Perkembangan dalam dan luar negeri amat negatif
Tengku Razaleigh telah memberi amaran kepada pucuk pimpinan negara bahawa mereka perlu bersiap sedia untuk 'collapse of trade' atau keruntuhan dagangan. Malaysia sebagai negara pengeksport pasti terjejas dengan situasi dunia sekarang memandangkan tahap dagangan antara negara telah menyusut dengan ketara.
Walaupun krisis bermula dengan kegawatan sektor perumahan dan kewangan Amerika, kanser telah menyusup ke dalam ekonomi sebenar. Sebagai negara pengimport besar, masalah di Amerika sudah tentulah menyebabkan penggunanya kurang membeli produk dari Asia amnya dan Malaysia khususnya, mengakibatkan negara di rantau ini turut terjejas Asia amat bergantung kepada perdagangan.
Selain itu keruntuhan harga minyak dan komoditi sudah tentulah dirasai negara-negara pengeksport komoditi seperti negara Timur Tengah dan juga Malaysia yang menjadi pengeksport utama kelapa sawit.
Malaysia setakat ini amat bernasib baik kerana sehinga Disember masih kurang merasai tempiasnya tetapi yang pasti, kegawaan sudah tiba dan mula dirasai. Pada awal tahun, saya ada menulis posting tentang pengguna Malaysia yang masih sibuk berbelanja di pusat beli-belah tetapi senarionya telah mula berubah sekarang.
Pada akhir Januari, sehingga 80,000 pekerja telah diberhentikan sama ada secara kekal atau buat sementara. Ini tidak menghairankan kerana jika tiada dagangan dan tiada jualan, banyak syarikat perlu mengurangkan pekerja supaya dapat mengurangkan kos dan meneruskan operasi.
Situasi ini kegawatan dunia ini tidak boleh dielakkan oleh Malaysia. Namun Malaysia boleh menampung kesukaran yang bakal dihadapi jika memberi tumpuan penuh terhadap pelaksanaan dasar-dasar yang merangsangkan ekonomi dan menyelaraskan pakej rangsangan dan perancangan ekonomi di antara negeri-negeri.
Tetapi sekarang ini semua ahli politik sibuk dengan permainan mereka sendiri. Dapat dilihat negeri yang di bawah parti lawan akan 'disusahkan'. Tak perlu meninjau jauh, kita boleh lihat pelancongan sebagai contoh yang baik dan pelancongan adalah sumber hasil utama bagi negara ini yang pasti menghadapi tekanan akibat keadaan semasa.
Selepas ini penyelarasan program pasti lebih sukar dengan Perdana Menteri baru kerana sebelum ini parti lawan masih boleh duduk semeja dengan pemimpin semasa. Pada percaturan ramai, penggantian kepimpinan Umno sepatutnya membawa kestabilan yang amat diharapkan tetapi perkara sebaliknya telah berlaku. Dari segi politik, kita perlu membiasakan diri dengan pelbagai kerenah kedua-dua pihak sehinggalah pilihan raya umum seterusnya.
Walau apa pun, keadaan tidaklah malap sepenuhnya kerana saya rasa sektor swasta Malaysia mampu menyesuaikan diri dengan keadaan ini. Selain itu, Bank Negara Malaysia juga bijak menangani keadaan dan mengambil tindakan yang tersusun dan terancang. Kita perlu kerja lebih keras dalam keadaan ini. Oleh kerana kita tak boleh mengharapkan ahli politik, hanya rakyat dan perniagaan Malaysia dapat membantu rakyat dan perniagaan Malaysia.
2 ulasan:
Sedih - 'kita tak boleh harap ahli politik kita'..bilalah kapten nak balik bertugas? Autopilot mode akan membawa padah!
Pendedahan mengenai ekonomi kita agak terlewat. Berbanding semasa kita menghadapi kemelesetan ekonomi pada tahun 1997. Hampir setiap dua minggu sekali kita akan melihat perancangan yang di buat dan dilakukan oleh Majlis Perunding Ekonomi Negara. Ketika ini kerajaan masih percaya dan masih menjanjikan negara masih boleh bertahan. Namun pada masa yang sama kita menyaksikan, pembuangan kerja berlaku, eksport jatuh, perniagaan dalam negeri lembab. Rakyat perlu didedahkan secepatnya untuk tidak tenggelam punca apabila keadaan bertambah parah.
Catat Ulasan