30 April, 2009

Public Islamic Equity Fund

Dana untuk mengambil kesempatan daripada pemulihan

Saya jarang membuat tinjauan tentang produk unit amanah, mungkin kerana saya lebih suka melabur sendiri di pasaran saham. Namun ramai pelabur yang tiada masa atau kemahiran untuk memilih sendiri saham. Justeru, adalah lebih baik jika mereka menggunakan perkhidmatan pelabur profesional, iaitu dengan membeli unit amanah yang diuruskan oleh pakar pelaburan.

Namun begitu, pembelian unit amanah juga menimbulkan satu lagi dilema, iaitu dana mana yang harus dipilih daripada pelbagai dana yang ada di pasaran? Pemilihan dana yang betul sukar dilakukan kerana kajian akademik mendapati banyak dana yang gagal mengatasi prestasi indeks penanda arasnya.

Untuk membantu pembaca yang berminat untuk membeli unit amanah, saya telah membuat sedikit kajian tentang dana dan syarikat pengurus dana, bagi menyampaikan analisis dari masa ke semasa tentang dana yang ada di pasaran.

Kali ini saya ingin menyentuh tentang Public Islamic Equity Fund (PIEF) yang diuruskan oleh Public Mutual, antara syarikat pengurus dana yang terbaik di Malaysia. Di kalangan semua dana Islam yang diuruskan oleh Public Mutual, saya tertarik dengan potensi dana ini, secara khususnya selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa.

Dana ini ialah sejenis dana agresif yang melabur dalam saham patuh Syariah yang terpelbagai dengan matlamat mencapai pertumbuhan modal dalam jangka panjang. Profil risiko dana ini ialah agresif. Ini bermakna dana ini lebih sesuai untuk pelabur yang sanggup menerima risiko lebih tinggi.

Mengapa ia ditarafkan sebagai agresif? Ini kerana dana ini perlu memegang 80% daripada dananya dalam saham. Justeru, pada waktu kejatuhan ketara saham tempoh hari, pengurus dananya masih perlu memegang banyak saham dalam portfolionya. Maka prestasinya sudah tentu terjejas dalam tempoh dua tahun lepas disebabkan oleh kegawatan ekonomi yang melanda.

Di kalangan semua dana ekuiti Islam, PIEF berada di tempat ke-23 bagi prestasi setahun, tempat ke-17 bagi prestasi 3 tahun dan tempat ke-2 bagi prestasi 5 tahun. Jelas bahawa perbezaan prestasi jangka pendek dan jangka panjangnya menunjukkan bahawa dana ini agresif kerana akan jatuh lebih besar apabila pasaran jatuh dan naik lebih tinggi apabila pasaran naik.

Memandangkan dana ini perlu melabur sekurang-kurangnya 80% daripada dananya dalam ekuiti, saya meramalkan bahawa PIEF adalah salah satu dana yang mampu mengambil kesempatan penuh daripada pemulihan ekonomi yang akan berlaku pada tahun depan.

Walau apapun, pelabur perlu sedar bahawa dana ini ialah untuk pelabur jangka panjang dan anda harus memegangnya untuk jangka panjang bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi dana ini. Pelabur boleh mendapatkan maklumat lanjut dan prospektus dana ini di laman web Public Mutual.

26 April, 2009

Menjadi Perantis Dulu Sebelum Berniaga

Belajar Selok-Belok Di Bawah Tunjuk Ajar Pakar

(Terlebih dahulu saya meminta maaf kerana tidak mengemas kini blog disebabkan sesuatu yang tidak dapat dielakkan)

Sekarang ini keusahawanan sering dianggap sebagai kerjaya alternatif bagi para graduan atau lepasan sekolah. Namun, mereka yang berminat menceburi dunia perniagaan tidak harus semata-mata terjun ke bidang ini berbekalkan teori dan ijazah sahaja.

Mungkin alternatif yang lebih baik ialah menjadi perantis di bawah seorang pakar. Pertama sekali kita boleh pilih bidang yang kita ceburi, dan kemudian meninjau industri dan perniagaan tersebut dan mencari peluang untuk melibatkan diri.

Untuk mendapatkan kerja yang dikehendaki, mungkin anda boleh menawarkan diri untuk bekerja pada gaji yang lebih rendah supaya majikan tersebut sanggup mengambil anda. Tidak kiralah jika anda terpaksa bermula di peringkat paling rendah.

Ramai yang tidak sanggup melakukan perkara ini kerana mereka mahukan gaji yang selesa sejak dari mula bekerja lagi. Jika begitu, mereka akan membuat pilihan majikan yang sanggup membayar gaji paling tinggi, dan bukan majikan yang dapat memberikan pengalaman paling baik dan peluang paling relevan untuk pertumbuhan pada masa depan.

Apabila kita sudah berjaya memasuki industri, barulah kita dapat meninjau segala peluang yang ada dan melihat bagaimana ia beroperasi dari peringkat yang paling bawah. Selain itu, dalam tempoh pembelajaran, anda boleh menilai sama ada anda mampu dan selesa berniaga dalam bidang tersebut.

Malah jika mahu bermula lebih awal, kita boleh bekerja secara sambilan sejak di peringkat universiti atau di bangku sekolah, selagi tidak menganggu pelajaran. Pengalaman praktikal yang ditimba jauh lebih berharga dan bermakna berbanding kertas ijazah yang diperolehi.

Saya sendiri pun bekerja secara sambilan sejak di peringkat universiti dan akhirnya memilih bidang yang lebih berkaitan dengan pengalaman kerja saya daripada ijazah yang saya perolehi. Saya dapati pengalaman tersebut sangat berharga.

Justeru, pada pendapat saya kalau ada peluang untuk bekerja dengan seorang pakar atau mentor yang anda kagumi, rebut peluang tersebut walaupun gaji atau jawatannya amat rendah. Pengalaman yang ditimba akan membolehkan anda meriah keuntungan berlipat kali ganda pada kemudian hari.

15 April, 2009

Risiko dan Anda

Tentukan toleransi risiko anda sebelum melabur

Pelaburan saham bukan untuk semua orang. Bagi sesetengah orang, mereka tidak tenteram apabila harga saham yang mereka beli turun naik di pasaran. Justeru, sebelum anda membuat keputusan untuk melabur, tentukan sama ada pelaburan saham sesuai untuk anda.

Setiap jenis pelaburan ada risiko, termasuk tabungan di dalam bank. Jangan sangka wang anda pasti selamat dalam bank, kerana seperti yang dilhat di negara-negara lain, bank boleh jatuh muflis. Memang insurans deposit diberikan oleh PIDM, tetapi jumlahnya terhad. Jadi risiko tetap ada. Maka apabila menguruskan wang anda, perkara paling penting ialah menentukan risiko yang sanggup anda tanggung,

Berikut adalah beberapa kaedah simpanan dan pelaburan dan risiko yang dihadapi:

1) ASB - Risiko dana mengalami kerugian dan kerajaan tidak dapat menampung kerugian tersebut (kemungkinan besar tidak berlaku tetapi risiko tetap ada).
2) Bank - Risiko bank muflis dan tidak dapat membayar pendeposit.
3) Hartanah - Risiko nilai hartanah jatuh, atau risiko tanah mendap, tanah runtuh, kebakaran dan sebagainya (namun sesetengah daripada risiko ini boleh dilindungi insurans)
4) Bon atau Sukuk - Risiko pengeluar sukuk atau bon gagal membayar
5) Saham - Risiko harga saham turun, syarikat jatuh muflis atau digantung penyenaraian
6) Waran saham - Risiko harga saham asas jatuh, menyebabkan harga laksana lebih tinggi daripada harga saham asas
7) Derivatif / Forex - Risiko anda membuat unjuran yang tidak tepat, menyebabkan kerugian

Justeru setiap jenis pelaburan ada risikonya. Cuma tahapnya berbeza-beza. Daripada senarai di atas, pelaburan disusun mengikut tahap risiko daripada yang paling rendah kepada yang paling tinggi.

Jika anda tidak sanggup menanggung risiko, tak perlulah melabur dalam instrumen yang lebih tinggi risikonya seperti bon, saham dan waran saham. Lebih baik simpan sahaja dalam bank. Namun begitu, potensi pulangan yang anda terima juga terhad. Bagi instrumen yang lebih tinggi risikonya, potensi pulangan juga lebih tinggi.

Justeru, terpulang kepada anda untuk menentukan toleransi risiko anda dan memilih pelaburan yang sesuai untuk anda.


Nota: Buku Panduan Bijak Melabur ada mengandungi satu bab yang menerangkan lebih lanjut tentang risiko saham dan pasaran saham.

12 April, 2009

Tidak Cerewet Memilih Kerja

Peluang untuk hidup senang tetap ada

Saya rasa di Malaysia ini, walaupun dalam keadaan gawat, masih banyak peluang untuk cari makan. Jika tidak, mengapa terdapat ramai buruh asing di Malaysia? Ini menunjukkan peluang tetap ada, cuma mungkin seseorang itu perlu mengubah persepsi tentang tugas yang sanggup dipikul.

Saya nak ceritakan sikit tentang seorang kawan keturunan India dari keluarga miskin yang tinggal di kawasan setinggan di Kuala Lumpur. Dia beberapa tahun lebih muda dari saya. Saya mengenalinya di padang hoki semasa kita sama-sama bermain kira-kira 10 tahun dulu. Dia rajin orangnya walaupun tidaklah begitu pintar dari segi akademik.

Untuk memuaskan hati diri dan keluarga, dia telah mengikuti kursus diploma dalam bidang komputer di kolej swasta. Kursus tersebut dibiayai dengan bekerja mencuci kolam renang. Akhirnya di mendapat diploma tetapi keputusan akademiknya tidak begitu bagus.

Dia berusaha mencari kerja dalam bidang yang dipelajarinya tetapi gagal. Namun pada masa yang sama beliau tetap bekerja mencuci kolam renang rumah orang kaya sehingga menjadi orang kanan majikannya. Akhirnya dia membuat keputusan untuk terus bekerja cuci kolam renang dengan matlamat menceburi perniagaan mencuci kolam renang.

Dia begitu rajin dan dipercayai sehingga kini, dia mampu membeli sebuah kereta waja dan pangsapuri kos sederhana untuk keluarganya (walaupun sehingga sekarang lebih suka menggunakan motosikal untuk ke sini sana). Jadi keluarganya tidak lagi boleh digelar keluarga setinggan. Pendek kata dia telah melepaskan diri sendiri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan.

Tapi perkara paling menarik yang saya lihat ialah dia bekerja dari awal pagi sampai lebih kurang pukul dua atau tiga petang sahaja. Lepas tu dia boleh melakukan aktiviti yang diminati, iaitu berlari atau bermain hoki. Malah kini dia juga telah layak menjadi pengadil bagi liga bolasepak Selangor dan mendapat pendapatan tambahan daripada setiap perlawanan yang diadili.

Saya rasa masa depannya cerah kerana pesaing bukannya ramai. Siapa yang bercita-cita untuk menjadi tukang cuci kolam renang? Dia bukanlah kaya dengan kerjaya ini, tetapi dia hidup senang dan tidak lagi dianggap miskin, walaupun keluarganya pada asalnya sangat miskin dan menumpang di tanah kerajaan.

Kesimpulannya ialah peluang ada di mana-mana. Kita sering mendengar pemimpin Melayu dan India merungut tentang kemiskinan dalam komuniti masing-masing. Pelbagai program dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan. Mungkin segala program kerajaan tidak akan berjaya sekiranya individu itu sendiri tidak berminat untuk memanfaatkan segala peluang yang ada, tidak kiralah dengan bantuan atau tanpa bantuan kerajaan.

08 April, 2009

Supermax Corporation Kembali Menggegar?

Pengeluar Sarung Tangan Perubatan Selesai Masalah

Supermax Corporation Berhad ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam pengilangan, pengeluaran dan pemasaran sarung tangan perubatan. Anak syarikatnya pula terlibat dalam pengeluaran dan jualan sarung tangan getah. Produk syarikat ini dieksport ke lebih 155 negara seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Timur Tengah dan Pasifik Selatan. Antara anak syarikatnya termasuk Supermax Latex Products Sdn. Bhd., Supermax Glove Manufacturing Sdn. Bhd., Maxter Glove Manufacturing Sdn. Bhd., Supermax Incorporated dan Seal Polymer Industries Berhad.


Dipetik daripada Bursastation.com

Seperti yang dapat dilihat daripada carta, harga saham telah menjunam daripada tahap tertinggi RM2.65 sen pada pertengahan 2007 kepada harga lebih kurang RM0.80 sen pada akhir tahun lepas. Harganya hari ini ialah RM0.95. Kejatuhan ini amat ketara berbanding kejatuhan BSKL hanya 40% sepanjang tempoh yang sama.

Syarikat ini sebenarnya mencatatkan prestasi yang agak memuaskan, dengan pendapatan sesaham 23 sen pada 2008. Pencapaian ini agak baik memandangkan suasana ekonomi pada separuh kedua tahun lepas. Justeru apa yang menyebabkan harga sahamnya jatuh?

Kesilapan Supermax berlaku apabila syarikat tersebut mengambil alih sebuah pengeluar sarung tangan bernama APLI. Mereka tidak sedar syarikat tersebut menghadaipi masalah besar. Akhirnya pengurusan Supermax gagak menyelesaikan masalah APLI dan pelaburan dalam APLI telah dihapuskira sepenuhnya pada akhir tahun lepas.

Dalam satu temu ramah dalam akhbar The Star, Pengarah Urusannya berkata syarikat telah belajar daripada kesilapan yang dibuat dan tidak akan terburu-buru membuat pembelian lagi. Syarikatnya kini akan menumpukan perhatian untuk mengembangkan operasi syarikat secara organik.

Nisbah P/E Supermax adalah amat rendah, menjadikannya saham yang 'undervalued'. Malah pada 2009, syarikat dijangka terus mencatat untung, walaupun berkemungkinan lebih rendah daripada tahun lepas kerana kegawatan ekonomi semasa. Sekiranya pelaburan bermasalah Supermax telah dihapus kira, prestasi saham syarikat berpotensi untuk kembali pulih, sejajar dengan peningkatan prestasi syarikat.

05 April, 2009

Panduan Bijak Melabur

Menguasai Selok-Belok Pelaburan Saham

Ramai pelabur yang melabur dalam pasaran saham tidak membuat sebarang penyelidikan sebelum membeli saham. Mereka mendengar nasihat broker, saudara-mara atau bisikan khabar angin daripada rakan-rakan tanpa menyiasat kesahihannya.

Mereka tidak sedar bahawa kaedah pelaburan sebegini mengundang risiko. Ramai orang sanggup meluangkan banyak masa membanding harga dan kualiti barangan di pasar raya. Namun apabila membeli saham, mereka rasa malas untuk membuat penilaian dan analisis sewajarnya. Keputusan pelaburan yang maklum dan bijak penting untuk menjamin keuntungan.

Buku Panduan Bijak Melabur ini akan dengan membantu anda:

1. Membuat persedian sebelum melabur
2. Mendapatkan sumber maklumat berguna
3. Memilih dan menilai saham
4. Mementukan masa paling sesuai untuk membeli
5. Membuat keputusan untuk menjual saham
6. Mempelbagaikan pelaburan
7. Membina portfolio saham dan aset anda

Menggunakan analisis asas, anda akan menilai syarikat yang menjadi sasaran pelaburan dan bukannya semata-mata meninjau pergerakan harga saham dengan carta. Malah, jika anda rasa anda tiada masa untuk membuat analisis, anda boleh menggunakan jalan pintas dengan meneliti analisis yang dibuat oleh pakar pelaburan.

Selepas membaca buku ini, anda akan lebih fasih dengan selok-belok pelaburan dan menggunakan sepenuhnya segala maklumat yang dikumpulkan sebelum membuat keputusan untuk melabur. Sebenarnya pelaburan saham tidaklah sesusah yang disangka. Secara kesimpulannya, maklumat dalam buku ini akan membantu anda membuat keputusan pelaburan yang bijak dan maklum dalam segala keadaan pasaran.

Buku pertama saya ini setebal 230 muka surat dan diterbitkan oleh Truewealth Publications (Syarikat milik Azizi Ali). Harganya ialah RM39.90. Klik sini untuk maklumat lanjut atau membeli buku.

03 April, 2009

Susulan Kepada Tragedi Oktober

Keputusan Jual Secara Tergesa-Gesa Terbukti Kurang Bijak

Pada bulan Oktober tahun lepas, saya ada mengulas tentang kejatuhan ketara saham apabila kegawatan serius mula melanda ekonomi global. Tajuknya ialah Saham Jatuh Teruk...Jangan Panik: Keputusan Jual Secara Tergesa-Gesa Mungkin Kurang Bijak.

Pada waktu ini, indeks telah menyusut dengan ketara ke tahap 800 mata, dan berlegar di sekitar 820 mata selepas itu. Ramai yang terlibat di pasaran panik dan menjual saham, terutamanya kerana kemelesetan ekonomi dijangka menjadi semakin teruk.

Dalam tempoh hampir separuh tahun selepas itu, memang ekonomi dunia dilihat mengalami krisis yang begitu besar. Kesemua negara maju mengalami kemelesetan yang ketara. Malah tempiasnya kini dirasai oleh hampir semua negara di dunia.

Namun begitu, apa yang terjadi kepada pasaran saham? Indeks komposit telah berlegar di sekitar tahap 830 - 900 mata, walaupun dengan kegawatan serius dan juga segala perkembangan politik yang berlaku di dalam negara. Malah pada hari ini saham sudah mencecah paras 900 mata.

Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa akan mengundang padah. Jika anda bersabar sedikit, anda mungkin dapat meraih nilai lebih tinggi bagi saham anda. Jangan jual apabila orang lain semua panik kerana anda akan menjual pada tahap terendah.

Sudah pasti pasaran masih akan turun semula daripada paras 900, dan akan naik kembali. Ini lumrah pasaran dalam ketidakstabilan ekonomi semasa. Tetapi harus diingat bahawa situasi paling buruk telah berlaku. Jadi, jika anda bercadang untuk melabur, bolehkah situasi menjadi lebih buruk daripada sekarang atau adakah ekonomi akan mula pulih pada separuh kedua tahun ini?

Jika anda mengikuti blog saya sejak enam bulan lepas, anda sudah pasti dapat menjangka bahawa saya tergolong dalam kumpulan yang lebih optimis.