26 Oktober, 2011

Hutang Kerajaan Terlalu Tinggi?

Walaupun ramai yang khuatir, jawapannya adalah tidak buat masa ini

Baru-baru ini hutang kerajaan Malaysia telah meningkat kepada RM407 billion.  Namun begitu angka mutlak  tidaklah begitu penting, sebaliknya perkara yang perlu diteliti ialah nisbah hutang kerajaan berbanding dengan KDNK.


Dipetik daripada akhbar The Star

Buat tahun kedua, berturut-turut, hutang kerajaan Malaysia mencecah paras lebih 50% daripada KDNK dan perkara ini membimbangkan para penganalisis dan menjadi bahan berita di akhbar.

Pada tahun 2010, paras hutang tempatan Malaysia berada pada tahap 53.1% daripada KDNK, dan hampir kepada had hutang sebanyak 55% yang ditetapkan di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959.

Sementara itu, hutang asing yang boleh diraih oleh Malaysia pula dihadkan kepada RM35 bilion sahaja.

Sekiranya had ini sentiasa dipatuhi, hutang Kerajaan Malaysia tidak akan mencapai paras yang membahayakan. Perlu diingat bahawa nisbah hutang kepada KDNK jauh lebih tinggi di sesetengah negara lain.

Tidak dinafikan bahawa paras hutang ini perlu dan boleh dikurangkan tetapi sekarang bukan masanya untuk mengurangkan hutang dengan ketara disebabkan keadaan ekonomi dunia.

Saya setuju dengan langkah yang diambil pada masa ini untuk meneruskan perbelanjaan kerajaan dan mengekalkan paras hutang sedia ada untuk satu dua tahun lagi, sebelum mengurangkannya secara beransur-ansur apabila ekonomi mula stabil, dengan matlamat mencapai belanjawan seimbang.

Ada sesetengah pengulas mahu Malaysia melakukan 'austerity drive', iaitu mengawal perbelanjaan dengan ketara untuk mengurangkan paras hutang tetapi tindakan ini kemungkinan besar akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Saya setuju bahawa kita perlu menangani pembaziran dan ketirisan yang berlaku dalam perbelanjaan Kerajaan.  Langkah membasmi pembaziran mungkin boleh mengurangkan hutang antara 0.5 - 2%.

Tetapi, berasaskan keadaan semasa, perbelanjaan Kerajaan diperlukan, terutamanya belanja ke atas pembinaan infrastruktur.

Kita mempunyai undang-undang amat rasional yang menetapkan had hutang pada 55% daripada KDNK.  Jika had ini dipatuhi, paras hutang kita adalah di paras yang boleh ditampung dan tidak membahayakan.

Mungkin ramai yang bertanya buat apa berhutang banyak sangat? Kenapa tak boleh kurangkan sahaja?  Sebenarnya Kerajaan boleh melakukannya tetapi kos kepada kebajikan rakyat agak ketara jika perbelanjaan dikurangkan secara mendadak

Isu hutang kerajaan dan defisit bukan sesuatu yang straightfoward di mana kita kurangkan hutang secara automatik bermakna sudah tentu bagus untuk kita.

Sememangnya kalau boleh kita perlu kurangkan hutang bersih kita ke tahap lebih rendah, tetapi mungkin perlu dilakukan secara beransur-ansur dan pada masa yang sesuai.

Pada pendapat saya, ini patut dilakukan apabila ekonomi mencapai pertumbuhan kukuh dan keadaan global mengizinkan, bukannya sekarang.

Tiada ulasan: