07 Oktober, 2011

Meninjau Hari Terbuka iCapital

Pandangan Tan Teng Boo Tentang Ekonomi dan Saham






Pada hari Sabtu lepas (1 Oktober), iCapital telah mengadakan hari terbuka untuk pelabur sebagai program pendidikan pelabur, selain memberikan maklumat lanjut tentang syarikat dan juga dana yang diuruskannya.

Sebenarnya iCapital ialah pengendali iCapital.biz, satu-satunya dana tertutup yang disenaraikan di Bursa Malaysia, di samping menguruskan beberapa dana persendirian lain dan menerbitkan risalah mingguan yang boleh diperolehi secara fizikal atau atau menerusi Internet.

Pemiliknya ialah Tan Teng Boo, seorang 'value investor' tersohor, yang sejak permulaan dana, telah menghasilkan pulangan terkompaun lebih 16% untuk dananya dari segi NAB.

Walaupun dananya ialah tidak patuh syariah, alternatif yang kita ada untuk menerima nasihat beliau ialah dengan melabur terus dalam saham yang dilaburkan oleh iCapital.biz (yang kebanyakannya patuh Syariah) atau melanggan risalahnya untuk menerima nasihat pelaburan.

Pelbagai kegiatan pendidikan pelabur diadakan, tetapi bagi saya yang paling penting ialah tinjauan beliau tentang ekonomi global dalam sesi yang diadakan pada penghujung acara tersebut.

Tan Teng Boo mula bimbang tentang saham global sejak awal tahun ini dan pada penghujung bulan Julai, pegangan tunai dalam dananya ialah 50%, iaitu pendekatan yang lebih konsevatif berbanding kegawatan tahun 2008.

Beliau berkata Eropah akan mengalami kemelesetan dalam tempoh 12 bulan akan datang manakala ekonomi AS dijangka mendatar.  Walaupun semua ini akan memberi kesan kepada Malaysia, pandangannya tentang ekonomi Malaysia adalah  lebih positif.

Beliau berpendapat saham akan menghadapi sedikit rintangan pada bulan-bulan akan datang tetapi tiada depression akan berlaku dan ekonomi akan pulih secara beransur-ansur selepas itu.

Walaupun tinjauannya dalam jangka pendek adalah negatif, dalam jangka panjang beliau meramalkan situasi yang lebih positif berasaskan teori "Long Boom" di mana ekonomi rantau in akan mengalami pertumbuhan pesat dan BSKL dijangka mencapai paras 2,000 dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

Apabila ditanya oleh hadirin bila masa terbaik untuk masuk semula ke pasaran, beliau menjawab jangan terlalu fokus kepada 'timing' tetapi cari saham yang undevalued dan  beli jika harga saham amat berpatutan.

Perhatian: Ini adalah pandangan peribadi beliau dan ia perlu diimbangi dengan pandangan lain dan juga data ekonomi supaya pelabur mendapat gambaran yang lebih menyeluruh.

Tiada ulasan: