Perdana Menteri Greece, George Papandreou (gambar) hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan referendum untuk meminta pandangan rakyat Greece sama ada untuk menerima pakej 'bailout' terbaru Kesatuan Eropah.
Dipetik daripada Yahoo Finance
Dalam persetujuan yang dibuat Khamis lepas, para pemimpin Kesatuan Eropah, yang diterajui Nicholas Sarkozy dan Angela Merkel telah mendapatkan kata sepakat untuk meminta bank pemiutang untuk menerima potongan hutang 50% bagi Greece selain daripada meningkatkan dana bailout bagi menangani krisis semasa.
Persoalannya ialah mengapa Perdana Menteri Greece membuat keputusan demikian sedangkan negara mereka hampir (atau sudah) muflis dan memerlukan dana?
Sebabnya ialah sebarang dana yang diberikan datang dengan syarat di mana mereka perlu melaksanakan austerity measures atau langkah mengurangkan perbelanjaan yang pasti membebankan rakyat Greece.
Berasaskan soal selidik yang dilakukan, 60% daripada penduduk Greece kurang senang dengan pakej bailout yang diterima oleh Greece. Justeru adalah tidak menghairankan jika Perdana Menteri Greece mahukan sokongan rakyat sebelum menerima pakej ini.
Namun begitu, tanpa pakej ini, Greece mungkin menghadapi kemuflisan dan tidak dapat membayar gaji kakitangan Kerajaan mereka. Malah sesetengah pengulas mengatakan bahawa jika penduduk Greece menyatakan 'Tidak', maka Greece mungkin terpaksa keluar dari zon Euro.
Ternyata tindakan Perdana Menteri Greece ini tidak dijangka dan mengejutkan pasaran, dan reaksi awalnya sudah tentulah negatif. Tetapi kesan sebenar hanya akan dilihat dalam tempoh beberapa hari lagi, berasaskan perkembangan politik di Greece dan Eropah.
Adakah ini exogenous shock yang menyebabkan ekonomi Eropah dan global goyah, yang seterusnya menular ke Italy dan Sepanyol atau mungkinkah para pemimpin Euro dapat mengawal kembali keadaan dalam tempoh terdekat?
Kita hanya boleh tunggu dan lihat.
2 ulasan:
mungkin ini petanda perpecahan kesatuan eropah seperti pecahnya kesatuan russia (USSR)
Saya berpendapat mungkin tidak...tetapi ada banyak masalah yang perlu diselesaikan. Risiko lebih tinggi ialah kepada mata wang Euro...di mana satu atau dua negara mungkin tidak boleh kekal di dalamnya
Catat Ulasan