13 Mei, 2013

100 Mata Bezakan Kepastian dan Ketidakpastian

Pasaran Saham Terus Melonjak Selepas Keputusan Pilihanraya

Pilihan raya umum telah berlalu dan kemenangan berpihak kepada BN dengan majoriti yang kurang sedikit, tetapi masih cukup selesa untuk mendorong kenaikan pasaran.  Suka atau tidak, hakikatnya ialah kemenangan BN memberikan kesinambungan dan kepastian bagi para pengurus dana dan reaksi mereka ialah untuk membeli dengan segera.

Tidak kira sama ada kita sebagai rakyat biasa setuju atau tidak , dasar yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri adalah mesra perniagaan dan disukai oleh pasaran, terutamanya dengan adanya Idris Jala yang menerajui program transformasi.  Pendek kata kemenangan DS Najib boleh dianggap sebagai kemenangan untuk big business.

Dalam satu posting sebelum sebelum pilihan raya pada 19 Februari bertajuk Peluang Dalam Ketidakpastian Semasa, saya menyatakan bahawa:

"Saya  membahagikan bargain hunting kepada tiga fasa utama ketidakpastian. Pertama sekali ialah fasa kejatuhan awal, iaitu dalam keadaan semasa (sekitar bulan Februari). Kedua ialah apabila pengumuman pilihan raya dibuat dan sehinggalah kepada pilihan raya sendiri. Fasa ketiga ialah jika keputusan tertentu berlaku selepas pilihan raya."

Nampaknya hanya dua fasa ketidakpastian berlaku, dan mereka yang berani mungkin telah mengambil kesempatan daripada dua fasa pertama. Berikut adalah kesan sebelum dan selepas:

Bursastation

Sekiranya keputusan memihak di sebelah lain, mungkin fasa ketiga ketidakpastian akan dialami tetapi apabila pelabur mula selesa, saham akan naik kembali, cuma mungkin ada lebih banyak masa untuk bargain-hunting.

Kesilapan paling besar ialah jika anda menjual semua saham sebelum pilihan raya untuk mengambil kesempatan daripada keputusan tertentu, tanpa mengambil kira kemungkinan bahawa keputusan sebaliknya boleh berlaku.

Keadaan semasa juga menekankan lagi manfaat pelaburan jangka panjang, kerana saya yakin bahawa tidak kira siapa yang menang, pasaran akan akhirnya tetap bergerak ke paras yang sesuai dengan tahap pendapatan syarikat-syarikat di dalam Bursa Saham. Jika anda keluar masuk berasaskan ramalan, anda mungkin silap percaturan.

Market timing adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan. Justeru, lebih baik beli apabila terdapat peluang untuk membeli pada harga berpatutan.  Akhirnya jika analisis kita tentang syarikat betul, kita akan tetap meraih untung dalam jangka panjang tanpa mengira turun naik pasaran dalam jangka pendek.

Bagi saya sendiri, memang ada 'peluru' ditinggalkan untuk mengambil kesempatan jika keputusan sebaliknya berlaku.  Dengan kenaikan semasa, proses pembelian akan diteruskan tetapi dengan amat teliti dan hanya apabila ada peluang.

Jangan terburu-buru untuk mengejar kenaikan, lebih-lebih lagi jika anda langsung tidak memegang apa-apa sebelum ini. Sekarang ini walaupun harga naik, masih ada saham yang bernilai berpatutan. Perlu diingat bahawa pasaran tidak akan terus-menerus naik. Peluang akan tiba lagi, cuma perlu bersabar. Tetapi apabila anda melihat nilai kembali muncul, ambil kesempatan daripadanya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Blh en nyatakan saham2 patuh syariah yg hrgany berpatutan? 2 3 syarikat sdh mncukupi..tq.

Unknown berkata...

Salam,

Saya tak boleh bagi tips saham. Kalau salah nanti pembaca rugi. Tapi saya banyak analisis saham pada posting yang lepas. Walaupun kebanyakan dah naik, ada yang masih berpatutan. Saya juga akan terus meninjau saham-saham lain pada masa depan, cuma saya tengah tunggu sehingga keputusan suku tahun keluar pada hujung bulan ini.