29 Februari, 2016

Mengapa Kiraan Pulangan Purata Tidak Tepat?

Apabila kita mengira pulangan pelaburan, kita tidak boleh ambil sahaja peratus pulangan yang kita terima sejak kita mula melabur sehingga sekarang dan membahagikannya dengan bilangan tahun pelaburan untuk mendapatkan pulangan purata.

Kaedah ini tidak menggambarkan pulangan sebenar yang diperolehi dalam bentuk peratus. Saya tunjukkan mengapa pengiraan ini tidak tepat menerusi satu jadual yang ringkas.

Andaikan anda melabur RM50,000 pada 1 Januari 2011. Kemudian pada 31 Disember 2015, nilai pelaburan anda ialah RM75,000. Pulangan yang anda terima ialah RM25,000. Pulangan dalam bentuk peratus ialah RMRM25,000/RM50,000 = 50%.

Jadi berapakah pulangan tahunan yang diterima?  Adakah jawapannya 50%/5 = 10% setahun? Jawapan ini tidak tepat kerana kesan kompaun dan ia bukan kaedah pengiraan dalam jadual unit amanah seperti Lipper dan Morningstar.

Andaikan kita ambil pulangan 10% setahun:

Tahun
Nilai Pokok
Pulangan
Pokok + Pulangan
2011
50000.0
5000.0
55000.0
2012
55000.0
5500.0
60500.0
2013
60500.0
6050.0
66550.0
2014
66550.0
6655.0
73205.0
2015
73205.0
7320.5
80,525.5
 
Didapati jumlah akhir ialah RM80,525.5 sedangkan nilai pelaburan anda ialah RM75,000.

Jadi bagaimana untuk mengira pulangan terkompaun?  Ada dua cara, iaitu menggunakan mesin pengira kewangan atau dengan menggunakan laman web khusus untuk mengira pulangan terkompaun:

1. Menggunakan Mesin Pengira Kewangan
-50,000 PV;  5 N;  FV 75,000; Tekan I/YR
Jawapannya ialah 8.4472%.

PV - Nilai Kini, FV - Nilai Masa Depan; N = Tempoh Masa dan I/YR ialah Pulangan Tahunan

2. Cari return rate/CAGR calculator di Internet. Salah satu daripada laman yang menyediakan kemudahan ini ialah Money Chimp. Kita masukkan parameter yang berkenaan:

Untuk membuktikan kesahihannya, berasaskan pulangan 8.4472%, kita bina jadual berikut:

Tahun
Nilai Pokok
Pulangan
Pokok + Pulangan
2011
50,000.0
4223.6
54223.6
2012
54223.6
4580.4
58804.0
2013
58804.0
4967.3
63771.3
2014
63771.3
5386.9
69158.2
2015
69158.2
5841.9
75,000.1

Maka jelaslah pulangan yang kita terima ialah 8.45% sahaja, bukannya 10% jika kita menggunakan kaedah purata. Ini disebabkan oleh kesan kompaun.

Dengan penjelasan ini, diharapkan para pelabur dapat menggunakan kaedah yang betul untuk mengira pulangan saham atau unit amanah masing-masing.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

22 Februari, 2016

Pulangan Dana Unit Amanah Berbanding KWSP

Baru-baru ini wujud sedikit kontroversi tentang prestasi dana unit amanah berbanding pulangan KWSP yang mengumumkan dividen 6.40%.

Perdebatan timbul kerana dalam keadaan pasaran semasa, tidak banyak dana yang berjaya mengatasi pulangan KWSP, sama ada untuk satu tahun mahupun lima tahun. 

Perkara ini telah dipaparkan oleh Tuan Afyan Mat Rawi dan juga dikupas dari sudut lain oleh Tuan Suzardi Maulan (Pakdi) menerusi posting di Facebook.

Hakikat ini mungkin sukar diterima oleh mereka yang terlibat dalam industri dan mungkin ada yang marah dan berkata macam-macam tetapi mereka tidak sedar ada sebab mengapa dua tokoh kewangan terkenal tersebut menimbulkan isu ini.

Perkara yang ingin diketengahkan ialah dakwaan sesetengah ejen unit amanah dengan nada yang hampir pasti bahawa pelaburan dalam unit amanah yang mereka jual boleh menjana pulangan 12 - 20%.

Saya pun pernah melihat iklan-iklan seperti ini, terutamanya pada zaman kenaikan saham dan unit amanah. Sebenarnya dalam keadaan pasaran yang kurang baik, banyak dana akan menghadapi masalah mengatasi pulangan KWSP, Tabung Haji dan sebagainya.

Malah dalam keadaan kegawatan ekonomi serius, pulangan dana mungkin buat sementara waktu bukan sahaja tewas kepada deposit di bank, tetapi mengalami pulangan negatif. Ini telah berlaku untuk satu dua tahun semasa krisis subprima pada 2008 dan 2009.

Tetapi dalam keadaan pasaran yang sedang meningkat, lebih banyak dana akan mengatasi pulangan KWSP, Tabung Haji dan Bank. Sebagai contoh, jika anda mengambil prestasi dana antara 2012 hingga pertengahan 2015, didapati lebih banyak dana yang mencatatkan prestasi lebih baik daripada KWSP.

Prestasi pulangan dana secara keseluruhan adalah dinamik bukannya statik. Mungkin pada masa ini, prestasi kurang menyerlah tetapi apabila pasaran saham kembali pulih, prestasi untuk seluruh spektrum tempoh masa akan kembali meningkat.

Perkara paling penting yang perlu diingat ialah banyak faktor yang mempengaruhi pulangan dana, dan kejayaan meraih pulangan 12% terkompaun tahunan untuk jangka panjang adalah sukar dan  hanya segelintir dana yang dapat melakukannya untuk tempoh 5 - 10 tahun.

Pendek kata, apa yang hendak ditekankan ialah ejen unit amanah perlu menggunakan cara yang jujur dan beretika dalam mempromosi unit amanah masing-masing dengan menyatakan secara terus-terang bahawa pelabur mungkin mengalami kerugian, mungkin mengalami pulangan lebih rendah daripada KWSP dan mungkin mengalami pulangan lebih tinggi daripada KWSP, tetapi semuanya bergantung kepada prestasi pengurus dana yang mereka pilih.

Mungkin pada posting seterusnya saya akan menerangkan tentang pelbagai faktor yang mempengaruhi pulangan unit amanah bagi seorang pelabur.

Nota:
1.  Daripada pemerhatian selama ini dan perbahasan baru-baru ini di media sosial, saya lihat ada perunding/ejen unit amanah kurang mendalam ilmunya, sehingga mengira pulangan pun tak berapa pandai. Perkara yang perlu dikira ialah annualised return atau compounded return bukannya average return.

2.  Sebenarnya ada cara untuk menerangkan isu ini kepada pelanggan. Seperti yang saya terangkan di atas bahawa prestasi memang akan terjejas semasa pasaran saham rendah tetapi apabila pasaran saham pulih, lebih banyak dana akan mengatasi pulangan KWSP.  Tetapi jika anda sudah menarik pelanggan dengan janji 12% atau lebih, maka tiada siapa yang boleh menolong anda.

3.  Perbandingan yang dibuat oleh Tuan Afyan belum lagi mengambil kira faktor kos jualan, yang agak mahal di Malaysia, iaitu 3% untuk pelaburan KWSP dan 5% untuk pelaburan biasa. (Cara paling murah ialah pembelian online, yang kosnya kurang daripada 2%). Jika diambil kira faktor ini, bilangan dana yang mengatasi KWSP buat masa ini mungkin lebih rendah lagi.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

15 Februari, 2016

Nak Beli Apple? Nilai Kadar Tukaran Dahulu

Ramai juga yang sedang menantikan iPhone 7 pada tahun ini, tetapi tidak ramai yang tahu bahawa sekarang agak mudah untuk membeli saham syarikat pengeluar iPhone tersebut.

Syarikat broker saham di Malaysia kini ada yang sudah menawarkan kemudahan jual beli saham antarabangsa, menjadikan pembelian saham asing lebih mudah. 

Maka jika anda mahu mencontohi pembelian para pelabur terkenal, pelaburan kini boleh dibuat dengan sentuhan jari menerusi broker Malaysia.

Kembali kepada Apple (saya sengaja pilih saham ini kerana nama terkenal), kita boleh lihat bahawa harganya telah turun kebelakangan ini, dan ukuran fundamentalnya juga agak berpatutan.

Data daripada Yahoo Finance.

Harga saham semakin rendah kerana ramai pelabur yang berpendapat pertumbuhan Apple tidak lagi sehebat yang dijangkakan. Tetapi jika anda mempunyai pandangan sebaliknya, maka harga Apple kelihatan agak menarik.

Sama ada anda meraih untung bergantung kepada sama ada unjuran anda tepat atau tidak tentang potensi pertumbuhan produk Apple.

Tetapi sebelum ghairah membeli apa jua saham asing, anda perlu sedar bahawa ada satu lagi faktor yang perlu dinilai, iaitu faktor matawang. 

Jika pada masa anda menjual, Ringgit telah mengukuh berbanding AS, maka keuntungan anda akan berkurangan sebanyak peratus kenaikan mata wang Ringgit.

Sebaliknya jika pada masa anda menjual, Ringgit semakin lemah berbanding AS, makan keuntungan anda lebih tinggi kerana turut mengambil kira keuntungan daripada pergerakan tukaran asing.

Kita lihat pergerakan antara Ringgit Malaysia dan USD dalam carta di bawah.

Maknanya sebelum anda tekan buy, pastikan anda membuat unjuran terlebih dahulu tentang pergerakan nilai mata wang pada masa depan, kerana ia akan mempengaruhi kadar untung/rugi anda apabila anda menjual saham ini kelak.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

09 Februari, 2016

Memahami Penyata Kewangan Amat Penting Untuk Pelaburan & Kewangan Peribadi

Sedikit kefahaman tentang perakaunan boleh membawa manfaat dalam pelbagai bidang, termasuk apabila membuat penilaian pelaburan dan juga menyusun kewangan peribadi anda.

Malah kefahaman tentang perakaunan juga boleh mengelakkan anda daripada terpedaya oleh pelbagai skim pseudo-pelaburan yang wujud, terutamanya di FB dan juga mengelakkan kekeliruan dengan info dari pelbagai pakar kewangan peribadi yang kini muncul memberi nasihat dalam media sosial.

Selain itu, anda juga boleh mengkaji di peringkat asas kedudukan kewangan entiti di mana anda menabung wang, contohnya Tabung Haji (TH). Ini membolehkan anda menilai sendiri keadaan sebenar dan bukan menerima sahaja pandangan pakar FB dan ahli politik dari kedua-dua belah.

Anda tidak perlu mengetahui secara terperinci tetapi cukup untuk memahami penyata dan juga persamaan asas. Persamaan asas perakaunan adalah seperti berikut:

Aset = Ekuiti (Modal/Nilai Aset Bersih) + Liabiliti. Tetapi apabila kita mengolah semula kita dapat:

Aset - Liabiliti = Nilai Aset Bersih

Ada tiga laporan utama dalam sesebuah penyata kewangan syarikat.
  1. Penyata Untung Rugi - mengukur tahap keuntungan atau kerugian sesebuah syarikat.
  2. Lembaran Imbangan - mencatatkan semua aset dan liabiliti sesebuah syarikat, dan bakinya (aset - liabiliti) merupakan nilai aset bersih atau dengan kata lain, nilai buku syarikat.
  3. Penyata Aliran Tunai - Mengukur operasi syarikat dalam bentuk tunai dan bukannya dari segi akruan seperti dalam penyata untung rugi.
Manakala bagi individu hanya perlu dua penyata iaitu:
  1. Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan (Penyata Untung Rugi)
  2. Penyata Aset dan Liabiliti (Lembaran Imbangan).
(Kita tidak perlu penyata aliran tunai kerana penyata pendapatan dan perbelanjaan kita sudah sediakan dalam bentuk tunai dan bukannya akruan)

Pada asasnya,
  1. Bagi Syarikat: Aset - Liabiliti = Nilai Aset Bersih
  2. Bagi Unit Amanah: Aset - Liabiliti = Nilai Aset Bersih
  3. Bagi Tabung Haji: Aset - Liabiliti = Rizab
  4. Bagi Individu:  Aset - Liabiliti = Nilai Bersih (Net Worth)
Bagi syarikat, apabila Nilai Aset Bersih dibahagikan dengan jumlah saham dalam edaran, apa yang kita perolehi ialah Nilai Aset Bersih Sesaham.

Bagi unit amanah, apabila Nilai Aset Bersih dibahagikan dengan jumlah unit dalam edaran, apa yang kita perolehi ialah Nilai Aset Bersih Seunit, yang merupakan harga unit amanah tersebut.

Ini adalah persamaan paling asas dalam perakaunan.  Apabila anda melihat penyata kewangan syarikat sebenar, anda akan mendapati item lain yang perlu ditolak selain daripada liabiliti seperti non-controlling interest (iaitu pemegang saham minoriti anak syarikat).

Dengan memahami persamaan asas di atas walaupun anda tidak faham item yang lebih teknikal, anda sekurang-kurangnya dapat memahami bagaimana untung/lebihan boleh meningkatkan nilai aset bersih / nilai bersih peribadi anda.

Apabila sesebuah syarikat mencatatkan untung, nilai untung ini akan meningkatkan nilai aset bersih syarikat. Perkara sebaliknya berlaku apabila rugi. Sementara itu, apabila dividen dibayar, nilai dividen akan mengurangkan nilai aset bersih syarikat.

Sebagai individu pula apabila pendapatan anda melebihi perbelanjaan, anda akan mencatatkan lebihan dalam akaun peribadi anda, dan ini pula akan meningkatkan nilai bersih anda. 

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

01 Februari, 2016

Ke Mana Rizab TH? Sudah Masuk Ke Akaun Anda

Saya rasa ini adalah masa yang paling sesuai untuk memberikan sedikit ulasan tentang situasi Tabung Haji (TH), selepas kehangatan dan kemarahan telah reda sedikit dan kebanyakan maklumat telah diperolehi.

Pertama sekali kita tidak dapat nafikan memang ada masalah kerana jika tiada masalah tidak mungkin Bank Negara (BNM) menulis kepada TH.

Berasaskan surat yang ditulis oleh Bank Negara, masalah TH ialah kekurangan rizab. Persoalannya ialah bagaimana rizab boleh berkurangan?  Saya jelaskan sedikit secara ringkas dengan cara paling mudah.

Rizab diperolehi apabila syarikat mencatatkan untung. Kemudian rizab ini akan keluar apabila TH membayar pendeposit. Jadi untuk mengumpulkan rizab, TH perlu mengekalkan sedikit untung dan tidak membayar kesemuanya kepada pendeposit.

Masalah TH, seperti yang diterangkan oleh BNM, dan juga berasaskan penelitian saya terhadap akaun TH ada dua:
  1. Bayaran bonus lebih daripada untung yang dicatatkan pada 2012-2014
  2. Untung yang berkurangan akibat penurunan nilai saham yang dilaburkan
Faktor kedua dialami oleh semua institusi dan pelabur. Perkara ini agak mustahil dielakkan kerana pegangan besar TH dalam syarikat-syarikat yang dilaburkan.

Jadi kita kembali kepada masalah pertama. Akibat masalah kedua, tindakan membayar bonus berlebihan ini telah membelenggu TH pada tahun kewangan 2015.

Mulai tahun 2011, TH telah membayar bonus pada paras 6% atau lebih. Ini lebih daripada bayaran standard antara 4.0 - 5.5% pada tahun-tahun sebelumnya. 

Manakala pembayaran bonus lebih daripada untung pula bermula sejak 2012. Selain itu TH memperkenalkan satu lagi kategori bonus yang dinamakan bonus haji yang diberikan kepada pendeposit yang belum lagi menunaikan haji untuk simpanan RM10,000 yang pertama.

Andaikan pihak pengurusan TH mengambil pendekatan lebih konservatif dan membayar bonus hanya 5% setahun anda 2011 - 2014 seperti tahun-tahun sebelumnya.  Apa yang akan berlaku ialah TH akan dapat mengekalkan sejumlah wang yang agak besar sebagai rizab. Masalah kekurangan rizab ini tidak akan berlaku.

Dalam senario ini, TH bukan sahaja dapat menampung penurunan nilai saham yang dilaburkannya untuk tempoh 2015-2016, malah mereka mungkin boleh membayar bonus lebih tinggi sedikit pada tahun ini.

Andaikan saya seorang penabung di TH (memang pun saya penabung). Jika saya ada simpanan lebih kurang RM100,000 dan TH mengambil pendekatan konservatif membayar bonus hanya 5% dari 2011 - 2014,  jumlah tabungan saya adalah lebih rendah sebanyak antara RM5,000 - hingga RM6,000.

Walaupun kita marah dengan TH, kita perlu sedar bahawa jika mereka mengambil jalan konservatif untuk membina rizab pada tahun-tahun lepas, maka jumlah yang kita terima adalah lebih rendah.

Apakah penyelesaiannya?  Kita mungkin perlu terima dividen lebih rendah untuk TK 2015 dan 2016 sehingga nilai saham kembali pulih.

Adakah wang kita dalam bahaya? Tidak kerana jaminan kerajaan. Risiko besar timbul hanya jika ada 'run' ke atas deposit, iaitu pengeluaran besar-besaran akibat panik tetapi dalam keadaan itu pun situasi paling teruk ialah kelengahan sedikit mendapatkan wang kembali.

Ramai yang marah dan bertanya bagaimana ketirisan rizab boleh berlaku. Sebenarnya rizab tersebut telah ada di tangan anda. TH mengalami masalah kerana membayar dividen terlalu tinggi dan mahu menggembirakan para pendepositnya.

Harap kemarahan (memang wajar) dapat ditampung sedikit apabila kita sedar rizab tersebut sebenarnya ada dalam akaun kita.