01 Februari, 2016

Ke Mana Rizab TH? Sudah Masuk Ke Akaun Anda

Saya rasa ini adalah masa yang paling sesuai untuk memberikan sedikit ulasan tentang situasi Tabung Haji (TH), selepas kehangatan dan kemarahan telah reda sedikit dan kebanyakan maklumat telah diperolehi.

Pertama sekali kita tidak dapat nafikan memang ada masalah kerana jika tiada masalah tidak mungkin Bank Negara (BNM) menulis kepada TH.

Berasaskan surat yang ditulis oleh Bank Negara, masalah TH ialah kekurangan rizab. Persoalannya ialah bagaimana rizab boleh berkurangan?  Saya jelaskan sedikit secara ringkas dengan cara paling mudah.

Rizab diperolehi apabila syarikat mencatatkan untung. Kemudian rizab ini akan keluar apabila TH membayar pendeposit. Jadi untuk mengumpulkan rizab, TH perlu mengekalkan sedikit untung dan tidak membayar kesemuanya kepada pendeposit.

Masalah TH, seperti yang diterangkan oleh BNM, dan juga berasaskan penelitian saya terhadap akaun TH ada dua:
  1. Bayaran bonus lebih daripada untung yang dicatatkan pada 2012-2014
  2. Untung yang berkurangan akibat penurunan nilai saham yang dilaburkan
Faktor kedua dialami oleh semua institusi dan pelabur. Perkara ini agak mustahil dielakkan kerana pegangan besar TH dalam syarikat-syarikat yang dilaburkan.

Jadi kita kembali kepada masalah pertama. Akibat masalah kedua, tindakan membayar bonus berlebihan ini telah membelenggu TH pada tahun kewangan 2015.

Mulai tahun 2011, TH telah membayar bonus pada paras 6% atau lebih. Ini lebih daripada bayaran standard antara 4.0 - 5.5% pada tahun-tahun sebelumnya. 

Manakala pembayaran bonus lebih daripada untung pula bermula sejak 2012. Selain itu TH memperkenalkan satu lagi kategori bonus yang dinamakan bonus haji yang diberikan kepada pendeposit yang belum lagi menunaikan haji untuk simpanan RM10,000 yang pertama.

Andaikan pihak pengurusan TH mengambil pendekatan lebih konservatif dan membayar bonus hanya 5% setahun anda 2011 - 2014 seperti tahun-tahun sebelumnya.  Apa yang akan berlaku ialah TH akan dapat mengekalkan sejumlah wang yang agak besar sebagai rizab. Masalah kekurangan rizab ini tidak akan berlaku.

Dalam senario ini, TH bukan sahaja dapat menampung penurunan nilai saham yang dilaburkannya untuk tempoh 2015-2016, malah mereka mungkin boleh membayar bonus lebih tinggi sedikit pada tahun ini.

Andaikan saya seorang penabung di TH (memang pun saya penabung). Jika saya ada simpanan lebih kurang RM100,000 dan TH mengambil pendekatan konservatif membayar bonus hanya 5% dari 2011 - 2014,  jumlah tabungan saya adalah lebih rendah sebanyak antara RM5,000 - hingga RM6,000.

Walaupun kita marah dengan TH, kita perlu sedar bahawa jika mereka mengambil jalan konservatif untuk membina rizab pada tahun-tahun lepas, maka jumlah yang kita terima adalah lebih rendah.

Apakah penyelesaiannya?  Kita mungkin perlu terima dividen lebih rendah untuk TK 2015 dan 2016 sehingga nilai saham kembali pulih.

Adakah wang kita dalam bahaya? Tidak kerana jaminan kerajaan. Risiko besar timbul hanya jika ada 'run' ke atas deposit, iaitu pengeluaran besar-besaran akibat panik tetapi dalam keadaan itu pun situasi paling teruk ialah kelengahan sedikit mendapatkan wang kembali.

Ramai yang marah dan bertanya bagaimana ketirisan rizab boleh berlaku. Sebenarnya rizab tersebut telah ada di tangan anda. TH mengalami masalah kerana membayar dividen terlalu tinggi dan mahu menggembirakan para pendepositnya.

Harap kemarahan (memang wajar) dapat ditampung sedikit apabila kita sedar rizab tersebut sebenarnya ada dalam akaun kita.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

Tiada ulasan: