18 Julai, 2011

Prestasi 30 IPO Terbaru

15 saham baru mengatasi harga penyenaraian

Nampaknya terbitan saham baru agak aktif sejak kebelakangan ini.  Kita cuba lihat prestasi 30 IPO yang disenaraikan dalam tempoh setahun lepas dan menilai syarikat mana yang mencatatkan prestasi yang baik berasaskan harga pada penutup 15/7/2011.


Dipetik daripada Bursastation

Beberapa syarikat dengan peratus kenaikan tertinggi termasuk Forest Lumber, Malaysia Marine and Heavy Engineering, Careplus Group Berhad, Boilermech, Berjaya Food dan MSM.

Sementara itu, beberapa 'nama dikenali' yang mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan ialah UOA Development, Focus Point dan Mclean Technologies.  Manakala Eversendai pula diperdagang pada harga penyenaraian.

Dari tahun lepas, sehingga sekarang, pasaran berada sekitar paras tertinggi dalam sejarah, tetapi hampir 50% IPO tidak berjaya mengatasi harga penyenaraiannya.
Lazimnya IPO yang berjaya ialah syarikat yang mantap, bukan sahaja pada nama, tetapi juga pada prestasi awal selepas penyenaraian.

Pembelian saham IPO ini ada risikonya juga kerana belum ada rekod pencapaian sebagai syarikat tersenarai.  Tiada jaminan IPO akan naik, tetapi yang naik berpotensi naik sehingga dua kali ganda.

Bagi saya prospektus adalah tidak berguna untuk membuat penilaian.  Lihat sahaja Mclean yang mencatatkan kerugian selepas disenaraikan. 

Justeru anda perlu mendapatkan maklumat kualitatif dan juga pandangan daripada firma broker/penganalisis bebas yang biasanya memberikan pendapat mereka menerusi media.


14 Julai, 2011

Dana Yang Disyorkan Fundsupermart

Kenanga Syariah Growth dan Prudential Dana Al-Ilham Cemerlang

Setiap tahun, Fundsupermart.com, sebuah laman web yang menawarkan dana unit amanah dalam talian, menerbitkan dana pilihan yang disyorkan untuk tahun 2011/2012.

Cadangan dibuat berasaskan prestasi keseluruhan dalam jangka pendek dan jangka panjang dan kali ini, Dana Kenanga Syariah Growth dan Prudential Dana Al--Ilham menjadi pilihan dalam kategori Syariah.

Kenanga Syariah Growth

Kenanga Syariah Growth ialah dana ekuiti agresif untuk pelabur yang melabur dalam jangka pertengahan hingga panjang yang mempunyai toleransi risiko yang tinggi.

Prestasinya amat cemerlang, terutamanya untuk tempoh lima tahun, dengan pulangan terkompaun 18.4%, antara yang terbaik yang pernah saya lihat.  Keputusan ini lebih mengagumkan kerana dalam tempoh 5 tahun tersebut, kita telah melalui kemelesetan agak besar pada tahun 2008/2009.

Berikut adalah prestasinya dari segi pulangan terkompaun dan juga pulangan kumulatif, selepas mengambil kira kos urus niaga dan juga dividen.



Prudential Dana Al-Ilham

Prudential Dana Al-Ilham ialah sebuah dana ekuiti agresif untuk pelabur yang sanggup menanggung risiko tinggi dan melabur untuk jangka sederhana hingga panjang.

Dana ini mencatatkan prestasi yang cemerlang untuk jangka pendek dan juga panjang.  Berikut adalah prestasinya dari segi pulangan terkompaun dan juga pulangan kumulatif, selepas mengambil kira kos urus niaga dan juga dividen.


Keputusan dana unit amanah yang cemerlang menekankan pandangan saya bahawa jika anda membeli unit amanah yang mantap, anda harus terus memegangnya.

Ada sesetengah pelabur dan juga ejen yang menggalakkan pelabur untuk beli dan jual dengan kerap dan mencuba time the market.

Saya kurang setuju dengan kaedah tersebut kerana adalah amat sukar untuk menentukan bila masa terbaik untuk beli dan jual. Selain itu, setiap urusan jual beli juga melibatkan kos urus niaga.

Sebagai sebahagian daripada promosi, dana yang disyorkan oleh Fundsupermat ditawarkan pada caj jualan terdiskaun 1% sehingga 12 Ogos, 2011.

Nota: Prestasi cemerlang masa lepas tidak menjamin prestasi yang baik pada masa depan.

12 Julai, 2011

Lebih Baik Elak Daripada Mengkritik

Tidak efektif jika pihak lain rasa tercabar dan tersinggung

Dulu semasa saya mengikuti kursus MBA, dalam setiap kelas pelajar perlu membuat pembentangan dari masa ke masa.  Selepas pembentangan, pelajar lain diminta mengemukakan soalan dan mengajukan kritikan.

Pada peringkat awal, saya sering tunjuk pandai dan mengajukan beberapa soalan tajam dan memaparkan kesilapan yang dibuat oleh penyampai.  Namun begitu, saya dapati ini kurang disenangi, lebih-lebih lagi kerana yang terpaksa menjawab kawan sendiri.

Malah pengalaman dalam beberapa situasi lain, semasa bekerja dan juga berasaskan pemerhatian, saya dapati kritikan, terutamanya yang dibuat di khalayak ramai, walaupun tepat, adalah membuang masa dan menimbulkan kemarahan sahaja.

Ini kerana anda akan membuatkan pihak yang dikritik  bersifat 'defensive' dan mereka enggan menerima pandangan anda walaupun anda betul.

Cuba fikirkan, apa faedah yang anda dapat daripada kritikan tersebut, melainkan memulakan perbalahan yang tiada penghujungnya. Masing-masing akan mempertahankan kedudukan mereka.

Begitu juga kemelut politik yang dilihat sekarang, bagi sebahagian besar daripada orang, apa yang dilakukan oleh pihak yang lagi satu adalah salah.  Buang masa mengkritik satu sama lain. 

Pada pendapat saya lebih baik luangkan masa mencari kebaikan orang lain. Bukan sahaja ini akan membolehkan anda mendapat lebih ramai kenalan, sebaliknya mereka ini mungkin sanggup mendengar pandangan anda apabila anda perlu memberikan maklum balas kepada mereka.

Mengelakkan diri daripada mengkritik ialah sesuatu yang sukar dilakukan. Ini adalah satu cabaran besar bagi diri saya dan saya pasti juga bagi ramai di kalangan anda.

Tetapi persoalannya apalah gunanya kita betul dan menunjukkan yang kita betul sedangkan kita membuatkan orang marah kepada kita.

Masapaling sesuai untuk mengkritik apabila orang lain meminta maklum balas jujur daripada kita.  Kalau pandangan kita tidak diminta, lebih baik diam sahaja...:)

07 Julai, 2011

Kenapa Tak Masukkan FCPO dan FKLI?

Kerana saya bukan pakar derivatif dan tidak berminat menceburinya

Seorang pembaca bertanya kenapa saya tidak memasukkan FCPO dan FKLI dalam e-book Panduan Asas Saham.  Sebenarnya pembaca blog juga akan mendapati saya tidak menulis tentang derivatif dalam blog saya kecuali jika untuk menjelaskan cirinya sahaja, bukan untuk menerangkan cara buat duit dengannya.

Berikut adalah sebab lain saya tidak menulis tentang FCPO dan FKLI.

Walaupun saya bukan pakar, saya pernah mempelajarinya di bawah seorang Prof tersohor di UIA yang memang dianggap autoriti dalam bidang ini.  Namun begitu prinsip saya ialah labur dalam sesuatu yang hanya mempunyai nilai ekonomi (economic value added).

Pertama sekali derviatif seperti FCPO dan FKLI ialah zero sum transaction di mana jika anda untung, bukan sebabkan ada nilai tambahan yang dihasilkan dalam ekonomi, sebaliknya anda untung sebab ada orang lain yang rugi.

