29 Ogos, 2010

Indeks Saham dan Maksudnya

Pelbagai Indeks Mewakili Bahagian Pasaran Berbeza

Indeks pasaran saham umumnya mengukur prestasi pasaran saham, sektor pasaran saham atau segmen tertentu pasaran saham. Indeks boleh digunakan untuk:
  1. Meninjau kedudukan seluruh pasaran serta bahagian, sektor atau segmen pasaran
  2. Menjadi penanda aras atau pengukur prestasi portfolio saham atau dana
  3. Ditiru pergerakannya menerusi dana atau ETF supaya pelabur boleh melabur dalam indeks tersebut
Mereka yang baru berjinak-jinak dengan saham mungkin terperanjat jika diberitahu bahawa indeks yang paling menjadi rujukan ramai, iaitu FBM KLCI (Indeks Komposit Kuala Lumpur) hanya merangkumi 30 saham sahaja berbanding beratus-ratus saham di Bursa Malaysia.

Kadang kala anda mungkin tertanya kenapa banyak saham jatuh sedangkan indeks pula naik? Ini kerana FBM KLCI hanya mewakili 30 saham utama. Jadi untuk memberikan gambaran lebih jelas saya senaraikan beberapa indeks umum di Pasaran Utama dan Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Indeks Umum

FBM KLCI

Indeks utama yang meliputi 30 syrikat terbesar di Bursa Malaysia berasaskan modal pasaran penuh.

Dipetik daripada Bursa Station

FBM 70
Terdiri daripada 70 syarikat terbesar selepas saham dalam FBM KLCI, berasaskan modal pasaran

FBM 100
Gabungan antara FBM KLCI dan FBM 70

FBM Small Cap
Merangkumi 98% daripada saham dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia, tetapi tidak termasuk saham-saham dalam FBM 100

Dipetik daripada Bursa Station

FBM Emas
Terdiri daripada saham dalam FBM 100 dan FBM Small Cap. Merangkumi 98% daripada saham di Bursa Malaysia.

FBM Ace
Terdiri daripada semua syarikat yang layak yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

FBM Palm Oil
Indeks ini merangkumi syarikat dalam FBM Emas yang meraih sebahagian besar hasil daripada kegiatan perladangan kelapa sawit.

Indeks Syariah

FBM Hijrah Shariah

Terdiri daripada 30 syarikat patuh syariah terbesar di Bursa Malaysia yang mematuhi syarat Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti dan juga Yasaar

FBM Emas Shariah
Terdiri daripada saham patuh syariah dalam indeks FBM Emas, berasaskan syarat Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

Dipetik daripada Bursa Station

Indeks yang anda rujuk bergantung kepada jenis saham yang anda beli. Sebagai contoh, bagi saya sendiri, saya merujuk dan menanda aras (mengukur prestasi pelaburan) saya dengan indeks FBM Emas Syariah dan juga FBM Small Cap.

Contohnya jika anda melabur dalam syarikat bermodal besar sahaja, maka FBM KLCI atau FBM 100 seharusnya menjadi rujukan anda.

FBM KCLI atau FBM Hijrah hanya memberikan gambaran tentang presasi saham terbesar sahaja. Untuk gambaran keseluruhan pasaran, tinjau prestasi FBM Emas atau FBM Emas Syariah.

Ada kalanya semua indeks naik dan ada kalanya semua indek turun. Namun begitu, dalam keadaan tertentu, seperti kebelakangan ini, FBM KLCI naik tetapi indeks lain turun. Jadi untuk menentukan kedudukan pasaran pada sesuatu hari, anda boleh merujuk kepada beberapa indeks yang relevan untuk memberikan gambaran yang lebih tepat.

25 Ogos, 2010

Kriteria Pemilihan Saham Adam Khoo

Cara Beliau Beli Saham Berpotensi Pada Harga Terdiskaun

Baru-baru ini saya telah membaca buku Profit from the Asian Recovery oleh Adam Khoo. Beliau adalah seorang usahawan, pembimbing pelajar dan pelabur dari Singapura yang telah menulis buku-buku tentang cara mencapai potensi peribadi dan juga mengenai pelaburan.


Buku ini menerangkan tentang bagaimana Asia bakal menerajui pemulihan global kelak dan memberikan dua senario semasa buku ditulis, iaitu ekonomi terus pulih atau ekonomi mengalami double dip recession (yang kini semakin tinggi kebarangkaliannya berasaskan senario semasa di Amerika).

Tetapi lebih menarik lagi ialah kriteria yang digunakan oleh beliau untuk memilih saham. Kriteria tersebut saya senaraikan di sini:

1. Jualan, keuntungan dan aliran tunai yang meningkat secara konsisten
2. Kelebihan daya saing yang boleh dikekalkan
3. Prospek pertumbuhan yang tinggi
4. Tahap hutang yang konservatif
5. Pulangan atas ekuiti yang tinggi
6. Pihak pengurusan memegang dan membeli saham
7. Harga saham di bawah nilai asas (intrinsic value)

Berasaskan kriteria pemilihan, saya dapati kaedahnya banyak menyerupai teknik pemilihan saham Warren Buffet. Selain itu beliau juga memberikan lima nasihat berikut:

1. Melabur dengan wang anda tidak perlukan
2. Pastikan anda mempunyai tunai yang mencukupi
3. Jangan berhutang untuk membeli saham
4. Pelbagaikan pelaburan tetapi jangan lakukannya secara berlebihan
5. Melabur secara konsisten dan bukan melabur semua wang anda secara sekaligus

Memang nasihat yang diberikan amat baik dan walaupun saya sendiri menggunakan kriteria dan kaedah yang sedikit berbeza, teknik yang digunakan oleh Adam Khoo amat kukuh dan mantap dan juga sesuai digunakan oleh pelabur baru.

22 Ogos, 2010

Risiko Muflis Dengan Hutang Kereta

Penghutang Pinjaman Kereta Dahului Senarai Bankrapsi

Saya terbaca satu artikel dalam akhbar The Star bertajuk "Car loan takers top bankruptcy list" pada hari ini. Menurut artikel tersebut pada tahun ini lebih 500 orang diiystihar muflis sebulan akibat pinjaman kereta dan jumlah tahun ini dijangka tertinggi dalam sejarah.

Malah kes bankrap akibat pinjaman kereta merupakan punca kemuflisan tertinggi di Malaysia, merangkumi 24% daripada jumlah kes. Di tempat kedua ialah pinjaman peribadi dengan 12% dan pinjaman perniagaan 11%.

Penghutang boleh diiystiharkan muflis jika berhutang lebih RM30,000. Jadi prosiding bankrapsi hanya dimulakan oleh bank setelah pinjaman sampai ke tahap itu selepas mengambil kira faedah.

Lihat carta berikut untuk melihat statistiknya. Klik sini untuk baca artikel.

Dipetik daripada The Star

Pada pandangan saya, fenomena ini tidak menghairankan kerana di Malaysia ramai orang sebenarnya tidak mampu membeli kereta yang mereka beli. Kriteria yang digunakan ialah sama ada gaji cukup atau tidak untuk menampung ansuran bulanan.

Tapi kadangkala kita lupa bahawa punca pendapatan kita mungkin tidak sekukuh yang disangka. Kedua, perbelanjaan kita mungkin meningkat disebabkan perkara tidak diduga. Ketiga banyak perkara lain yang mungkin kita perlukan dalam tempoh pinjaman kereta yang tidak diambil kira dalam perancangan.

Satu lagi faktor yang menyebabkan ramai yang tidak dapat membayar pinjaman ialah bayaran wang muka 0% yang ditawarkan untuk membeli kereta.

Pada pendapat saya, jika anda tak mampu bayar sekurang-kurangnya 10% sebagai wang muka, anda tak mampu beli kereta tersebut. Selain itu, jika anda tidak mampu membayar ansuran bagi tempoh pinjaman 5 tahun, anda juga tak mampu untuk membeli kereta itu.

Ada sesetengah orang yang serahkan sahaja kereta mereka kepada bank apabila tak mampu bayar kerana harga jualan lebih rendah daripada nilai hutang. Tetapi harus diingat, anda bertanggungjawab membayar bank perbezaan antara harga jualan kereta dan nilai hutang.

Jika tidak bank akan terus mengenakan faedah atas hutang dan apabila hutang mencecah angka RM30,000, anda akan diisytiharkan muflis. Nama anda juga akan dimasukkan dalam senarai hitam kredit, walaupun anda belum diisytihar muflis.

Ramai yang tidak sedar betapa seriusnya masalah orang muflis ini. Seorang muflis tidak boleh pergi ke luar negara, tak boleh memegang aset, tak boleh mendapatkan pinjaman lain dan dikenakan beberapa sekatan lain. Beliau hanya akan dilepaskan daripada belenggu ini apabila jumlah hutang dijelaskan.

Jika anda bercadang membeli kereta atau menukar kereta, cuba buat pengiraan jumlah yang anda mampu bayar dan kereta yang anda mampu beli, kemudian beli kereta satu atau dua tahap di bawah itu. Banyak perkara lebih penting untuk difikir dan diperuntukkan daripada kereta yang cantik atau canggih.

18 Ogos, 2010

Pelaburan Berasaskan Nilai

Kaedah pelaburan dipelopori Ben Graham dan David Dodd

Pelaburan berasaskan nilai atau value investing ialah kaedah pelaburan yang dipelopori oleh pelabur tersohor, Benjamin Graham. Menggunakan kaedah ini, pelabur membeli saham yang harganya lebih rendah daripada nilai asas (intrinsic value), yang ditentukan berasaskan analisis asas (fundamental analysis).



Pelabur yang melabur berasaskan kaedah ini berharap untuk mendapatkan untung apabila saham naik sama ada kerana:

1. Ramai pelabur lain mula melihat nilai sebenarnya
2. Syarikat mencatatkan prestasi baik
3. Syarikat diambil alih oleh syarikat lain.

Buku pertama mengenai kaedah pelaburan ini dinamakan Security Analysis oleh Benjamin Graham dan juga David Dodd yang ditulis pada tahun 1934 dan masih boleh didapati di kedai buku pada hari ini!



Konsep asas beliau ialah beli saham yang harganya lebih rendah daripada nilai buku atau book value syarikat. Book value kini banyak dirujuk sebagai net tangible assets (NTA) atau nilai aset ketara bersih dan jika anda membaca laporan tahunan dan suku tahunan syarikat di laman web Bursa Malaysia, NTA digunakan.

Perbezaan antara harga dan nilai aset syarikat dinamakan 'margin of safety'. Sebagai contoh, katakan pelabur membeli saham dengan NTA RM1.20 pada harga RM1.00. Dari segi teorinya beliau membayar hanya RM1.00 untuk aset bernilai RM1.20 dan margin of safety yang diperolehi ialah RM0.20 sen.

Namun begitu konsep harga lebih rendah daripada aset telah dikembangkan dan kini nilai asas juga boleh dikira berasaskan nisbah harga pendapatan dan juga menggunakan kaedah aliran tunai terdiskaun (discounted cash flow).

Seperti yang diketahui umum, Ben Graham ialah guru kepada pelabur tersohor di dunia Warren Buffet, tetapi kaedah yang digunakan oleh Buffet adalah kombinasi antara value investing dan juga growth investing.

Untuk mendapatkan idea yang lebih baik tentang pelaburan berasaskan nilai, buku yang lebih relevan kepada pelabur yang baru belajar ialah buku Intelligent Investor juga oleh Benjamin Graham.



Nota
Walaupun nampak mudah, sebenarnya adalah sukar bagi pelabur menentukan nilai asas atau intrinsic value syarikat. Ada yang menggunakan aset, ada yang menggunakan pendapatan dan ada yang menggunakan aliran tunai. Jika tiga penganalisis berbeza disuruh menilai sesuatu syarikat, kita pasti akan mendapat tiga nilai yang berbeza.

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah kadangkala aset bersih syarikat itu tidak berguna, sudah usang atau tidak boleh membawa nilai kepada syarikat, justeru pelabur perlu berhati-hati apabila menggunakan nilai aset bersih sebagai perbandingan.

16 Ogos, 2010

Melabur Pasaran China Dengan Unit Amanah

Potensi agak besar tetapi perlu tentukan masa terbaik untuk membeli

Kita semua tahu tentang potensi besar dan perkembangan pesat negara China dan rantau sekitarnya sejak beberapa tahun lepas. Pasaran saham China dianggap antara pasaran hangat kira-kira tiga-empat tahun lepas.

Namun begitu kehangatan tersebut mula pudar sejak kebelakangan ini. Malah dalam tempoh setahun yang lalu, pasaran saham China tidak naik seperti pasaran saham lain di rantau ini.


Dipetik daripada Yahoo Finance

Tetapi potensinya untuk kembali menggegar tetap ada, cuma kita perlu menentukan masa paling sesuai untuk melabur.

Ada beberapa cara untuk melabur dalam pasaran saham China. Pertama sekali ialah dengan membuka akaun dengan broker yang membolehkan anda membeli pasaran di rantau tersebut, kedua ialah melabur dalam syarikat di China yang tersenarai di Malaysia.

Tetapi cara yang selamat untuk mendapatkan pendedahan kepada pasaran di China ialah menerusi unit amanah yang melabur dalam pasaran saham China.

Buat masa ini terdapat 3 dana patuh Syariah yang melabur di China iaitu

1. Public China Ittikal
2. CIMB Greater China Equity
3. Prudinasty Equity

Di antara 3 dana ini, dana daripada Public dan CIMB hanya boleh diperolehi menerusi ejen, manakala Prudinasti boleh diperolehi menerusi fundsupermart.com, yang menawarkan caj jualan hanya 2%.

Setakat ini, ketiga-tiga dana tersebut menghasilkan pulangan negatif kerana prestasi kurang baik pasaran saham di China, seperti yang saya sebutkan sebelum ini.

Namun begitu, perlu diingat bahawa sejak lebih setahun lepas, pihak berkuasa China telah mengambil langkah untuk 'menyekat' spekulasi di pasaran hartanah dan juga saham. Justeru kejatuhan ini adalah tidak menghairankan.

Kejatuhan ini mendahului apa yang saya jangka kejatuhan yang akan berlaku di pasaran Amerika menjelang akhir tahun (mungkin sudah bermula).

Memandangkan pertumbuhan ekonomi global secara keseluruhannya dijangka lebih perlahan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini, mungkin lebih baik menunggu sedikit masa lagi sebelum melabur.

Jika anda berminat melabur, untuk mengelakkan kesilapan timing, pecahkan pelaburan anda kepada jumlah lebih kecil dan laburkan setiap dua bulan untuk mendapatkan harga purata sekiranya pasaran terus turun.

Seperti biasa, saya tekankan bahawa anda tidak harus melabur dalam hanya satu jenis pelaburan dan pastikan pelaburan ini hanyalah sebahagian daripada portfolio pelaburan anda yang lebih terpelbagai.