29 Disember, 2011

Pengajaran Pada Tahun 2011

Beberapa perkara yang saya pelajari pada tahun ini

Tahun 2011 sudah sampai ke penghujung dan meninjau kembali segala peristiwa yang berlaku, saya telah mempelajari beberapa perkara penting:

1.  Tiada siapa yang boleh meramalkan pergerakan pasaran secara konsisten.

Jika kita lihat  pasaran pada tahun ini, prestasi agak hambar dan mendatar. Walaupun pada akhir tahun ini kita lihat dapati kembali naik, kebanyakan saham sebenarnya berada pada paras lebih rendah dan saya dapati kenaikan ini berasaskan volum yang rendah, dan diterajui oleh saham-saham dalam Indeks FBM KLCI sahaja.

Apabila mengimbas kembali ramalan penganalisis pada awal tahun, kita dapati kebanyakan berada di antara julat 1,600 - 1,700. Berasaskan pemerhatian saya untuk tempoh beberapa tahun, tiada siapa yang boleh meramalkan pergerakan saham secara konsisten. Lebih baik beri tumpuan kepada pemilihan saham individu dan keadaan ekonomi yang mempengaruhi prestasi syarikat.

2.  Kadangkala kita perlu bayar untuk kualiti

Saya telah membeli sebuah Tablet PC dari China (Wondermedia) pada harga kurang RM500. Bukan sahaja prestasinya menghampakan, tetapi peranti tersebut rosak dalam masa beberapa bulan. Memang padan muka saya.  Perkhidmatan sokongan pun kurang baik.  Begitu juga dengan lampu energy saver terlalu murah (ada yang meletup dan ada yang pecah), yang mungkin tidak tahan lama seperti jenama yang sudah sedia ada di pasaran.

Bukan setakat itu, TV dan radio yang murah dengan jenama tidak ternama juga berpotensi menimbulkan masalah, walaupun ada jaminan, tetapi membuang masa kita untuk hantar balik untuk dibaiki.  Bukan semua begitu tetapi kebarangkaliannya lebih tinggi (berasaskan pengalaman sendiri). Tetapi bagi barang seperti tisu, ubat gigi atau jus yang berjenama pasar raya, ini tidak menjadi masalah kerana kualitinya lebih kurang sama sahaja.

3.  Ramai yang masih terpengaruh dengan skim cepat kaya

Walaupun dah begitu banyak kes kita dengar tentang skim cepat kaya, masih ramai yang terpengaruh dengan pelbagai jenis pelaburan dan perniagaan yang menjanjikan pulangan lumayan.  Langsung tak serik dan enggan menyelidik kebenaran. Ramai yang tak faham bahawa tidak ada 'free lunch'. Tiada pelaburan yang membolehkan anda melabur dan mendapat lebih daripada pulangan Tabung Haji atau ASB dengan pelaburan yang terjamin. Jika mahu pulangan lebih tinggi, perlu ambil risiko (unit amanah) atau perlu membuat sedikit penyelidikan (saham).

Sebenarnya memang ada cara untuk mendapat untung daripada skim cepat kaya jika kita pandai keluar pada peringkat awal.  Saya pun boleh buat, tetapi masalahnya ialah skim yang memberi jaminan pulangan dan membayar pulangan daripada wang baru daripada pelabur baru adalah haram.  Jadi kenapalah kita masih sibuk dengan skim seperti ini?

4.  Ketidakcekapan wujud di banyak tempat

Pada tahun ini, saya ada menjalankan beberapa urusan penting (termasuk menguruskan harta pusaka ayah saya).  Saya berurusan dengan banyak pihak, termasuk sistem mahkamah dan mahkamah syariah, peguam, badan pengurusan hartanah, bank, syarikat takaful, hospital dan sebagainya.

Saya dapati sesetengah orang dan organisasi, termasuk di peringkat yang agak tinggi, sama ada kerajaan atau swasta, tidak cekap dan tidak teliti dalam menjalankan tugas masing-masing. Saya dapati mereka yang menjalankan tugas yang baik adalah ikhlas dan membuat kerja bukan untuk makan gaji semata-mata, tetapi kerana rasa tanggungjawab mereka terhadap pelanggan, pembekal atau pihak yang berurusan dengan mereka.

5.  Ramai orang tak berupaya membuat pertimbangan yang adil

Sejak beberapa tahun lepas, saya banyak mengikuti perkembangan politik dan mendapati pandangan terhadap sesuatu bergantung kepada siapa yang mereka sokong. Contoh yang baik ialah pemberian 'hadiah' kepada rakyat.  Bila kerajaan Pakatan beri RM100 kepada warga tua, BN syak wasangka tetapi bila BN beri elaun RM100 kepada murid sekolah, Pakatan pula syak wasangka.  Bukankah kedua-duanya perkara yang sama.

Lihat sahaja ruang komentar di akhbar online atau blog yang jelas berpihak kepada satu pihak dan asyik mengutuk pihak yang lain.  Semuanya tidak boleh membuat pertimbangan adil.  Begitu juga ahli politik, apa yang orang lain buat sentiasa salah. Saling mengaibkan satu sama lain menjadi lumrah. Malangnya di penerbitan seperti inilah ramai orang suka membaca dan makin pedas tohmahan makin popular terbitan.

Semoga tahun 2012 lebih baik untuk kita dan mendatangkan kejayaan menerusi kerja keras, kesungguhan dan produktiviti, yang menghasilkan rezeki yang halal dan diberkati.  Memandangkan tahun 2012 mungkin tahun pilihan raya, harapan saya ialah kita saling menghormati satu sama lain dan cuba mengelakkan diri daripada mengaibkan orang lain.

20 Disember, 2011

Kesan Garis Panduan Pembiayaan Baru BNM

Peraturan lebih ketat untuk kawal pembiayaan dan  hutang pengguna
Satu atau dua industri mungkin merasai sedikit kesan daripadanya

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini  mengumumkan syarat pinjaman lebih ketat akan dikenakan terhadap pengguna bagi pembiayaan perumahan, pembiayaan kereta, kad kredit, pembiayaan peribadi dan overdraf.



Selain itu pinjaman kereta juga dihadkan kepada 9 tahun, tetapi ini tidak menjejaskan kebanyakan orang kerana hampir semua bank sudah mengenakan had tersebut.

Matlamat BNM ialah menggalakkan pemberian pembiayaan yang bertanggungjawab dan mengelakkan pengguna daripada menghadapi masalah apabila tiba masanya untuk menjelaskan hutang.

Menurut syarat baru ini, pendapatan yang dikira untuk kelayakan mendapat pembiayaan ialah selepas mengambil kira potongan KWSP dan cukai (syarat baru) dan juga selepas menolak tanggungan pinjaman yang sedia ada.

Selain itu, nisbah pembayaran balik hutang bagi kakitangan kerajaan dihadkan kepada 60%.  Pastinya ini akan mengurangkan jumlah pembiayaan yang boleh diberikan oleh bank kepada pegawai kerajaan.

Apakah Kesan Kepada Pengguna?

Bagi mereka yang sudah mendapat segala pinjaman yang dikehendaki dan tidak memerlukan pinjaman dalam tempoh terdekat, peraturan ini tidak mempunyai sebarang kesan.



Tetapi bagi mereka yang ingin mendapatkan pembiayaan mulai 2012, nilai rumah atau kereta maksimum yang mampu mereka beli menggunakan hutang adalah lebih rendah.

Apakah Kesan Kepada Bank?

Tahap pertumbuhan pinjaman bagi bank pada 2012 mungkin terjejas sedikit, bergantung kepada berapa besar portfolio dan peratus keuntungan yang dijana daripada pinjaman kepada pengguna.

Ditambah pula dengan keadaan ekonomi yang kurang baik, ini mungkin menyaksikan paras untung bank mendatar pada 2012. Namun begitu peratuan ini mungkin dapat mengurangkan pembiayaan tidak berbayar pada masa depan.

Apakah Kesan Kepada Industri Tertentu?

Industri kereta baru dan kereta terpakai mungkin terjejas (terlalu awal untuk mengetahui sedikit atau banyak).  Pembelian kereta amat bergantung kepada pinjaman dan peraturan baru ini mungkin menyebabkan sesetengah orang tidak layak mendapat pinjaman atau memperolehi pinjaman lebih rendah.

Begitu juga dengan industri hartanah, tetapi kesannya mungkin dilihat pada hartanah nilai sederhana dan juga mereka yang banyak mengambil pembiayaan untuk melabur dalam hartanah sebagai satu pembiayaan.  Secara tidak langsung ia mungkin mengekang kenaikan harga hartanah yang amat ketara dalam tempoh dua tiga tahun lepas.

Secara keseluruhannya, berasaskan maklumat yang saya terima daripada sumber dalaman industri, kesannya pada peringkat awal kelihatan agak besar juga.  Pada pendapat saya sebagai pelabur, kita juga harus mempertimbangkan bagaimana peraturan ini mempengaruhi prestasi saham syarikat yang kita beli pada tahun yang mendatang.

13 Disember, 2011

Meninjau Peruntukan Aset Anda

Sebahagian besar pulangan bergantung kepada peruntukan aset

Saya pernah menulis posting sebelum ini tentang bagaimana peruntukan aset akan menentukan sebahagian besar daripada pulangan yang anda terima daripada pelaburan anda (klik sini).  Apakah maksudnya peruntukan aset?

Peruntukan aset ialah peratusan aset yang anda pegang dalam setiap kategori aset berbanding jumlah aset yang anda miliki. Kita di Malaysia boleh memiliki pelbagai jenis aset, yang paling lazim termasuk:

Tunai
Aset paling umum sudah pastinya tunai, yang boleh ditabung dalam akaun simpanan, Tabung Haji atau Amanah Saham Kerajaan untuk mendapatkan pulangan. Tunai yang ditabung mempunyai risiko paling rendah.

Rumah Kediaman
Ini seharusnya menjadi aset pertama yang dimiliki oleh golongan muda.  Jangan anggap rumah kediaman tidak memberikan pulangan kepada anda. Sebenarnya rumah ini membolehkan anda menginap tanpa sewa.  Jika tidak membeli rumah, anda terpaksa membayar sewa.  Selain itu, harga kebanyakan hartanah naik dalam jangka panjang.

Unit Amanah
Unit amanah ialah cara yang paling mudah bagi pelabur kecil untuk mendapatkan pendedahan kepada bon, sukuk dan saham di samping mempelbagaikan pelaburan dengan serta-merta.  Risiko yang ditanggung bergantung kepada jenis dana.

Saham
Membeli saham memberikan risiko lebih tinggi.  Tetapi ramai yang mengharapkan pulangan yang lebih lumayan daripadanya dalam jangka panjang.  Mengapa pulangan lebih tinggi diharapkan?  Kerana saham ialah pemilikan dalam syarikat yang menjalankan perniagaan, dan keuntungan yang diraih oleh perniagaan boleh dinikmati oleh pelabur dalam bentuk dividen atau kenaikan harga saham.

Emas
Emas sebenarnya ialah aset yang tidak produktif.  Tidak ada nilai ekonomi yang dijana dengan membeli emas, walaupun pelabur boleh meraih untung daripada kenaikan harga.  Lazimnya orang membeli emas kerana keupayaannya mengekalkan nilai, iaitu naik seiring inflasi.  Emas dulunya dianggap sebagai pelaburan selamat yang bersifat 'defensive'. Namun harga emas telah naik mendadak dalam tempoh 10 tahun lepas, tetapi harganya semakin volatile. Dalam tempoh dua tahun ini, volatility emas telah menaikkan profil risiko/pulangannya. 

Hartanah Sewa
Sesetengah orang lebih suka untuk melabur dalam aset fizikal seperti rumah, pangsapuri, rumah kedai, pejabat tanah dan kediaman percutian untuk disewa. Pelaburan seperti ini memerlukan sedikit kerja fizikal termasuk mencari penyewa dan menyenggarakan hartanah apabila berlaku kerosakan.  Risikonya bergantung kepada jenis hartanah dibeli dan harga dan keadaan pasaran semasa pembelian dibuat.

Peruntukan Aset

Apabila seseorang baru bekerja, beliau biasanya hanya memiliki wang tunai dalam akaun simpanan sahaja, dan mungkin ada pelaburan kecil dalam unit amanah. Selepas itu langkah paling penting ialah membeli rumah kediamannya sendiri, dan pada peringkat permulaan ini rumah akan  merangkumi sebahagian besar daripada asetnya.

Selepas itu barulah beliau akan mempertimbangkan instrumen pelaburan lain sambil gajinya bertambah dan mempunyai lebih wang untuk melabur.

Peruntukan aset adalah penting kerana ia menentukan risiko yang sanggup anda ambil dan pulangan yang anda terima dalam jangka panjang.

Untuk meninjau sama ada peruntukan aset semasa anda sesuai, pertama sekali tentukan peratusan setiap aset yang anda pegang.  Selepas itu lihat tinjauan ekonomi semasa.  Soalan yang perlu anda tanya ialah:
  1. Apakah aset yang anda jangka bakal memberikan pulangan terbaik dalam tempoh 1, 3 atau 5 tahun akan datang?
  2. Apakah aset yang mempunyai risiko paling tinggi dalam tempoh 1, 3 atau 5 tahun akan datang?
Tetapi perlu diingat bahawa jangan peruntukkan peratusan terlalu tinggi untuk satu jenis aset, walaupun anda sangat yakin inilah aset yang akan naik, kerana tiada siapa yang boleh membuat tinjauan yang tepat.  Tambahkan sahaja peruntukan tetapi jangan letakkan semua dana anda di sana.

Satu lagi perkara yang sangat penting dan perlu diberi pertimbangan ialah aset yang memberikan pulangan tertinggi dalam tempoh 10 tahun lepas tidak semestinya akan memberikan pulangan tertinggi dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Buat tinjauan berasaskan kedudukan semasa berbanding kedudukan purata dalam sejarah, kemudian nilai sama ada aset ini berpotensi naik dalam tempoh lima tahun.  Unjuran prestasi pada masa depan hendaklah menjadi penentu keputusan anda.

05 Disember, 2011

BIMB Holdings Catat Prestasi Lemah Pada S3

Tetapi ada pihak sudah tahu dan menjual sebelum keputusan diumumkan
Prestasi lemah suku ketiga langsung tidak disebut dalam siaran akhbar

Baru-baru ini, BIMB Holdings mencatatkan keputusan S3 yang kurang baik dalam pengumuman yang dibuat pada hujung bulan November lepas.

Pendapatan sesaham (EPS) hanya 1.53 sen pada suku ketiga dan jauh lebih rendah berbanding dua suku tahun sebelumnya.  Namun begitu secara kumulatif, BIMB mencatatkan prestasi yang memuaskan untuk tempoh sembilan bulan berakhir dengan EPS 12.14 sen.

Saya pernah menulis tentang BIMB beberapa kali, pertama kali apabila sahamnya masih berada di sekitar RM1.20 - RM1.30 sen.  Sekarang ini sahamnya sudah berada di paras RM1.80 dan pernah mencapai lebih RM2.00.  Malah ada dua tiga penagalisis yang meletakkan penarafan 'buy' pada saham ini.

Tetapi dua perkara menimbulkan kemusykilan.  Pertama sekali ialah pergerakan harga saham BIMB sebelum pengumuman dibuat. Lihat carta di bawah

Pergerakan Harga BIMB 3 bulan:

Dipetik daripada Bursastation

Kita lihat bahawa harga mula jatuh pada hujung Oktober sedangkan pengumuman dibuat pada hujung November.  Adakah kejatuhan ini berkaitan dengan kejatuhan pasaran secara keseluruhan atau kerana ada pihak yang sudah tahu tentang prestasi lemah pada S3?

Dipetik daripada Bursastation

Pergerakan KLCI berwarna merah manakala pergerakan BIMB berwarna biru. Trend harga kedua-duanya menuju ke arah yang sama (cuma BIMB lebih volatile) sehingga pada hujung Oktober di mana laluannya berpecah dan BIMB turun sedangkan KLCI mendatar.

Perlu diingat penurunan ini berlaku sebelum pengumuman dibuat.  Di samping itu, saya dapati Maybank Investment Bank telah mengeluarkan saham ini daripada senarai 'buy' mereka dalam laporan harian yang diberikan kepada pelanggan beberapa  minggu sebelum pengumuman dibuat. 

Persoalannya ialah bagaimana mereka tahu sedangkan pengumuman awam belum dibuat?  Di samping itu, kemungkinan ada pihak yang menjual sudah tahu tentang keputusan yang diperolehi menyebabkan harganya jatuh terlebih dahulu.

Bagi pelabur, kesimpulannya ialah jika anda membeli saham, jangan beli beberapa minggu sebelum pengumuman dibuat kerana kita mungkin tidak tahu apa yang diketahui oleh orang dalam.

Satu lagi perkara yang boleh diperbaiki ialah siaran akhbar yang dikeluarkan oleh BIMB.  Siaran tersebut yang boleh dibaca di sini langsung tidak menyebut tentang kelemahan prestasi suku ketiga sebaliknya hanya menyentuh tentang prestasi sembilan bulan kumulatif yang lebih  baik daripada tahun sebelumnya.

Saya dapati Bernama memakai bulat-bulan siaran tersebut tetapi akhbar The Star telah berjaya merungkai maklumat sebenar dengan mengumumkan kejatuhan untung pada S3 berbanding S2.

Semua ini bukan bermakna syarikat ini tidak kukuh dan berpotensi, tetapi menimbulkan persoalan tentang ketelusan bank untuk memberikan maklumat kepada orang ramai dan pemegang saham.

Syarikat baru-baru ini mengumumkan dasar pembayaran dividen sebanyak 50% daripada keuntungan syarikat.  Ini bermakna jika EPS ialah 20 sen, dividen yang dijangka dibayar ialah 10 sen.  Ini satu perkembangan yang dianggap positif.

Di samping itu, masih ada potensi bank dijadikan sasaran pengambilalihan yang boleh menggerakkan harga.  Seperti yang dilihat oleh pergerakan harga Proton, saham boleh naik walau pun prestasi lemah jika ada ura-ura syarikat akan diambil-alih.

Namun begitu, ketelusan adalah sesuatu yang diharapkan daripada syarikat tersenarai, terutamanya sebuah bank Islam.  Justeru, diharapkan syarikat akan dapat memberikan gambaran yang lebih tepat tentang kedudukannya di samping itu memastikan keadilan kepada semua pelabur dengan menjamin penyebaran maklumat dapat dikawal supaya semua orang mendapat maklumat yang sama, pada masa yang sama.