07 November, 2011

Industri Logistik Berpotensi Besar

Syarikat logistik catat untung tinggi, harga saham undervalued

Sebagai sebuah negara perdagangan, semua sektor industri Malaysia amat bergantung kepada logistik dan pengangkutan untuk mengeksport dan mengimport bahan mentah atau barangan siap.

Satu sektor di mana syarikatnya kurang mendapat perhatian berbanding industri lain di mana Malaysia mempunyai kekuatan seperti minyak sawit, sarung tangan getah dan perbankan Islam ialah industri logistik, yang boleh diumpamakan sebagai pelincir yang melancarkan perjalanan perdagangan tempatan dan antarabangsa.

Dalam industri ini, setakat ini saya melihat tiga syarikat yang berpotensi memberikan ganjaran kepada pemegang saham, dengan satu daripadanya  telah naik tempoh hari manakala dua lagi masih lagi kelihatan undervalued.

Century Logistics

Syarikat ini diperdagangkan pada anggaran Forward P/E kurang daripada 5 pada harga penutup RM1.60 minggu lepas.  Selain itu, Century juga telah mencatatkan keuntungan selama lima tahun berturut-turut walaupun semasa krisis kewangan 2008/2009. Nisbah Harga/Aset Bersih (P/BV) ialah lebih kurang 0.7.  Hampir kesemua penganalisis yang mengikuti syarikat ini mempunyai penarafan 'buy' terhadap syarikat.

Dipetik daripada Bursa Malaysia

Freight Management

Syarikat ini diperdagangkan pada P/E lebih kurang 7 pada harga penutup RM1.06 pada minggu lepas. Freight juga mencatatkan keuntungan selama 5 tahun berturut-turut, walaupun dalam krisis kewangan 2008/2009. Syarikat ini membayar dividen 5 sen, memberikan pulangan dividen lebih kurang 4.7% pada harga semasa.  Para penganalisis yang mengikuti Freight menetapkan penarafan 'buy' kepada syarikat.

Dipetik daripada Bursa Malaysia

Konsortium Logistik

Satu lagi syarikat yang mencatatkan prestasi yang agak baik ialah Konsortium Logistik.  Namun begitu, baru-baru ini Ekuinas telah mengumumkan akan mengambil alih majoriti saham Konsortium Logistik pada harga RM1.55 yang dijangka mencetus tawaran awam mandatori.  Seperti yang kita lihat, harga saham Konsortium Logistik telah naik disebabkan pengumuman ini dan potensi untung hanya wujud jika harga tawaran dinaikkan kepada RM1.60 atau lebih.

Dipetik daripada Bursa Station

Menurut satu laporan akhbar, industri logistik dijangka berkembang lebih pantas daripada KDNK negara dan ini merupakan antara salah satu faktor Ekuinas mengambil alih Konsortium Logistik.

Kita tahu bahawa tempoh 6 - 9 bulan akan datang masih tidak menentu bagi ekonomi global disebabkan oleh krisis Eropah.  Mungkin saham logistik hanya akan mula mencapai nilai penuhnya selepas tempoh tersebut. Justeru pelaburan seperti ini hendaklah dianggap sebagai pelaburan jangka panjang.

Walau apa pun, syarikat logistik kita lebih terlibat dalam pengangkutan intra-Asia dan tidak mungkin terjejas teruk dengan kegawatan di Eropah.

Pada pendapat saya, industri ini mempunyai potensi besar, terutamanya syarikat utama dalam industri ini yang masih belum lagi menarik perhatian  dan minat pelabur.

Tiada ulasan: