09 Februari, 2016

Memahami Penyata Kewangan Amat Penting Untuk Pelaburan & Kewangan Peribadi

Sedikit kefahaman tentang perakaunan boleh membawa manfaat dalam pelbagai bidang, termasuk apabila membuat penilaian pelaburan dan juga menyusun kewangan peribadi anda.

Malah kefahaman tentang perakaunan juga boleh mengelakkan anda daripada terpedaya oleh pelbagai skim pseudo-pelaburan yang wujud, terutamanya di FB dan juga mengelakkan kekeliruan dengan info dari pelbagai pakar kewangan peribadi yang kini muncul memberi nasihat dalam media sosial.

Selain itu, anda juga boleh mengkaji di peringkat asas kedudukan kewangan entiti di mana anda menabung wang, contohnya Tabung Haji (TH). Ini membolehkan anda menilai sendiri keadaan sebenar dan bukan menerima sahaja pandangan pakar FB dan ahli politik dari kedua-dua belah.

Anda tidak perlu mengetahui secara terperinci tetapi cukup untuk memahami penyata dan juga persamaan asas. Persamaan asas perakaunan adalah seperti berikut:

Aset = Ekuiti (Modal/Nilai Aset Bersih) + Liabiliti. Tetapi apabila kita mengolah semula kita dapat:

Aset - Liabiliti = Nilai Aset Bersih

Ada tiga laporan utama dalam sesebuah penyata kewangan syarikat.
  1. Penyata Untung Rugi - mengukur tahap keuntungan atau kerugian sesebuah syarikat.
  2. Lembaran Imbangan - mencatatkan semua aset dan liabiliti sesebuah syarikat, dan bakinya (aset - liabiliti) merupakan nilai aset bersih atau dengan kata lain, nilai buku syarikat.
  3. Penyata Aliran Tunai - Mengukur operasi syarikat dalam bentuk tunai dan bukannya dari segi akruan seperti dalam penyata untung rugi.
Manakala bagi individu hanya perlu dua penyata iaitu:
  1. Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan (Penyata Untung Rugi)
  2. Penyata Aset dan Liabiliti (Lembaran Imbangan).
(Kita tidak perlu penyata aliran tunai kerana penyata pendapatan dan perbelanjaan kita sudah sediakan dalam bentuk tunai dan bukannya akruan)

Pada asasnya,
  1. Bagi Syarikat: Aset - Liabiliti = Nilai Aset Bersih
  2. Bagi Unit Amanah: Aset - Liabiliti = Nilai Aset Bersih
  3. Bagi Tabung Haji: Aset - Liabiliti = Rizab
  4. Bagi Individu:  Aset - Liabiliti = Nilai Bersih (Net Worth)
Bagi syarikat, apabila Nilai Aset Bersih dibahagikan dengan jumlah saham dalam edaran, apa yang kita perolehi ialah Nilai Aset Bersih Sesaham.

Bagi unit amanah, apabila Nilai Aset Bersih dibahagikan dengan jumlah unit dalam edaran, apa yang kita perolehi ialah Nilai Aset Bersih Seunit, yang merupakan harga unit amanah tersebut.

Ini adalah persamaan paling asas dalam perakaunan.  Apabila anda melihat penyata kewangan syarikat sebenar, anda akan mendapati item lain yang perlu ditolak selain daripada liabiliti seperti non-controlling interest (iaitu pemegang saham minoriti anak syarikat).

Dengan memahami persamaan asas di atas walaupun anda tidak faham item yang lebih teknikal, anda sekurang-kurangnya dapat memahami bagaimana untung/lebihan boleh meningkatkan nilai aset bersih / nilai bersih peribadi anda.

Apabila sesebuah syarikat mencatatkan untung, nilai untung ini akan meningkatkan nilai aset bersih syarikat. Perkara sebaliknya berlaku apabila rugi. Sementara itu, apabila dividen dibayar, nilai dividen akan mengurangkan nilai aset bersih syarikat.

Sebagai individu pula apabila pendapatan anda melebihi perbelanjaan, anda akan mencatatkan lebihan dalam akaun peribadi anda, dan ini pula akan meningkatkan nilai bersih anda. 

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: