30 Mac, 2015

Beli Rumah atau Labur Saham Dulu?

Saya masih belum mempunyai aset. Saya ingin tanya nasihat tuan adakah saya patut tumpukan untuk beli aset rumah dahulu atau melabur dalam pasaran?

Jawapan yang saya berikan hanyalah pandangan peribadi. 

Langkah pertama ialah membina simpanan kecemasan antara 3 - 6 bulan gaji terlebih dahulu. Selepas itu, fokus pertama anda seharusnya menabung untuk membeli rumah. Bagi saya rumah sendiri adalah sesuatu yang sangat penting, lebih penting daripada kereta atau aset lain. Ia merupakan satu keperluan asas manusia. 




Malah pelabur saham terkenal Peter Lynch pun berkata anda patut beli rumah dahulu. Bila anda membeli boleh disesuaikan mengikut keadaan pasaran, tetapi usaha membina tabungan untuk membayar wang pendahuluan harus dimulakan dan disempurnakan.

Selepas membeli rumah, barulah tabungan boleh difokuskan pada pelaburan saham. Kaedah ini ialah cara konservatif dan selamat untuk memulakan proses pengumpulan aset dan jalan menuju kebebasan kewangan.

Tetapi ada juga pilihan lain bagi anda. Jika anda masih mahu melabur dalam saham anda boleh bahagikan dana kepada dua, iaitu satu untuk beli rumah dan satu untuk melabur saham. 

Dengan cara ini, jika anda meraih untung dalam pasaran saham, maka proses pembelian rumah akan dipercepatkan, tetapi jika anda rugi proses akan dilengahkan, namun perancangan anda tidak begitu terjejas kerana masih ada separuh wang tabungan dan juga dana saham yang lebih kecil.

Jika anda seorang risk taker, anda boleh melabur dalam pasaran saham untuk membeli rumah tetapi cara ini berisiko tinggi. Jika anda untung, rumah sendiri menjadi milik anda dengan cepat tetapi jika rugi, anda mungkin perlu menyewa untuk tempoh yang lama.

Saya telah menggunakan cara kedua, tetapi perlu diingat bahawa walaupun melabur sebahagian daripada wang dalam pasaran saham, tujuan asal saya tetap sama, iaitu membeli rumah sendiri.  Rumah sendiri memberikan ketenangan fikiran terutamanya jika anda sudah berkeluarga.

Sekali lagi saya tekankan, ini pendapat peribadi.  Bila anda membeli rumah atau pangsapuri bergantung pelbagai faktor pasaran tetapi walau apa pun, wang mesti dikumpulkan terlebih dahulu. 

Ada sesetengah orang yang lebih selesa menyewa dan tidak mahu kerenah pemilikan rumah. Terpulang kepada pilihan masing-masing, tetapi bagi saya, rumah sendiri ialah aset paling penting dari pelbagai aspek, bukan sahaja dari sudut kewangan.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

23 Mac, 2015

APM Automotive Kembali Dalam Radar

APM Automotive, yang dimiliki sebahagian besarnya oleh Tan Chong, ialah pengeluar komponen kenderaan terkemuka yang mengilang pelbagai produk termasuk sistem suspensi, alat penyaman udara, sistem elektrikal, kerusi dan juga komponen plastik.
 
Syarikat ini adalah jenama yang terkenal dalam industri kereta dan merupakan pembekal kepada kebanyakan syarikat pengeluar kereta utama. APM Automotive juga telah mengembangkan operasinya di rantau ASEAN.
 
Pada Mac 2012 saya ada menulis tentang saham ini, yang boleh dibeli pada harga lebih kurang RM4.62 pada waktu itu dan saham tersebut telah naik sehingga lebih RM6. 

APM kembali dalam radar saya kerana ia kini memenuhi beberapa kriteria saya sebagai saham undervalued. Berikut adalah prestasi saham sejak 5 tahun lepas.

Bursa Malaysia
 
Pada Jumaat lepas, iaitu 20 Mac, saham ditutup pada harga RM4.42. Berikut adalah data penting tentang APM berasaskan kriteria fundamental yang saya utamakan.
 
shareinvestor.com.my
 
The Edge Markets 
 
The Edge Markets memberikan penarafan Valuation 1.8 / 3 manakala penilaian Fundamental 2.5 / 3 diberikan.
 
Antara sebab saya mula kembali mempertimbangkan APM Automotive ialah seperti berikut:
  1. Nisbah PE telah turun lebih rendah daripada 10. Ini akan rendah bagi syarikat yang boleh dikatakan ada nama.
  2. Harga saham jauh lebih rendah daripada nilai asset bersih
  3. Pulangan dividen memuaskan
  4. Hampir tiada hutang
  5. Syarikat sedang membeli balik saham sendiri
 
Tetapi kelebihan ini perlu diimbangi keadaan berikut:
  1. Kemungkinan pasaran saham secara keseluruhan mengalami fasa penurunan
  2. Untung tahun semasa mungkin lebih rendah
  3. Mungkin perlu menunggu untuk tempoh tertentu sehingga nilai penuh direalisasi daripada saham
Untuk maklumat yang lebih lanjut, saya berikan sedikit latar belakang tentang prestasi masa lepas APM:
 
Laporan Tahunan APM Automotive
 
Kita dapat lihat prestasi masa lepasnya amat kukuh sekali dan saham ini jatuh kerana pendapatan sesaham turun sedikit tahun lepas, dan dijangka tahun ini juga tidak begitu hebat.
 
Tetapi berasaskan rekod cemerlang syarikat, sesiapa yang mempunyai tempoh pelaburan antara 3 hingga 5 tahun boleh mula mempertimbangkan saham ini.
 
Cuma perkara yang perlu diberi perhatian, bagi mereka yang berminat, ialah bila untuk membeli, iaitu sama ada menunggu sehingga harga turun lagi atau mula membeli sekarang.
 
Maklumat tambahan tentang APM juga boleh didapati di laman I3investor.
 
Nota:  Pandangan ini adalah berasaskan keadaan pada masa posting ini ditulis dan mungkin tidak lagi sesuai apabila anda membacanya. Walau apa pun, ini hanya pendapat peribadi penulis dan pembaca perlu membuat penilaian sendiri terhadap apa jua pelaburan. Artikel ini bukan nasihat atau cadangan untuk membeli. Penulis mungkin memiliki atau berminat untuk memiliki saham yang dianalisis dalam blognya.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

16 Mac, 2015

Bill Ackman Menerangkan Tentang Asas Kewangan dan Pelaburan

Walaupun tidak ramai di sini yang mengenali beliau, Bill Ackman ialah seorang pelabur terkemuka di dunia dan CEO Pershing Square Capital Management, sebuah dana lindung nilai (hedge fund) yang menguruskan aset bernilai US$19 bilion.

Beliau telah belajar tentang pelaburan semasa berusia 20an dan baru-baru ini membuat satu pembentangan yang menerangkan tentang konsep syarikat, pelaburan dan kewangan kepada pelabur muda. Saksikan video beliau di hujung artikel ini.

Antara ringkasan daripada video tersebut adalah seperti berikut:

Sembilan Kunci Kejayaan Pelaburan:
  1. Melabur dalam syarikat awam
  2. Fahami cara perniagaan tersebut meraih untung.
  3. Melabur pada harga yang berpatutan
  4. Melabur dalam syarikat boleh boleh beroperasi secara berterusan
  5. Cari syarikat dengan jumlah hutang terhad.
  6. Lihat sama ada terdapat sekatan masuk yang tinggi terhadap perniagan
  7. Melabur dalam syarikat yang dapat menahan faktor luar
  8. Labur dalam syarikat dengan kos pelaburan semula rendah
  9. Elakkan syarikat dengan pemegang saham yang mempunyai pemilikan kawalan terhadap syarikat
Memang sukar untuk memenuhi kesemua kriteria tetapi amat berguna bagi pelabur jika syarikat yang dilaburkan memenuhi sebahagian besar daripada syarat di atas.

Di samping itu, mesej beliau tentang bila untuk melabur adalah sama seperti pandangan yang saya nyatakan dalam buku Panduan Bijak Melabur, iaitu melabur hanya selepas menjelaskan hutang penggunaan dan melabur dengan wang lebihan sahaja.

Bila untuk Melabur?
  1. Apabila anda ada wang yang tidak diperlukan dalam tempoh 5 - 10 tahun.
  2. Selepas membayar hutang kad kredit yang tertunggak
  3. Selepas membayar hutang pendidikan
  4. Selepas mengumpulkan tabungan kecemasan 6 - 12 bulan gaji
Mereka yang ada masa boleh melihat video pembentangan 40 minit beliau di bawah. Ia akan mengubah pandangan anda tentang saham yang dianggap oleh ramai trader sebagai medan spekulasi dan bukannya pemilikan dalam perniagaan:



Bagi mereka yang membaca artikel ringkasan mengenai video ini sila klik Bill Ackman on Finance and Investing.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

10 Mac, 2015

Masa Untuk Letak Nama Besar Dalam Watchlist

Ramai pelabur yang berminat untuk membeli dan memegang saham dengan nama yang kukuh, bermodal besar dan mempunyai pegangan saham institusi dalam portfolio masing-masing.

Tetapi masalahnya bagi value investor (pelabur berasaskan nilai) ialah pada kebanyakan masa, harga saham syarikat yang kukuh dan terkenal agak mahal berbanding nilainya, terutamanya dalam keadaan bull market (pasaran saham sedang meningkat).

Ini kerana ia sentiasa mendapat perhatian para penganalisis dan pelabur besar. Namun begitu, terdapat situasi yang berlaku sekali-sekala di mana suasana ekonomi, industri atau pasaran kurang menarik, dan menjejaskan keuntungan syarikat.

Dalam keadaan inilah nama-nama besar ini boleh dibeli pada harga yang lebih berpatutan. Contoh terbaik ialah selepas krisis kewangan Asia pada 1998 dan juga krisis subprima AS pada 2008.

Suasana ekonomi semasa belum sampai ke tahap serius, tetapi tetap membuka satu atau dua peluang terutamanya dalam sektor minyak dan gas dan komoditi yang telah terjejas teruk.

Bagaimanapun, saya berpendapat lebih banyak peluang dalam sektor lain akan muncul dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Antara nama yang kini saya perhatikan termasuk Aeon, FGV, Tan Chong, UMW Oil & Gas, Petronas Chemicals, Tenaga, MBM Resources dan Gas Malaysia. Apakah nama besar dalam watchlist anda?

Tidak dinafikan ada banyak nama terkenal lain, cuma saya perhatikan saham di atas sebab didapati mula berpatutan dari segi nilai, walaupun sesetengahnya masih agak mahal.

Perlu diingat bahawa dimasukkan dalam watchlist bukan bermakna kita akan beli, cuma kita perhatikan sahaja dan menunggu sehingga ia mematuhi kebanyakan kriteria yang kita tetapkan. 

Apabila memenuhi kebanyakan kriteria kita, barulah kita masukkan dalam buylist, dan seterusnya membeli saham tersebut selepas mengambil kira juga keadaan ekonomi dan pasaran semasa.

Nota:  Untuk kriteria pemilihan saham saya, sila klik artikel Menetapkan Kriteria Pemilihan Saham. Perhatian bahawa kriteria tersebut adalah kriteria peribadi saya, dan pelabur lain menggunakan kriteria lain.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

03 Mac, 2015

Prestasi 50 Tahun Berkshire Hathaway Kendalian Warren Buffett

Pada tahun ini Berkshire Hathaway, syarikat kendalian Warren Buffett, telah menyambut ulang tahun ke-50 sejak syarikat tersebut diambil alih oleh beliau dan sekutunya.

Jika seseorang melabur 50 tahun lepas dalam saham Berkshire Hathaway, anda akan menerima pulangan seperti berikut:

Surat kepada Pemegang Saham Berkshire Hathaway

Pulangan terkompaun yang dicatatkan ialah 21.6%, pulangan yang luar biasa untuk jangka masa yang agak lama. Jika anda melabur $1,000, 50 tahun lepas, nilai pelaburan anda sekarang ialah $17,647,319. Prestasi ini sungguh cemerlang dan membawa manfaat besar kepada para pelabur syarikat tersebut.

Walaupun prestasi secara relatif kepada S&P 500 adalah tidak sehebat pada tahun-tahun sebelum ini, kita perlu sedar bahawa saiz Berkshire adalah amat besar, dan pulangan pada masa depan mungkin sukar menandingi pulangan yang dicatatkan 50 tahun yang lalu.

Setiap tahun, Buffett menulis satu surat yang panjang lebar kepada pemegang saham Berkshire Hathaway menerangkan tentang operasi syarikat dan juga memberikan nasihat pelaburan berguna.

Perkara menarik tentang kandungan surat tersebut ialah ia bukan sahaja menerangkan tentang kejayaan tetapi kesilapan besar yang pernah dibuat dan terus dilakukannya dalam pelaburan. Kejujuran dan ketelusan ini yang membezakan beliau daripada yang lain.

Surat tersebut boleh dibaca di sini. Malah surat beliau pada tahun-tahun lepas juga boleh dikaji dan dipelajari.

Berikut adalah beberapa petikan dari surat bagi tahun kewangan 2014:

"Apabila membeli saham, Berkshire memilih syarikat yang:
  • Menunjukkan kuasa pendapatan konsisten (kami tidak berminat dalam unjuran masa depan atau situasi pemulihan)
  • Perniagaan dengan pulangan atas ekuiti yang tinggi sambil mempunyai sedikit atau tiada hutang
  • Pengurusan yang mampan (sebab kami tidak dapat menyediakannya)
  • Perniagaan ringkas (jika melibatkan banyak teknologi, kami mungkin tak faham)"

"Walaupun Charlie (Munger) dan saya menakankan nilai perniagaan intrinsik (asas), kita tidak boleh memberikan angka tepat bagi nilai tersebut untuk saham Berkshire (atau mana-mana saham lain)."

"Kelemahan utama membeli saham sederhana pada harga rendah ialah ia hanya boleh dilakukan sehingga tahap tertentu. Dengan jumlah wang yang besar, kaedah ini tidak begitu berkesan."

"Beli saham berkualiti pada harga yang berpatutan."

"Harga saham adalah jauh lebih volatile daripada tunai dan instrumen setaranya. Bagaimanapun, dalam jangka panjang, instrumen berasaskan tunai adalah pelaburan yang jauh lebih berisko berbanding portfolio saham yang terpelbagai yang dibeli secara beransur-ansur dengan yuran dan komisen yang kecil."

"Tetapi melabur dalam saham untuk tempoh satu hari, satu minggu atau satu tahun mempunyai risiko lebih tinggi,"

Nota: Charlie Munger ialah orang kanan Warren Buffett.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.