Pentingkan Diri atau Negara?
Dalam posting pada 12 September 2008 , saya ada menyentuh tentang gelagat ahli politik yang tak habis-habis dengan permainan politik masing-masing. Nampaknya dilihat daripada perkembangan politik di Perak, permainan masih belum selesai.
Saya tak faham adakah mereka ini tidak sedar tentang kegawatan yang dihadapi dunia, pekerja yang sudah dibuang kerja dan akan dibuang kerja, perniagaan yang mengalami kerugian dan sebagainya. Dunia menghadapi krisis paling buruk dan mereka sibuk dengan permainan kuasa masing-masing.
Patutkah rasa hormat diberikan kepada mereka yang lompat? Lebih-lebih lagi yang sanggup lompat dua kali. Dalam setiap keadaan, kita boleh lihat bahawa mereka bukan melompat kerana prinsip, tetapi pelbagai alasan yang diberikan untuk melindungi sebab sebenar.
Satu lagi perkara yang dilihat ialah ahli politik BN dan PR seperti tidak boleh duduk semeja untuk berunding mengenai cara menangani masalah ekonomi. Adakah pandangan seseorang tak boleh digunakan jika mereka dari parti lawan? Adakah apa yang keluar dari mulut parti lawan salah belaka?
Seperti yang saya kata dalam posting tahun lepas, rakyat Malaysia dan syarikat perniagaan Malaysia perlu membiasakan diri dengan situasi begini. Ahli politik tidak lagi akan membantu kita. Mereka sibuk dengan dunia mereka sendiri dan tidak ikhlas. Jika sesuatu dilakukan, mereka melakukannya untuk mendapatkan kredit bagi diri mereka dan juga parti mereka, bukan ikhlas hendak membantu.
Diharapkan rakyat Malaysia dapat membiasakan diri dengan situasi ini dan sama-sama bekerja keras untuk membangunkan ekonomi Malaysia. Saya terbaca satu posting tentang 'Automatic Government' dalam Blog Dr Mahathir dan amat bersetuju. Nampaknya 'leadership' untuk membangunkan ekonomi jatuh di tangan BNM dan juga syarikat perniagaan. Saya tidak nampak kepimpinan di kalangan ahli politik yang ada sekarang kecuali pandai memimpin orang lompat parti.
2 ulasan:
Assalamualaikum,
Arena politik pada orang-orang melayu khususnya adalah tempat untuk mencari kekayaan. Peduli apa mereka tentang ekonomi, peduli apa mereka tentang kesusahan berpuluh-puluh ribu rakyat yang telah diberhentikan kerja sejak Tahun Baru Cina yang lepas, peduli apa mereka tentang kemiskinan tegar yang berlaku pada orang-orang melayu. Apa yang mereka peduli adalah untuk mengumpulkan kekayaan tidak peduli samada halal ataupun haram asalkan saja matlamat terakhirnya adalah berkonsepkan kebahagiaan duniawi semata-mata. 1 juta RM mana cukup, 5 juta RM pun tidak cukup, 10 juta RM pun agaknya masih tidak mencukupi. Maka tidak payah lah kita sebagai rakyat Malaysia untuk memahami apa fokus ahli-ahli politik ini sebenarnya.
Pandangan yang tepat mengenai peranan orang politik sekarang. Ya... kita kena terpaksa membiasakan diri dengan suasana sekarang.
Catat Ulasan