22 Februari, 2016

Pulangan Dana Unit Amanah Berbanding KWSP

Baru-baru ini wujud sedikit kontroversi tentang prestasi dana unit amanah berbanding pulangan KWSP yang mengumumkan dividen 6.40%.

Perdebatan timbul kerana dalam keadaan pasaran semasa, tidak banyak dana yang berjaya mengatasi pulangan KWSP, sama ada untuk satu tahun mahupun lima tahun. 

Perkara ini telah dipaparkan oleh Tuan Afyan Mat Rawi dan juga dikupas dari sudut lain oleh Tuan Suzardi Maulan (Pakdi) menerusi posting di Facebook.

Hakikat ini mungkin sukar diterima oleh mereka yang terlibat dalam industri dan mungkin ada yang marah dan berkata macam-macam tetapi mereka tidak sedar ada sebab mengapa dua tokoh kewangan terkenal tersebut menimbulkan isu ini.

Perkara yang ingin diketengahkan ialah dakwaan sesetengah ejen unit amanah dengan nada yang hampir pasti bahawa pelaburan dalam unit amanah yang mereka jual boleh menjana pulangan 12 - 20%.

Saya pun pernah melihat iklan-iklan seperti ini, terutamanya pada zaman kenaikan saham dan unit amanah. Sebenarnya dalam keadaan pasaran yang kurang baik, banyak dana akan menghadapi masalah mengatasi pulangan KWSP, Tabung Haji dan sebagainya.

Malah dalam keadaan kegawatan ekonomi serius, pulangan dana mungkin buat sementara waktu bukan sahaja tewas kepada deposit di bank, tetapi mengalami pulangan negatif. Ini telah berlaku untuk satu dua tahun semasa krisis subprima pada 2008 dan 2009.

Tetapi dalam keadaan pasaran yang sedang meningkat, lebih banyak dana akan mengatasi pulangan KWSP, Tabung Haji dan Bank. Sebagai contoh, jika anda mengambil prestasi dana antara 2012 hingga pertengahan 2015, didapati lebih banyak dana yang mencatatkan prestasi lebih baik daripada KWSP.

Prestasi pulangan dana secara keseluruhan adalah dinamik bukannya statik. Mungkin pada masa ini, prestasi kurang menyerlah tetapi apabila pasaran saham kembali pulih, prestasi untuk seluruh spektrum tempoh masa akan kembali meningkat.

Perkara paling penting yang perlu diingat ialah banyak faktor yang mempengaruhi pulangan dana, dan kejayaan meraih pulangan 12% terkompaun tahunan untuk jangka panjang adalah sukar dan  hanya segelintir dana yang dapat melakukannya untuk tempoh 5 - 10 tahun.

Pendek kata, apa yang hendak ditekankan ialah ejen unit amanah perlu menggunakan cara yang jujur dan beretika dalam mempromosi unit amanah masing-masing dengan menyatakan secara terus-terang bahawa pelabur mungkin mengalami kerugian, mungkin mengalami pulangan lebih rendah daripada KWSP dan mungkin mengalami pulangan lebih tinggi daripada KWSP, tetapi semuanya bergantung kepada prestasi pengurus dana yang mereka pilih.

Mungkin pada posting seterusnya saya akan menerangkan tentang pelbagai faktor yang mempengaruhi pulangan unit amanah bagi seorang pelabur.

Nota:
1.  Daripada pemerhatian selama ini dan perbahasan baru-baru ini di media sosial, saya lihat ada perunding/ejen unit amanah kurang mendalam ilmunya, sehingga mengira pulangan pun tak berapa pandai. Perkara yang perlu dikira ialah annualised return atau compounded return bukannya average return.

2.  Sebenarnya ada cara untuk menerangkan isu ini kepada pelanggan. Seperti yang saya terangkan di atas bahawa prestasi memang akan terjejas semasa pasaran saham rendah tetapi apabila pasaran saham pulih, lebih banyak dana akan mengatasi pulangan KWSP.  Tetapi jika anda sudah menarik pelanggan dengan janji 12% atau lebih, maka tiada siapa yang boleh menolong anda.

3.  Perbandingan yang dibuat oleh Tuan Afyan belum lagi mengambil kira faktor kos jualan, yang agak mahal di Malaysia, iaitu 3% untuk pelaburan KWSP dan 5% untuk pelaburan biasa. (Cara paling murah ialah pembelian online, yang kosnya kurang daripada 2%). Jika diambil kira faktor ini, bilangan dana yang mengatasi KWSP buat masa ini mungkin lebih rendah lagi.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

3 ulasan:

saifudin nasib berkata...

artikel yang baik.. =)

Tanpa Nama berkata...

Beli di fundsupermart kos rendah, kira2 2%. Malah kalau ada promosi boleh lbh murah lagi

Unknown berkata...

Memang betul. Saya baru beli satu dana untuk isteri saya hari ini dan kosnya ialah 1% sahaja menerusi Fundsupermart.