Beberapa perkara yang saya pelajari pada tahun ini
Tahun 2011 sudah sampai ke penghujung dan meninjau kembali segala peristiwa yang berlaku, saya telah mempelajari beberapa perkara penting:
1. Tiada siapa yang boleh meramalkan pergerakan pasaran secara konsisten.
Jika kita lihat pasaran pada tahun ini, prestasi agak hambar dan mendatar. Walaupun pada akhir tahun ini kita lihat dapati kembali naik, kebanyakan saham sebenarnya berada pada paras lebih rendah dan saya dapati kenaikan ini berasaskan volum yang rendah, dan diterajui oleh saham-saham dalam Indeks FBM KLCI sahaja.
Apabila mengimbas kembali ramalan penganalisis pada awal tahun, kita dapati kebanyakan berada di antara julat 1,600 - 1,700. Berasaskan pemerhatian saya untuk tempoh beberapa tahun, tiada siapa yang boleh meramalkan pergerakan saham secara konsisten. Lebih baik beri tumpuan kepada pemilihan saham individu dan keadaan ekonomi yang mempengaruhi prestasi syarikat.
2. Kadangkala kita perlu bayar untuk kualiti
Saya telah membeli sebuah Tablet PC dari China (Wondermedia) pada harga kurang RM500. Bukan sahaja prestasinya menghampakan, tetapi peranti tersebut rosak dalam masa beberapa bulan. Memang padan muka saya. Perkhidmatan sokongan pun kurang baik. Begitu juga dengan lampu energy saver terlalu murah (ada yang meletup dan ada yang pecah), yang mungkin tidak tahan lama seperti jenama yang sudah sedia ada di pasaran.
Bukan setakat itu, TV dan radio yang murah dengan jenama tidak ternama juga berpotensi menimbulkan masalah, walaupun ada jaminan, tetapi membuang masa kita untuk hantar balik untuk dibaiki. Bukan semua begitu tetapi kebarangkaliannya lebih tinggi (berasaskan pengalaman sendiri). Tetapi bagi barang seperti tisu, ubat gigi atau jus yang berjenama pasar raya, ini tidak menjadi masalah kerana kualitinya lebih kurang sama sahaja.
3. Ramai yang masih terpengaruh dengan skim cepat kaya
Walaupun dah begitu banyak kes kita dengar tentang skim cepat kaya, masih ramai yang terpengaruh dengan pelbagai jenis pelaburan dan perniagaan yang menjanjikan pulangan lumayan. Langsung tak serik dan enggan menyelidik kebenaran. Ramai yang tak faham bahawa tidak ada 'free lunch'. Tiada pelaburan yang membolehkan anda melabur dan mendapat lebih daripada pulangan Tabung Haji atau ASB dengan pelaburan yang terjamin. Jika mahu pulangan lebih tinggi, perlu ambil risiko (unit amanah) atau perlu membuat sedikit penyelidikan (saham).
Sebenarnya memang ada cara untuk mendapat untung daripada skim cepat kaya jika kita pandai keluar pada peringkat awal. Saya pun boleh buat, tetapi masalahnya ialah skim yang memberi jaminan pulangan dan membayar pulangan daripada wang baru daripada pelabur baru adalah haram. Jadi kenapalah kita masih sibuk dengan skim seperti ini?
4. Ketidakcekapan wujud di banyak tempat
Pada tahun ini, saya ada menjalankan beberapa urusan penting (termasuk menguruskan harta pusaka ayah saya). Saya berurusan dengan banyak pihak, termasuk sistem mahkamah dan mahkamah syariah, peguam, badan pengurusan hartanah, bank, syarikat takaful, hospital dan sebagainya.
Saya dapati sesetengah orang dan organisasi, termasuk di peringkat yang agak tinggi, sama ada kerajaan atau swasta, tidak cekap dan tidak teliti dalam menjalankan tugas masing-masing. Saya dapati mereka yang menjalankan tugas yang baik adalah ikhlas dan membuat kerja bukan untuk makan gaji semata-mata, tetapi kerana rasa tanggungjawab mereka terhadap pelanggan, pembekal atau pihak yang berurusan dengan mereka.
5. Ramai orang tak berupaya membuat pertimbangan yang adil
Sejak beberapa tahun lepas, saya banyak mengikuti perkembangan politik dan mendapati pandangan terhadap sesuatu bergantung kepada siapa yang mereka sokong. Contoh yang baik ialah pemberian 'hadiah' kepada rakyat. Bila kerajaan Pakatan beri RM100 kepada warga tua, BN syak wasangka tetapi bila BN beri elaun RM100 kepada murid sekolah, Pakatan pula syak wasangka. Bukankah kedua-duanya perkara yang sama.
Lihat sahaja ruang komentar di akhbar online atau blog yang jelas berpihak kepada satu pihak dan asyik mengutuk pihak yang lain. Semuanya tidak boleh membuat pertimbangan adil. Begitu juga ahli politik, apa yang orang lain buat sentiasa salah. Saling mengaibkan satu sama lain menjadi lumrah. Malangnya di penerbitan seperti inilah ramai orang suka membaca dan makin pedas tohmahan makin popular terbitan.
Semoga tahun 2012 lebih baik untuk kita dan mendatangkan kejayaan menerusi kerja keras, kesungguhan dan produktiviti, yang menghasilkan rezeki yang halal dan diberkati. Memandangkan tahun 2012 mungkin tahun pilihan raya, harapan saya ialah kita saling menghormati satu sama lain dan cuba mengelakkan diri daripada mengaibkan orang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan