22 Mac, 2016

Manfaat dan Risiko Pelaburan Tertumpu

Saya pernah menyebut tentang Bill Ackman yang dananya,Pershing Square Holdings, mengalami kerugian besar sejak setahun setengah lepas.

Strategi yang beliau gunakan ialah pelaburan tertumpu (concentrated portfolio). Walaupun dananya amat besar, beliau hanya memegang kurang daripada 15 saham. Kaedah pelaburan tertumpu turut diamalkan oleh Buffett dan juga Philip Fisher.

Kaedah yang berbeza daripada pelaburan tertumpu ialah pelaburan terpelbagai (diversified portfolio). Menggunakan kaedah ini, pelabur atau pengurus dana memilih lebih banyak saham dalam portfolio dan mengehadkan pegangan satu saham mungkin kepada tidak lebih 5% daripada portfolio.

Manfaat daripada pelaburan tertumpu ialah jika anda betul, anda akan mencatatkan keuntungan besar. Di samping itu, anda tidak perlu menganalisis terlalu banyak saham.

Tetapi jika tersalah pilih, anda mungkin mengalami kerugian besar yang menjejaskan prestasi dengan ketara dan menggugat dana yang anda uruskan.

Di Amerika Syarikat, satu saham 'hebat' pegangan Bill Ackman yang kini mengalami masalah ialah Valeant Pharmaceuticals.  Saham syarikat tersebut telah merosot hampir 90% disebabkan oleh amalan kurang beretika melibatkan salah satu syarikat pegangannya dan tindakan menaikkan harga ubat dengan ketara yang kini mendapat perhatian pihak berkuasa.

Yahoo Finance

Saham Valeant telah jatuh dari paras tertinggi $262 kepada lebih kurang $30 pada masa saya menulis artikel. Valeant ialah pegangan kedua terbesar Bill Ackman dan pegangan terbesar Sequoia Fund, satu lagi dana terkenal.

Sequoia Fund salah satu dana yang diasaskan oleh rakan Warren Buffett dan disebut dalam ceramah terkenal beliau bertajuk Superinvestors of Graham and Doddsville.

Pegangan Sequoia dalam Valeant telah mengembang ke tahap hampir 30% dan menurut para pengurus dananya, kes Valeant ini telah menjejaskan rekod pulangannya untuk tempoh sehingga 10 tahun lepas dan menggugat kredibiliti cemerlang mereka sebagai pelabur.

Sementara itu, dana tersenarai Bill Ackman, iaitu Pershing Square Holdings, pula telah kehilangan hampir separuh daripada nilainya sejak ia menjadi sebuah dana tersenarai awam.

Rekod pelaburan lepas Bill Ackman dan Sequoia Fund menunjukkan bahawa kaedah pelaburan tertumpu boleh membawa manfaat jelas apabila semuanya berjalan lancar, tetapi jika ada masalah besar dengan salah satu saham, terutamanya saham utama, rekod prestasi dan juga reputasi pengurus dana mungkin tercalar.

Bagaimana pula dengan pelaburan kita? Jika dua pengurus dana terkemuka pun boleh diperdayakan oleh pihak pengurusan syarikat, apa peluang kita sebagai pelabur saham kecil?

Bagaimana pula jika anda melabur dalam dana unit amanah?  Bukankah pelaburan dalam dana unit amanah bermakna pelaburan yang sudah dipelbagaikan?  Kes di atas menunjukkan bahawa pelaburan dalam hanya satu dana berpotensi menimbulkan rugi besar akibat kesilapan pengurus dana.

Walaupun pada mulanya kita hanya mampu melabur dalam satu dana, apabila pelaburan kita bertambah mungkin kita boleh mempertimbangkan untuk melabur dalam dana lain untuk mempelbagaikan pelaburan bagi mengelakkan kesilapan besar pengurus dana.

Pelaburan tertumpu, jika dilakukan dengan bijak dan tanpa kesilapan nyata, boleh menghasilkan pulangan yang lumayan, tetapi risiko yang wujud sekiranya berlaku sebarang masalah adalah lebih besar.

Bacaan Tambahan Tentang Valeant: What Caused Valeant's Epic 90% Plunge?

Nota: Buku saya Petua Pelabur Tersohor membincangkan kaedah pelaburan beberapa pelabur terkenal. Ada yang menggunakan pelaburan tertumpu dan ada yang menggunakan kaedah pelaburan terpelbagai. Ini bermakna kejayaan boleh dicapai dengan kedua-dua cara.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Apa pendapat en Razali tentang FGV sekarang?

Tanpa Nama berkata...

melingkup ahhahahaah just kidding!!. FGV untuk short term play mungkin boleh mengambil kesempatan(take advantage) mengenai speculation harga CPO yg agak volatile buat masa ini yg terkesan dengan cuaca panas (el nino). Pengurangan hasil dari Palm oil tree mungkin boleh memberi sedikit boost pada harga CPO dan seterusnya harga saham FGV. Akan tetapi, risiko agak tinggi kerana FGV mempunyai management dan fundamental yg agak lemah pada saya.

Seterusnya lebih baik kita pergi kepada syarikat yg lebih kukuh fundamentalnya seperti KFIMA.
KFIMA pada saya adalah syarikat yg mempunyai kedudukan kewangan yg mantap, positive cash flow, Strong balance sheet dan juga mempunyai asset yg berkualiti. KFIMA juga menjalankan aktiviti perniaagan secara diversified iaitu manufacturing(mencetak confidential documents), bulking(pengstoran dan pengurusan cecair), plantation(nenas dan sawit), dan Food(sardin). Syarikat ini juga menbayar dividen dgn konsisten yg mana pada harga saham sekarang(RM1.84) dividend yield adalah 4.6%p.a.. Dgn kedudukan kewangan yg stabil pada masa ini adalah tidak mustahil untuk syarikat menerbitkan bonus issue atau menaikkan kadar dividend.

Pada pendapat saya adalah wajar jika kita mengambil kesempatan memiliki sebahagin saham ini yang mungkin juga akan terkesan sedikit dari spekulasi harga CPO dgn fundamental dan management yg reliable. tetapi adalah lebih berbaloi jika saham ini dipegang untunk jangka masa panjang.(3 - 10 years)

Sekadar perkongsian.
Selamat melabur (bukan berak)

Tanpa Nama berkata...

Salam Tn Razali,

saya ada menemui satu laman percuma http://www.isaham.my/ yane mempunyai content yang agak menarik kerana mereka telah membuat valuation secara DCF(discounted cash flow). Tetapi saya tidak pasti bagaimana mereka mendapatkan value ini(discount rate yang digunakan).

Saya ingin dapatkan pendapat tuan, adakah content di dlm laman web ini boleh dikatakan reliable?

ty

Unknown berkata...

Salam...Mengenai FGV. CEO yang sebelum ini mungkin terlalu tertumpu kepada usaha meluaskan empayar daripada mengukuhkan operasi. Diharapkan CEO yang baru ini mengambil pendekatan yang berbeza sedikit. Walau apa pun, dalam situasi pemulihan harga CPO, saya berpendapat saham FGV berpotensi meningkat dengan ketara kerana skalanya. Apa pun, kita tunggu dan lihat tindakan CEO baru ini, sama ada beliau boleh menambah baik operasi dan memperbaiki persepsi terhadap saham

Unknown berkata...

Wasalam. Mengenai isaham. Masalahnya sukar untuk mengetahui siapa di sebalik isaham. Tiada maklumat diberikan. Data daham nampak macam reliable. Apa yang boleh kita lakukan ialah mengambilnya sebagai salah satu daripada sumber tetapi tidak bergantung kepadanya semata-mata.