20 Mei, 2013

Kaedah Pelaburan Bulanan Ringkas Bawa Manfaat

Pelaburan sebenarnya mudah, orang yang membuatkannya susah

Walaupun saya seorang yang sangat suka menganalisis saham dan melabur terus dalam pasaran saham, saya turut melabur dalam unit amanah kerana para pengurus dana lazimnya melabur dalam saham-saham besar yang bukan menjadi fokus saya. 

Pendek kata unit amanah membolehkan saya mempelbagaikan pelaburan kepada saham yang berbeza daripada saham kurang terkenal yang saya pilih. 

Saya juga mendapati ia merupakan cara yang mudah dan tidak memeningkan kepala untuk melabur, terutamanya dengan kaedah pelaburan bulanan automatik yang dikenali sebagai dollar cost averaging atau purata kos ringgit.

Apabila anda sudah membuat keputusan untuk melabur secara bulanan, pilih sebuah dana unit amanah ekuiti daripada syarikat yang mantap dan teruskan dengan program tersebut dan jangan terpengaruh untuk menjual beli dana atau menukar dana ke dana lain, seperti dana pasaran wang, kerana meramalkan berlaku kemelesetan dan atau penurunan pasaran.

Kenaikan indeks pasaran saham serta prestasi dana-dana unit amanah dalam jangka panjang juga menunjukkan bahawa program seperti ini boleh memberikan pulangan yang memuaskan.  Anda tidak akan menerima pulangan tertinggi tetapi anda boleh menerima pulangan purata yang boleh memenuhi matlamat anda..

Masalahnya ialah sesetengah pelabur dan ejen unit amanah sukar menerima hakikat bahawa mereka tidak dapat meramalkan kenaikan atau penurunan pasaran dan juga kemelesetan dan perkembangan ekonomi dengan tepat.Keyakinan terhadap keupayaan diri sendiri untuk meramalkan pergerakan pasaran ini boleh membawa padah jika tersilap percaturan.
Program dollar cost averaging ialah mudah dan tidak memeningkan kepala. Tetapkan satu jumlah untuk dilaburkan secara bulanan dan kemudian buat pelaburan tersebut setiap bulan secara automatik. Satu-satunya perkara yang perlu anda pantau ialah prestasi dana yang anda pilih. 

Pastikan dana tersebut di kalangan dana yang sekurang-kurangnya mampu menandingi pergerakan indeks. Jangan terpengaruh untuk menjual beli atau menukar kepada dana kategori lain. Teruskan program pelaburan dan raih manfaatnya dalam jangka panjang.

Kita lihat prestasi BSKL dalam tempoh 20 tahun lepas:

Bursastation

Dalam tempoh 20 tahun tersebut, sebanyak 2 kemelesetan besar telah berlaku tetapi jika anda terus melabur dan membeli secara bulanan pada harga purata, anda akan menikmati pulangan yang agak memuaskan sepanjang tempoh tersebut.

Lihat prestasi beberapa dana patuh syariah menerusi laman web Morningstar dalam tempoh 10 tahun lepas:

Morningstar Malaysia

Oleh kerana banyak Dana Patuh Syariah masih baru, hanya dana-dana di atas sahaja yang mempunyai rekod 10 tahun.  Pada tahun-tahun akan datang, jumlahnya akan semakin meningkat.  Kita dapat lihat bahawa selagi anda memilih dana yang mencatatkan prestasi purata atau lebih tinggi, pulangan anda cukup memuaskan.

(Nota: Pulangan sebenar anda sudah tentulah berbeza daripada di atas, bergantung kepada bila anda memulakan program dan sebagainya, tetapi saya memberikan jadual ini sebagai gambaran)

Program dollar cost averaging ini boleh diamalkan tanpa meluangkan banyak masa menilai saham. Jika anda mengutamakan kos, anda boleh pilih saluran kos rendah dengan membeli dana menerusi Internet.

Pelabur boleh tersilap jika cuba keluar masuk atau membuat market timing kerana ingin meramalkan kemelesetan atau meraih untung yang lebih.  Bagaimana jika anda salah?  Program anda akan terjejas teruk akibatnya. 

Pada masa depan, kemelesetan akan berlaku lagi tetapi teruskan dengan program anda untuk memastikan anda mendapatkan manfaat dalam dunia perniagaan Malsyaia menerusi dana unit amanah. 

Program pelaburan yang ringkas dan konsisten dan tidak menganggu kerjaya sebenar anda adalah amat sesuai bagi kebanyakan orang yang tiada masa untuk belajar secara terperinci dan membuat kajian  tentang saham.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

setuju dgn tuan.pasaran saham sekarang banyak ketidakpastian.mungkin dengan kaedah dollar cost average dapat menikmati lebihan pendapatan dalam unit amanah.