25 Julai, 2016

Mengapa Agihan/Dividen Unit Amanah Tak Begitu Relevan?

Ada seorang pembaca hairan dan bertanya bagaimana dana beliau memberikan Income Distribution (Agihan Pendapatan) 9% sedangkan portfolionya masih mencatatkan kerugian? Mengapa agihan tersebut tidak seperti ASB?

Sebenarnya agihan tersebut tidak memberikan sebarang untung tambahan kepada pelabur dan bukan seperti ASB.  

Katakan sebelum agihan harga unit ialah RM1.09. Selepas agihan sembilan sen, harga unit akan jatuh kembali kepada RM1.00. 

Agihan yang diterima biasanya dilaburkan semula untuk mendapatkan unit tambahan. Unit bertambah tetapi harga unit berkurangan. 

So net effect atau kesan bersihnya hampir sama sahaja sama ada ada agihan atau tiada agihan. 

Bagi ASB, harganya tetap, sebarang agihan tidak mengurangkan nilai unit. Tetapi nilai unit ASB juga tidak boleh naik seperti kenaikan dana unit amanah.

Persoalannya, bagaimana dana unit amanah boleh buat agihan pendapatan sedangkan anda rugi?

Apabila unit amanah mencatatkan untung pelaburan, nilainya serta-merta dipaparkan dalam kenaikan nilai aset bersih (NAV) seunit. 

Mungkin semasa anda membeli unit amanah, NAV sudah pun naik sedangkan selepas anda beli nilai aset bersihnya tidak naik lagi atau turun sedikit.

Secara keseluruhan pada tahun tersebut, dana unit amanah tersebut untung, tetapi anda pula rugi sedikit kerana membeli pada harga yang tinggi.

Sebab itulah mereka boleh buat agihan keuntungan tetapi anda masih rugi.  Bagaimanapun untuk tahun seterusnya jika anda terus pegang, masalah perbezaan ini tidak berlaku lagi.  

Prestasi untuk tahun seterusnya bagi anda adalah sama dengan prestasi yang ditunjukkan oleh unit amanah untuk tahun tersebut.

Secara kesimpulannya, pembayaran agihan tidak akan memberikan apa-apa habuan tambahan seperti dalam ASB.  Keuntungan sebenar diperolehi daripada kenaikan NAV dana.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. 

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

1 ulasan:

Insan Biasa berkata...

Dividen akan relevan bila buat reinvestment, boleh jenguk2 tulisan saya yang novis ini di sini, semoga ada manfaat.. http://inifikrahku.blogspot.my/2013/05/dividen-itu-untung.html