28 November, 2011

Mengapa Book Value Bukan Kriteria Pemilihan Terbaik

Nilai buku tidak semestinya mencerminkan keupayaan menjana untung

Jika anda pernah membaca tentang analisis atau berita sesuatu syarikat di dalam akhbar atau majalah kewangan, anda pasti melihat rujukan dibuat terhadap book value (nilai buku) atau juga dikenali sebagai Net Tangile Assets  - NTA (Aset Ketara Bersih).

Nilai ini sebenarnya ialah semua aset syarikat ditolak dengan semua liabiliti syarikat dibahagikan dengan jumlah saham syarikat (book value atau NTA per share).  Ia dinamakan nilai buku kerana mewakili nilai syarikat di dalam buku perakaunan.

Sesetengah pelabur suka membandingkan nilai buku dengan harga pasaran dengan mengira nisbah harga kepada nilai buku (price to book value).  Mereka yang melabur menggunakan pendekatan nilai aset menganggap saham undervalued jika harga saham lebih rendah daripada nilai buku.

Walaupun penilaian aset ialah salah satu daripada faktor yang perlu kita tinjau apabila menilai sesuatu syarikat, kita tidak harus menggunakannya sebagai kriteria utama penilaian kerana akhirnya paras dan pertumbuhan keuntungan yang akan mendorong pergerakan harga saham.

Sekiranya sesuatu saham itu undervalued dari segi aset tetapi untungnya mendatar, menurun atau mengalami kerugian, terdapat kemungkinan harga saham tidak akan naik ke paras aset sebenar.

Di samping itu, syarikat berbeza mempunyai tahap pegangan aset yang berbeza.  Sesebuah syarikat berasaskan perkhidmatan umpamanya mungkin boleh menjana untung lebih tinggi dengan nilai aset bersih yang rendah berbanding sesebuah syarikat perindustrian atau hartanah.

Kaedah pelaburan berasaskan aset ini dipopularkan oleh Benjamin Graham, tetapi beliau juga menggunakan kriteria lain dalam keputusannya, dan meletakan margin of safety yang besar dalam setiap pembelian.

Namun begitu bagi syarikat hartanah, penilaian aset adalah penting, terutamanya kerana nilai aset dalam bentuk simpanan tanah mempunyai potensi untuk meningkat, dan mungkin lebih tinggi daripada nilai aset tersebut dalam buku perakaunan.

Bagi saham selain daripada syarikat hartanah, adalah lebih bijak untuk membuat penilaian berasaskan paras untung, dengan pendapatan sesaham (EPS) dan nisbah berkaitannya dijadikan pengukur prestasi utama.

Nilai buku boleh digunakan sebagai penilaian sokongan. Pada pendapat saya, cara terbaik untuk meninjau nilai buku ialah untuk melihat pertumbuhannya untuk tempoh 5 - 10 tahun.

Syarikat yang dapat meningkatkan nilai buku secara konsisten menunjukkan bahawa ia mampu mencapai keuntungan konsisten dan seterusnya berpotensi meningkatkan harga saham secara konsisten.

Tiada ulasan: