS) syarikat tidak diberi... saya perlu buat kira-kira dulu.

EPS = RM1.00 / 7.32 = RM0.136
(13.6 sen)

Jika harga naik kepada RM1.08, P/E semasanya ialah
P/E = RM1.08 / 0.136 = 7.9