31 Mac, 2010

Perihal Dividen Saham

Penjelasan mengenai kaedah bayaran dan pergerakan harga saham apabila dividen diumumkan dan dibayar

Dividen ialah agihan keuntungan syarikat yang dibayar kepada pemegang saham. Pembayaran dividen berbeza-beza mengikut syarikat.

Ada yang bayar dua atau lebih kali setahun, ada yang bayar sekali setahun dan ada yang langsung tak bayar. Sama ada sesebuah syarikat itu bayar dividen atau tidak tidak semestinya mencerminkan kekuatannya.

Berkshire Hathaway, syarikat milik Warrent Buffett tidak pernah membayar dividen. Banyak syarikat pertumbuhan juga tidak membayar dividen, tetapi tidak semestinya ia syarikat lemah atau tidak mencatat untung.

Biasanya syarikat yang mencatat untung tapi tak bayar dividen berpendapat wang yang boleh diagihkan lebih baik digunakan untuk terus mengembangkan syarikat.

Namun begitu, apa yang kita tahu mengenai syarikat yang membayar dividen secara konsisten ialah syarikat tersebut sememangnya mantap.

Sebagai contoh, syarikat seperti F&N yang membayar dividen hampir 10 tahun berturut-turut pasti kukuh kerana pembayaran dividen menunjukkan syarikat dapat mencatat untung yang lumayan, tahun demi tahun.

Siapa yang layak terima dividen?

Dividen layak diterima oleh pelabur tidak kira berapa lama mereka pegang saham. Jika pengumuman dividen dibuat pada 30 Mac, maka sejak dari tarikh itu saham akan diperdagangkan cum-dividen, iaitu termasuk dividen.

Semasa pengumuman, syarikat akan menentukan ex-date, atau tarikh saham diperdagangkan tanpa dividen. Sebagai contoh, jika ex-date ialah 14 Mei, maka sesiapa yang memegang saham sehingga 14 Mei, pada waktu yang ditetapkan, akan menerima bayaran dividen.

Adakah untung jika beli selepas pengumuman?

Dari segi teorinya, tidak ada untung apabila beli selepas pengumuman dibuat. Lazimnya selepas pengumuman, harga saham akan naik untuk mencerminkan dividen tersebut.

Selepas sahaja ex-date, iaitu tarikh saham diperdagangkan tanpa dividen, harga saham biasanya akan jatuh sebanyak mana dividen yang dibayar.

(Nota: Semua ini mengandaikan bahawa tiada faktor lain yang mempengaruhi harga saham, tetapi dalam dunia sebenar, banyak faktor lain yang wujud untuk mempengaruhi harga saham selain dividen)

Untuk memanfaatkan sepenuhnya pengumuman dividen, anda perlu memiliki saham sebelum pengumuman dibuat. Justeru kita dapat lihat sini bahawa pelaburan saham ini bukan mudah dan memerlukan analisis.

Jika anda pelabur konservatif yang mahu membeli dan mengambil kesempatan daripada syarikat yang membayar dividen, satu cara ialah membeli saham sebuah syarikat yang anda jangka akan meningkatkan untung tahun demi tahun dan membayar dividen yang lebih tinggi.

Katakan anda beli pada RM3.00 dan tahun pertama dividen yang dibeli ialah 10 sen sesaham. Pulangan dividen atau dividen yield ialah 3.33%.

Tetapi kalau anda terus memegang saham dan menjelang tahun kelima dividen yang dibayar ialah 30 sen, dividen yield anda ialah 10%, lebih tinggi daripada ASB. Ini belum mengambil kira kenaikan harga saham yang pasti berlaku kerana syarikat menambah untung dan dividen.

Kesimpulannya, pembelian saham untuk meraih pulangan dividen ialah salah satu daripada kaedah konservatif untuk memanfaatkan pelaburan saham.

15 ulasan:

citate berkata...

saudara Razali, pada pandangan saudara adakah cara pelaburan seperti Warren buffet masih relevan lagi sekarang? jika saya ingin memilih beberapa syarikat yg saya rasakan sesuai dan kemudian mengumpul sahamnya sedikit demi sedikit untuk pelaburan jangka panjang(mungkin melebihi 10 thn), apakah pandangan saudara terhadap cara tersebut? dan jika masih relevan bolehkah saudara memberi sedikit cadangan syarikat manakah yg sesuai utk dibuat begitu? terima kasih.

Unknown berkata...

Salam Citate,

Masih relevan...tapi ada baiknya kalau jangan hadkan pemilihan saham hanya kepada kaedah ini semata-mata

Ini kerana sekarang ini terlalu ramai yang ikut cara Buffett, menyebabkan nak cari undervalued companied mengikut kriteria beliau adalah sukar.

Saya pernah membeli saham F&N pada harga RM3.60 kira-kira 9 tahun dulu dan menjual pada harga lebih kurang RM7 lebih...justeru menggandakan wang saya dalam masa kira-kira 4-5 tahun (ini belum masuk dividen lagi). Malah kalau saya terus pegang, boleh dapat untung lagi kerana harganya sekarang pun dah naik lagi.

Satu lagi saham yang ada ciri sebegini ialah Public Bank...tetapi saya terpaksa jual selepas kritera Syariah Complient diperkenalkan.

Saya cadangkan guna kriteria Buffett sebagai salah satu daripada kaedah pemilihan dan pegangan, di samping kaedah-kaedah lain.

Untuk mambuat cadangan saham masa depan memerlukan analisis teliti...saya akan cuba bincangkan dalam blog jika saya terjumpa saham kukuh yang ada long term and consistent growth potential.

citate berkata...

salam saudara Razali,

terima kasih di atas pandangan saudara. diharap akan ada topik mengenai saham-saham long-term ini di blok saudara kelak.

zulk berkata...

Boleh tunjukkan cara kiraan dividen saham ?
Dalam buku saudara tidak ada contoh kiraan dividen diberikan.

t.k

Unknown berkata...

Sebenarnya dividen ditentukan syarikat dan kita tak perlu kira.

Kalau diumumkan 5 sen sesaham, maka bagi setiap saham yang dipegang anda dapat 5 sen. Kalau dia umumkan dalam bentuk peratus maka darabkan peratus tersebut dengan nilai par saham. Tetapi lazimnya diumumkan dalam sen.

Yang lebih penting ialah pengiraan Dividen Yield yang diterangkan dalam rencana ini dan juga dalam buku saya.

hafeez berkata...

Assalamualaikum, bagaimana pula pengiraan dividen yang diberi dalam bentuk peratus? Sila beri pencerahan. Terima kasih.

Unknown berkata...

Waalaikum salam,

Jawapan kepada soalan telah diberikan dalam posting terbaru

Terima kasih

syam berkata...

bagaimana pula jika kita beli saham warant adakah pengiraanya sama seperti saham induk

Unknown berkata...

Salam,

Waran bukan saham, ia hanya hak untuk membeli saham. Justeru tiada dividen dibayar untuk waran. Sekiranaya pelabur telah melaksanakan hak untuk membeli saham induk tersebut, barulah pelabur menerima dividen menerusi saham induk. Tetapi pegangan waran sahaja tidak akan menerima dividen.

bluepiece berkata...

Assalam,
adakah dividen yang diterima dikenakan cukai?jika ada bagaimana pengiraannya.

Unknown berkata...

Wasalam,

Mulai 2014, tidak perlu lagi isytihar dividen dalam borang cukai. Cukai telah dibayar oleh syarikat.

Tanpa Nama berkata...

Assalam..
1) Adakah pendapatan dividen yg diperoleh pd thn 2013 perlu di declare ke dlm borang cukai pndptn perseorangan?
2) bilakah masa sesebuah syrkt perlu mmbyr dividen kpd shareholder?
3) when a comp need to declare a dividen?

Terima kasih.

Unknown berkata...

Wasalam

1. Bergantung kepada sama ada potongan cukai dibuat dalam slip dividen yang anda terima. Jika dibuat, anda boleh isytiharkan dividen dan claim balik rebet cukai. Kalau dividen single tier diberikan, anda tak perlu lagi isytihar dalam borang cukai

2. Syarikat tidak wajib membayar dividen, terpulang kepada Lembaga Pengarah untuk isytihar dividen atau menggunakan untunh bagi mengembangkan operasi syarikat. Tetapi kebanyakan syarikat ada mengyisytiharkan dividen.

3. Tiada masa tertentu tetapi biasanya mereka isytihar selepas mengetahui dan mengumumkan keputusan separuh tahun atau akhir tahun.

Unknown berkata...

As salam

Unknown berkata...

Tuan macam mana nak semak tarikh luput warrants