Sebaliknya jika anda membeli saham, walaupun anda pegang untuk satu hari, syarikat yang dimiliki mempunyai operasi dan ada nilai yang dibawa kepada ekonomi kerana syarikat membayar gaji, menghasilkan produk dan menjual produk dan sebagainya.

Perlu diingat ialah walaupun FCPO asasnya merupakan niaga hadapan minyak sawit, yang merupakan komoditi sebenar, hampir semua urus niaga dan dagangan bukan bertujuan untuk 'take delivery' produk yang diperdagangkan.

Bagi saya dagangan hadapan hanya mempunyai komponen value added jika anda melakukan urus niaga lindung nilai (hedging) atau anda benar-benar mahu 'take delivery' produk minyak sawit tersebut.

Sementara itu, FKLI pula tidak patuh syariah kerana ada saham dalam Indes Komposit Kuala Lumpur yang tidak patuh syariah.  Justeru, kalau pun saya berminat, saya tidak boleh terlibat dalam urus niaga FKLI.

Kesimpulannya, keputusan saya untuk melibatkan diri atau menimba kepakaran dalam sesuatu bidang bergantung kepada sama ada ia 1) patuh syariah 2)  mempunyai nilai ekonomi 3) saya berminat dalam bidang tersebut; dan bukan setakat sama ada boleh buat duit atau tidak.

Perhatian: Ini hanyalah pandangan peribadi. Mereka yang berminat dan tidak sependapat dengan saya mengenai dua instrumen derivatif ini boleh menimba ilmu dan membaca pelbagai buku dan blog tentang kedua-dua instrumen tersebut.

03 Julai, 2011

Cara Terbaik Jadi Jutawan Ialah Tambah Pendapatan

Cari jalan tingkatkan aliran wang, bukan terlalu obses rancang kewangan

Terdapat banyak buku tentang perancangan kewangan dan banyak nasihat yang diberikan tentangnya. Malah buku saya, Panduan Bijak Melabur, juga dimulakan dengan topik perancangan kewangan.

Tetapi kita perlu ingat bahawa perancangan hanya berkesan jika ada wang untuk dirancang. Seorang berpendapatan RM20,000 sebulan yang boros dan tidak pandai merancang kewangannya kemungkinan besar masih jauh lebih kaya daripada seorang berpendapatan RM2,000 yang bijak menabung dan melabur.

Inilah hakikatnya dalam usaha kita dalam usaha mencapai kebebasan kewangan.  Perkara paling penting ialah tahap pendapatan anda.

Jadi masa anda hendaklah ditumpukan ke arah ini. Sebagai contoh jika anda seorang pekerja yang makan gaji, tumpuan anda adalah:

1.  Cara untuk memanjat tangga kerjaya dalam syarikat.
2.  Meneroka peluang lain yang ada dengan syarikat lain.
3.  Meningkatkan kemahiran supaya berpeluang naik gaji
4.  Mempelajari kemahiran baru supaya lebih dihargai

Jika dilihat senarai di atas, saya menyebut kemahiran atau skills bukannya kelayakan kertas seperti Masters atau PhD (melainkan kerjaya anda dalam bidang akademik).

Ini kerana pada pandangan saya kemahiran khusus sekarang jauh lebih dihargai daripada apa-apa ijazah tambahan yang mungkin anda perolehi.

Jika anda usahawan. Antara perkara yang patut ditumpukan termasuk:

1.  Meningkatkan keuntungan syarikat
2.  Mencari sumber hasil baru
3.  Mengembangkan perniagaan ke bidang berkaitan
4.  Memperbaiki pemasaran untuk menambahkan hasil

Sudah tentulah perancangan kewangan boleh membantu.  Dengan perancangan anda boleh membina kewangan secara beransur-ansur sehingga anda dapat hidup selesa.

Tetapi jika anda mahu mencapai kebebasan kewangan dan bermain di liga teratas, anda perlu menambah pendapatan supaya ada lebih banyak wang untuk dirancang.

Selain itu jika pendapatan meningkat, kita boleh bayar lebih zakat.  Luangkan masa untuk merancang kewangan tetapi fokus utama anda seharusnya terhadap usaha mencari jalan menambah pendapatan.