31 Mac, 2010

Perihal Dividen Saham

Penjelasan mengenai kaedah bayaran dan pergerakan harga saham apabila dividen diumumkan dan dibayar

Dividen ialah agihan keuntungan syarikat yang dibayar kepada pemegang saham. Pembayaran dividen berbeza-beza mengikut syarikat.

Ada yang bayar dua atau lebih kali setahun, ada yang bayar sekali setahun dan ada yang langsung tak bayar. Sama ada sesebuah syarikat itu bayar dividen atau tidak tidak semestinya mencerminkan kekuatannya.

Berkshire Hathaway, syarikat milik Warrent Buffett tidak pernah membayar dividen. Banyak syarikat pertumbuhan juga tidak membayar dividen, tetapi tidak semestinya ia syarikat lemah atau tidak mencatat untung.

Biasanya syarikat yang mencatat untung tapi tak bayar dividen berpendapat wang yang boleh diagihkan lebih baik digunakan untuk terus mengembangkan syarikat.

Namun begitu, apa yang kita tahu mengenai syarikat yang membayar dividen secara konsisten ialah syarikat tersebut sememangnya mantap.

Sebagai contoh, syarikat seperti F&N yang membayar dividen hampir 10 tahun berturut-turut pasti kukuh kerana pembayaran dividen menunjukkan syarikat dapat mencatat untung yang lumayan, tahun demi tahun.

Siapa yang layak terima dividen?

Dividen layak diterima oleh pelabur tidak kira berapa lama mereka pegang saham. Jika pengumuman dividen dibuat pada 30 Mac, maka sejak dari tarikh itu saham akan diperdagangkan cum-dividen, iaitu termasuk dividen.

Semasa pengumuman, syarikat akan menentukan ex-date, atau tarikh saham diperdagangkan tanpa dividen. Sebagai contoh, jika ex-date ialah 14 Mei, maka sesiapa yang memegang saham sehingga 14 Mei, pada waktu yang ditetapkan, akan menerima bayaran dividen.

Adakah untung jika beli selepas pengumuman?

Dari segi teorinya, tidak ada untung apabila beli selepas pengumuman dibuat. Lazimnya selepas pengumuman, harga saham akan naik untuk mencerminkan dividen tersebut.

Selepas sahaja ex-date, iaitu tarikh saham diperdagangkan tanpa dividen, harga saham biasanya akan jatuh sebanyak mana dividen yang dibayar.

(Nota: Semua ini mengandaikan bahawa tiada faktor lain yang mempengaruhi harga saham, tetapi dalam dunia sebenar, banyak faktor lain yang wujud untuk mempengaruhi harga saham selain dividen)

Untuk memanfaatkan sepenuhnya pengumuman dividen, anda perlu memiliki saham sebelum pengumuman dibuat. Justeru kita dapat lihat sini bahawa pelaburan saham ini bukan mudah dan memerlukan analisis.

Jika anda pelabur konservatif yang mahu membeli dan mengambil kesempatan daripada syarikat yang membayar dividen, satu cara ialah membeli saham sebuah syarikat yang anda jangka akan meningkatkan untung tahun demi tahun dan membayar dividen yang lebih tinggi.

Katakan anda beli pada RM3.00 dan tahun pertama dividen yang dibeli ialah 10 sen sesaham. Pulangan dividen atau dividen yield ialah 3.33%.

Tetapi kalau anda terus memegang saham dan menjelang tahun kelima dividen yang dibayar ialah 30 sen, dividen yield anda ialah 10%, lebih tinggi daripada ASB. Ini belum mengambil kira kenaikan harga saham yang pasti berlaku kerana syarikat menambah untung dan dividen.

Kesimpulannya, pembelian saham untuk meraih pulangan dividen ialah salah satu daripada kaedah konservatif untuk memanfaatkan pelaburan saham.

28 Mac, 2010

Mengumpul Maklumat Mengenai Saham

Maklumat kini mudah didapati pelabur kecil

Internet kini memudahkan pelabur kecil untuk mendapatkan sebarang maklumat mengenai saham dan membuat analisis sendiri. Apabila kita mendapat idea atau tips saham, jangan terus beli. Sebaliknya kumpul seberapa banyak maklumat dan buat kajian terlebih dahulu.

Biasanya idea pertama boleh didapati daripada mana-mana, sama ada laporan penyelidikan, saudara-mara, broker, The Edge, theedgedaily.com, akhbar harian atau pun pemerhatian sendiri. Satu lagi cara saya mencari saham undervalued ialah dengan membaca buku Dynaquest Stock Performance Guide. Selain itu kita juga boleh dapat idea daripada forum dan juga rakan-rakan online.

Dari mana kita dapat tips atau idea itu tidak penting, tapi yang penting ialah apa yang kita buat selepas itu.

Berikut ialah cara saya mengumpulkan maklumat:

1. Kunjungi laman web syarikat untuk dapatkan maklumat latar belakang mengenai syarikat.

2. Buat pencarian berita terkini syarikat menerusi enjin carian.

3. Pergi ke laman web Bursa Malaysia dan muat turun dan baca laporan tahunan (kalau tiada di laman web syarikat).

4. Kemudian dapatkan laporan suku tahunan terkini dan buat unjuran pendapatan sesaham (EPS) tahunan berasaskan laporan tersebut.

5. Jika idea berasaskan laporan penyelidikan, rujuk balik laporan tersebut, kalau tidak cari dalam pangkalan data online broker anda kalau-kalau ada laporan penyelidikan mengenai syarikat tersebut. Biasanya theedgedaily ada siarkan laporan penyelidikan syarikat tertentu. Bursa Malaysia pun ada skim laporan penyelidikan percuma tapi tak banyak syarikat yang diliputi.

6. Kemudian saya pergi ke Bursastation.com untuk melihat carta. Anda boleh menggunakan carta yang diberikan online broker anda atau penyedia perkhidmatan lain. Kalau tak langgan, guna shareinvestor.com yang berikan perkhidmatan percuma (tapi tak banyak fungsi). Carta ini bukan ditinjau untuk buat analisis teknikal tetapi untuk dapat idea tentang pergerakan harga, volatiliti dan sentimen pelabur terhadap saham berbanding prestasinya dan juga indeks pasaran.

7. Selepas itu saya lihat pengumuman lain yang dibuat oleh syarikat di laman web Bursa Malaysia (seperti belian balik saham, siaran akhbar dan sebagainya).

Selepas membuat analisis, saya akan tentukan sama ada saham tersebut sesuai untuk dibeli.

24 Mac, 2010

Saya tak faham....

Saya tak faham kenapa kita nak kerja dispac sedangkan kita boleh kerja di kedai mamak atau restoran lain...apa yang boleh kita belajar jadi dispac, sedangkan bila kerja restoran kita boleh belajar selok-belok berniaga.

Saya tak faham kenapa kita nak kerja 'admin' sedangkan kita boleh kerja dalam industri pembinaan...bukankah kalau kita belajar ikat batu-bata, lama-lama kita pandai bina.

Saya tak faham kenapa kita nak kerja kerani sedangkan kita boleh jadi tukang cat...tukang cat boleh dapat kurang-kurang RM75 sehari, tetapi kadangkala RM100 atau lebih...lepas tu jadi kontraktor cat.

Saya tak faham kenapa kita nak rebut-rebut bawa teksi sedangkan lebih berbaloi kalau kita belajar bawa traktor...bukankah bawa traktor dan kemudian beli traktor sendiri lebih besar ganjarannya.

Saya tak faham kenapa kita nak jadi driver orang sedangkan kita boleh belajar cuci kolam renang atau cuci pejabat atau cuci apa saja...dan lepas tu lama-lama miliki bisnes cuci.

Saya tak faham kenapa kita suka main skim cepat kaya (menurut Ust. Zaharuddin, kita No.2 di dunia di belakang Amerika) tetapi liat untuk membina kerjaya atau perniagaan yang menghasilkan nilai ekonomi sebenar.

Saya tak faham kenapa kita sanggup duduk dalam office berhawa dingin tapi gaji lebih kurang seribu sahaja sedangkan kita boleh ambil risiko dan berniaga...apa risiko anda? Gaji RM12,000 setahun?? Sedangkan potensinya hanya dibatasi kesanggupan anda berusaha.

Rupanya masih banyak yang saya tak faham...

21 Mac, 2010

Kriteria Pelaburan Saham

Meninjau beberapa cara memilih saham
menggunakan kaedah fundamental analysis


Saya pernah membuat posting mengenai beberapa cara untuk memilih saham menggunakan analisis asas atau fundamental analysis di forum Bicara Jutawan. Saya paparkan posting tersebut di sini untuk tatapan pembaca blog, dengan sedikit tambahan dan perubahan.

1. Nisbah Harga Pendapatan atau P/E Ratio yang rendah, dengan pendapatan yang diramalkan meningkat
Nota:
- Mencari saham P/E rendah adalah senang, tetapi meramalkan sama ada syarikat akan meningkatkan keuntungan pada tahun kewangan akan datang adalah lebih susah.
- Berasaskan pemerhatian saya, saham dengan P/E rendah tidak akan naik harganya jika keuntungannya merosot.

2. Harga saham lebih rendah daripada aset ketara bersih, aset semasa bersih atau tunai bersih sesaham
Contoh: IGB, Dijaya
Nota:
- Bergantung kepada jenis aset syarikat.
- Kadangkala ada aset yang tak berfaedah dalam buku, justeru pelabur perlu berhati-hati.
- Saya lebih suka guna kaedah ini untuk menilai syarikat hartanah.

3. Turnaround Play - Ramalkan pemulihan syarikat
Cth MAS dan Proton yang menghadapi masalah satu ketika dulu.
Nota:
- Kaedah risiko tinggi / ganjaran tinggi
- Kadang-kadang syarikat tersebut gagal dipulihkan.

4. Ada potensi masa depan , jualan makin meningkat tapi catat kerugian
Cth: Ingress yang sudah tiga tahun rugi tetapi jualannya meningkat dan dijangka untung tahun ini.
Nota:
- Juga kaedah risiko tinggi/ganjaran tinggi
- Boleh cuba menilai menggunakan Price/Sales Ratio yang dipelopori Ken Fisher
- Kadang-kadang tak menjadi, seperti Nasioncom

5. Bayaran dividen tinggi, pertumbuhan stabil
Cth: F&N,Nestle: syarikat yang sungguh mantap
Nota:
- Jangan harap untuk menggandakan wang anda dalam jangka pendek
- Boleh memberikan pulangan dividen stabil dan mempunyai risiko rendah.

Kriteria di atas adalah antara cara saya memilih saham. Tetapi kaedah paling kerap saya gunakan sekarang ialah kaedah No.1 kerana prestasi banyak saham biasanya bergantung kepada prestasi keuntungannya. Saya juga suka kaedah No.4 tetapi untuk saham-saham sebegini, saya tetapkan stop loss atau trailing stop untuk menghadkan kerugian atau mengunci keuntungan yang sudah diperolehi.

Kaedah dan saham yang anda pilih bergantung kepada toleransi risiko anda. Jangan guna kaedah 3 dan 4 jika anda tidak sanggup menanggung risiko. Gunakan kaedah yang anda rasa selesa.

17 Mac, 2010

Teruskan Usaha atau Berhenti Separuh Jalan?

Kebanyakan 'juara' berhenti perkara yang patut dihentikan dan berusaha gigih dalam perkara yang berpotensi membawa kejayaan untuk mencapai status 'terbaik di dunia'

Beberapa bulan lalu saya telah membaca buku 'The Dip' oleh Seth Godin. Dalam buku ini, beliau mendakwa bahawa untuk mencapai kejayaan, seseorang individu atau perniagaan perlu melalui satu fasa yang digelarnya 'The Dip' atau kemorosotan/ prestasi mendatar sebelum akhirnya mencapai kejayaan.

Selain itu, mereka yang berjaya biasanya tahu bila untuk 'quit' atau berhenti dalam aktiviti yang tidak berfaedah atau yang telah menemui jalan mati. Golongan ini sentiasa berhenti melakukan perkara tidak berfaedah untuk mencapai kejayaan besar dalam perkara yang penting bagi mereka.

Akhir sekali, untuk mencapai kejayaan, individu hendaklah berusaha menjadi 'The Best in the World" atau terbaik di dunia dalam bidang mereka, kerana yang terbaik di dunia biasanya mendapat ganjaran/yuran/gaji yang jauh lebih besar daripada mereka yang dianggap 'average' atau biasa sahaja.

Sebagai contoh gaji CEO jauh lebih tinggi daripada pengurus besar manakala gaji yang diterima oleh Ronaldo jauh lebih tinggi (sehingga 100%) daripada pemain utama biasa, walaupun jika perbezaan prestasinya hanya 20 hingga 30%.

Malangnya untuk mencapai status "The Best in the World", banyak yang perlu dikorbankan termasuk berhenti pelbagai aktiviti lain yang tidak membawa manfaat untuk mencapai matlamat tersebut.

Selain itu, mereka yang cuba menjadi yang terbaik juga perlu melalui satu fasa yang dinamakan 'The Dip' di mana kita perlu tetap berusaha walaupun prestasi mendatar sehinggalah kita mencapai 'tipping point' atau satu takat di mana kejayaan besar akan menyusul.

Perkara ini dapat dilihat apabila kita memulakan perniagaan baru atau belajar kemahiran baru seperti bermain alat muzik, belajar bahasa baru atau aktiviti sukan baru. Peringkat permulaan amat menyeronokkan.

Tetapi akan sampai satu peringkat di mana peningkatan sukar dicapai dengan mudah lagi. Inilah fasa yang dinamakan 'The Dip'. Pada waktu inilah ramai yang akan berhenti. Jika anda sanggup berusaha keras dan mencari jalan memecah kebuntuan dan terus maju ke hadapan, ganjaran yang diterima apabila keluar daripada fasa ini adalah amat lumayan, kerana ramai yang lain telah berhenti.

Satu lagi perkara, 'The Best in the World' yang dimaksudkan bukanlah semestinya satu bidang luas yang membabitkan seluruh dunia. Anda boleh memilih bidang khusus di lokasi tertentu di mana anda adalah yang terbaik.

Sebagai contoh, matlamat saya ialah menjadi penulis kewangan Bahasa Melayu terbaik di dunia. Anda boleh lihat sini bahawa pesaing saya bukanlah penulis dari seluruh dunia, cuma mereka yang pakar dalam bidang kewangan dan pandai menulis dalam Bahasa Melayu. Justeru pesaing saya tidaklah ramai sangat, tetapi perkhidmatan ini masih diperlukan. Anda juga boleh memilih satu bidang dan menjadi pakar dalam satu cabang kecil bidang tersebut atau kombinasi dua bidang.

Kesimpulan daripada buku ini ialah:

1. Untuk mencapai kejayaan, anda akan melalui fasa sukar yang dinamakan 'The Dip' di mana kemajuan atau peningkatan sukar dicapai.

2. Untuk mencapai kejayaan dalam aktiviti yang paling bermakna bagi anda, hentikan segala kegiatan lain yang mengalihkan tumpuan dan masa anda daripada aktiviti yang paling penting.

3. Jika anda terus berusaha dan memecah kebuntuan dan seterusnya menjadi antara yang 'terbaik di dunia', ganjaran yang menanti anda amat lumayan.

14 Mac, 2010

Scomi Group: Peluang atau Perangkap

Prestasi kurang baik pada 2009 kerana kemerosotan
nilai muhibah dan hapus kira hutang lapuk


Ada seorang pembaca bertanyakan tentang Scomi Group, yang harga sahamnya semakin menurun kebelakangan ini. Prestasinya pada tahun kewangan 2009 adalah kurang baik berbanding 2008 menyebabkan kejatuhan harga saham.

Terlebih dahulu sedikit latar belakang mengenai Scomi Group. Syarikat ini ialah sebuah syarikat pegangan pelaburan dengan empat anak syarikat utama, iaitu Scomi Oiltools, Scomi Engineering (tersenari), Scomi Oilserve dan Scomi Marine (tersenarai).

Secara ringkasnya, daripada operasi anak-anak syarikat ini, Scomi ialah antara pembekal perkhidmatan global dalam indusri minyak dan gas; perniagaan monorail, bas dan kenderaan khas; dan sewa kapal dan logistik marin.

Antara projek terkenalnya yang sering mendapat liputan akhbar ialah projek monorail di Mumbai yang sedang dalam proses pelaksanaan.

Berikut adalah keputusan pendapatan sesaham (sen) Scomi Group dalam tempoh 5 tahun lepas:

2005 2006 2007 2008 2009
- 0 - 7.5 - 10.2 - 11.3 - 0.94

Di bawah adalah carta Scomi untuk tempoh 5 tahun lepas.

Dipetik daripada Bursa Station


Syarikat telah mencatatkan prestasi kurang baik pada 2009 disebabkan oleh kerugian akibat kemerostan nilai muhibah bernilai RM227 juta dan juga peruntukan hutang ragu sebanyak RM14 juta (kedua-duanya dialami sekali dan tidak berulang).

Jika kedua-duanya tidak diambil kira syarikat akan mencatatkan keuntungan RM56.9 juta. Syarikat meramalkan bahawa suasana operasi bagi perniagaan teras lebih baik pada 2010. Jika syarikat tidak mengalami sebarang kerugian akibat peristiwa lain, keputusan pada 2010 dijangka kukuh.

Walau apa pun, kita kena tunggu dan lihat dan keputusan pada suku pertama 2010 (biasanya diumumkan pada hujung Mei) untuk melihat sama ada prestasi Scomi akan meningkat.

Bagi mereka yang yakin bahawa Scomi mampu mencatatkan prestasi lebih mantap, saya rasa masa terbaik untuk membeli ialah sekarang kerana harganya hanya 38.5 sen pada hujung minggu lepas (12 Mac).

Tetapi bagi mereka yang mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat, tunggulah sampai keputusan suku tahunan seterusnya diumumkan.

Pada pandangan saya. harga Scomi akan dipacu oleh dua perkara, iaitu spekulasi dan juga prestasi kewangannya pada suku tahun akan datang.

Walau apa pun, seperti lazimnya dengan saham-saham yang ada risiko, saya cadangkan anda tetapkan stop loss apabila anda membeli untuk mengelakkan kerugian besar.

11 Mac, 2010

OCBC Tawarkan Unit Amanah Tanpa Caj Jualan

Dana tanpa caj jualan ubah suasana industri

Unit amanah tanpa caj jualan atau no-load funds memang banyak ditawarkan di AS, tetapi di Malaysia ia belum lagi wujud sehinggalah OCBC menawarkan Dana Pacific Elite baru-baru ini.

Selama ini, kadar terendah yang boleh diperolehi ialah 2% bagi dana tertentu yang dibeli menerusi Internet (bukan semua dana boleh dibeli menerusi Internet) di FundSupermart dan juga eUnitTrust.

Pada mulanya OCBC Bank akan menawarkan empat Dana Pacific Elite, merangkumi tiga dana Islam berasaskan prinsip Syariah: Pacific ELITE Islamic AsiaPAC Balanced Fund (PEIAPBF), Pacific ELITE Dana Aman (PEDA) dan Pacific Elite Dana Dividen (PEDD), dan dana konvensional yang dinamakan Pacific Elite Dividend Fund (PEDF).

Apabila membeli, pelabur tidak akan dikenakan sebarang caj jualan. Namun begitu, kita tahu bahawa tidak ada apa yang benar-benar percuma dalam dunia ini. Jadi saya telah menelefon perkhidmatan pelanggan OCBC dan mendapati yuran pengurusan yang dikenakan adalah lebih tinggi sedikit, iaitu 2% berbanding 1.5% yang dikenakan secara lazim. Selain itu, pelabur yang menjual dana dalam tempoh 3 tahun akan dikenakan yuran 1% apabila menjual.

Selepas membuat sedikit kira-kira, saya berpendapat pelaburan menerusi Internet adalah masih lebih murah untuk jangka masa lebih 2 tahun, manakala dana tanpa caj jualan ini paling murah jika anda melupuskan dana dalam tempoh kurang 2 tahun. Tetapi semua ini juga bergantung kepada nilai aset bersih pada masa jualan.

Pada tahun keempat, kosnya lebih kurang sama kembali dengan pembelian menerusi Internet (juga bergantung kepada NAB dana) tetapi mulai tahun kelima, kos dana tanpa caj menjadi lebih mahal kerana yuran pengurusan lebih tinggi yang dikenakan. Justeru kesimpulan yang boleh dibuat ialah dana tanpa caj jualan sesuai untuk mereka yang tidak memegang untuk jangka yang sangat panjang kerana kosnya semakin tinggi secara perbandingan dengan saluran jualan lain lebih lama anda memegangnya.

Namun begitu, ia masih jauh lebih murah daripada membeli dari ejen biasa yang mengenakan caj kira-kira 5% sekiranya anda memegang dana tidak sampai 10 tahun (jarang ada orang pegang dana sehingga begitu lama). Malah kelebihan paling besar dana tanpa caj jualan ialah semua wang yang anda laburkan akan digunakan untuk membeli unit dan anda tidak rugi apa-apa semasa membeli (ini bermakna anda tidak perlu menunggu dana naik untuk pulang modal). Jika anda terpaksa melupuskan dana kerana kecemasan dalam masa tidak sampai tiga tahun, anda dikenakan caj satu peratus sahaja.

Walau apa pun, bilangan dana yang ditawarkan menerusi kaedah ini masih terhad. Diharapkan lebih banyak dana tanpa caj jualan ditawarkan oleh OCBC dan juga institusi lain pada masa depan. Tetapi apabila membuat keputusan melabur, jangan lihat caj jualan semata-mata, paling penting ialah anda perlu menilai keupayaan pengurus dana untuk menghasilkan pulangan untuk tanda.

Untuk maklumat lanjut anda boleh mengunjungi cawangan OCBC atau menelefon 1 300 88 5000.

07 Mac, 2010

Produk Perbankan Islam Masih Kurang Diterima

Ramai masih belum maklum betapa seriusnya riba

Dalam satu posting mengenai pelancaran buku terbarunya, Ustaz Zaharuddin ada menyatakan yang berikut: "Islamic finance is supposed to be offered and served to the Muslim community as their priority, however in Malaysia, the statistic shows that the subscribers to the Islamic banking products are dominated by the non-Muslim clients".

Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Sebenarnya saya pun pada mulanya tidak begitu yakin dengan perbezaan antara kedua-dua perbankan konvensyenal dan Islam sehinggalah saya membaca ayat Quran dan hadis berikut berikut dan diterangkan maksudnya oleh seorang pensyarah di UIA:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya." (Surah Ali Imran: 130)

"Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki riba sekiranya kamu benar-benar beriman. Sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasulnya. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba) maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan juga tidak dianiaya."
(Surah Al Baqarah: 278-279)

Hadis Nabi S.A.W

“Jauhilah daripada tujuh dosa, syirik , sihir, membunuh tanpa hak, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.” (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)

“Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali.”
(Riwayat Ahmad & Ad-Dar Qutni)

“Sungguh akan datang pada manusia suatu masa yang pada waktu itu tidak tersisa seorang pun melainkan akan makan riba, barang siapa yang tidak memakannya maka ia akan terkena debunya.”
(Riwayat Abu Dawud & Ibn Majah)

Sesungguhnya amaran ayat Quran dan Hadis di atas amat serius tetapi hadis terakhir ini yang mengesahkan segala-galanya. Cuba teliti ayat terakhir. Bukankah zaman tersebut ialah sekarang?!

Sebagai contoh sekarang ini, walaupun kita berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan riba, kita masih terkena tempiasnya kerana Bank Negara (BNM) menetapkan dasar menerusi Overnight Policy Rate (OPR) dan Base Financing Rate (BFR) biasanya akan ditentukan merujuk kepada OPR BNM.

Walaupun ramai yang mendakwa perbankan Islam banyak kelemahan dan mirip perbankan konvensyenal, perlu diingat bahawa kontraknya adalah berbeza dan berasaskan jual beli dan konsep lain yang dibenarkan Syariah.

Saya rasa adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memaklumkan kenalan dan saudara-mara kita tentang larangan riba dan menggalakkan penggunaan perbankan Islam dan takaful, dan juga mengingatkan tentang riba dalam bentuk lain, termasuklah dalam sesetengah skim pelaburan cepat kaya.

Bagi saya "isytiharkan perang dengan Allah dan Rasulnya" dan "seperti berzina sebanyak 36 kali" adalah amaran yang cukup kuat. Tetapi bukti paling kukuh ialah unjuran Rasulullah tentang keadaan yang dihadapi pada zaman ini. Pada saya hadis terakhir memberikan bukti muktamad yang tidak boleh dinafikan.

03 Mac, 2010

Penilaian Ingress Corporation

Potensi besar tetapi risiko tinggi

Saya menerima permintaan daripada seorang pembaca untuk menilai Ingress Corporation, sebuah syarikat yang dulu boleh dianggap 'high-flying' tetapi sudah jatuh ke bumi sejak 2006, kerana prestasinya mula merosot. Saya bersetuju untuk membuat penilaian kerana syarikat ini telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan kebelakangan ini.

Ingress Corporation ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang perniagaan teras pengilangan komponen automatif bagi pengeluar kereta di Malaysia (terutamanya Proton dan Perodua) dan rantau ASEAN, dan juga terlibat dalam kejuruteraan kuasa dan sektor rel di Malaysia.

Berikut adalah sejarah keuntungan Ingress dalam tempoh 5 tahun lepas (sen):

2005 2006 2007 2008 2009
20.3 17.1 (13.9) (14.8) (53.1)


Carta Ingress

Dipetik daripada Bursa Station

Kita dapat lihat bahawa saham Ingress ternyata melonjak tinggi antara tahun 2002 dan 2004 kerana prospek cerah tetapi telah mula menjunam selepas itu kerana prestasi kurang baik, sehinggalah mencecah harga 20 sen. Namun harga saham telah mula pulih pada tahun 2009. Harga penutup hari ini ialah RM0.60.

Apakah masalah Ingress? Selain daripada mencatatkan kerugian untuk tempoh tiga tahun lepas, syarikat juga mengalami masalah aliran tunai, terutamanya pada tahun berakhir Januari 2009, apabila aliran tunainya berada pada tahap negatif. Namun begitu masalah ini mula reda kerana berasaskan sembilan bulan pertama tahun berakhir Jan 2010, syarikat sudah mencatatkan aliran tunai yang positif.

(Nota: maklumat ini diperolehi daripada laporan suku tahunan Ingress di Bursa Malaysia. Pembaca yang berminat digalakkan memuat turun sendiri fail PDF dari laman web Bursa Malaysia)

Namun begitu pada bulan Januari ini, syarikat telah mendapatkan persetujuan daripada pemegang sukuk untuk menangguhkan bayaran sukuk ke Julai 2010. Ini menunjukkan bahawa walaupun sudah pulih, aliran tunainya masih belum lagi cukup mantap untuk menebus sukuk.

Pada suku terakhir 31 Oktober 2009 (suku ketiga bagi tahun berakhir Jan 2010), syarikat mencatatkan EPS 6 sen, manakala untuk tempoh sembilan bulan, EPS ialah pada 10 sen. NTA bernilai RM1.54 sen. Kemungkinan besar, keuntungan mampu dicatatkan pada tahun berakhir Jan 2010.

Prospek syarikat nampak cerah kerana sebagai pengeluar komponen automatif, kejayaan syarikat bergantung kepada jualan kenderaan. Selepas menghadapi tahun yang sukar pada 2009, saya rasa prospek 2010 adalah lebih cerah bagi syarikat, terutamanya kerana pemulihan jualan kenderaan Proton dan Perodua, di samping kejayaan memenangi kontrak baru daripada General Motors.

Sekiranya kita andaikan secara konservatif bahawa syarikat mencatatkan EPS 13 sen untuk seluruh tahun berakhir Januari 2010, maka P/E rationya adalah sangat rendah pada para kurang daripada 5.

Saham ini nampak undervalued, tetapi risiko tetap ada, termasuk keupayaannya menebus sukuk pada bulan Julai ini. Namun berasaskan, keputusan terbarunya, mungkin syarikat boleh melakukannya dan terus mencatatkan untung. Masalah syarikat bukan pada prospek perniagaannya, yang sebenarnya agak positif, cuma aliran tunainya sahaja menghadapi masalah.

Bagi pelabur yang berminat dalam saham ini, kenaikan harga semata-mata bergantung kepada prestasinya pada tempoh yang mendatang. Saya cadangkan letakkan stop loss bagi pelaburan ini, walaupun anda membuat pelaburan berasaskan Fundamental Analysis. Jika untung, berpotensi untung besar tetapi jika rugi, kerugian anda dihadkan dengan adanya stop loss.