03 Mac, 2015

Prestasi 50 Tahun Berkshire Hathaway Kendalian Warren Buffett

Pada tahun ini Berkshire Hathaway, syarikat kendalian Warren Buffett, telah menyambut ulang tahun ke-50 sejak syarikat tersebut diambil alih oleh beliau dan sekutunya.

Jika seseorang melabur 50 tahun lepas dalam saham Berkshire Hathaway, anda akan menerima pulangan seperti berikut:

Surat kepada Pemegang Saham Berkshire Hathaway

Pulangan terkompaun yang dicatatkan ialah 21.6%, pulangan yang luar biasa untuk jangka masa yang agak lama. Jika anda melabur $1,000, 50 tahun lepas, nilai pelaburan anda sekarang ialah $17,647,319. Prestasi ini sungguh cemerlang dan membawa manfaat besar kepada para pelabur syarikat tersebut.

Walaupun prestasi secara relatif kepada S&P 500 adalah tidak sehebat pada tahun-tahun sebelum ini, kita perlu sedar bahawa saiz Berkshire adalah amat besar, dan pulangan pada masa depan mungkin sukar menandingi pulangan yang dicatatkan 50 tahun yang lalu.

Setiap tahun, Buffett menulis satu surat yang panjang lebar kepada pemegang saham Berkshire Hathaway menerangkan tentang operasi syarikat dan juga memberikan nasihat pelaburan berguna.

Perkara menarik tentang kandungan surat tersebut ialah ia bukan sahaja menerangkan tentang kejayaan tetapi kesilapan besar yang pernah dibuat dan terus dilakukannya dalam pelaburan. Kejujuran dan ketelusan ini yang membezakan beliau daripada yang lain.

Surat tersebut boleh dibaca di sini. Malah surat beliau pada tahun-tahun lepas juga boleh dikaji dan dipelajari.

Berikut adalah beberapa petikan dari surat bagi tahun kewangan 2014:

"Apabila membeli saham, Berkshire memilih syarikat yang:
  • Menunjukkan kuasa pendapatan konsisten (kami tidak berminat dalam unjuran masa depan atau situasi pemulihan)
  • Perniagaan dengan pulangan atas ekuiti yang tinggi sambil mempunyai sedikit atau tiada hutang
  • Pengurusan yang mampan (sebab kami tidak dapat menyediakannya)
  • Perniagaan ringkas (jika melibatkan banyak teknologi, kami mungkin tak faham)"

"Walaupun Charlie (Munger) dan saya menakankan nilai perniagaan intrinsik (asas), kita tidak boleh memberikan angka tepat bagi nilai tersebut untuk saham Berkshire (atau mana-mana saham lain)."

"Kelemahan utama membeli saham sederhana pada harga rendah ialah ia hanya boleh dilakukan sehingga tahap tertentu. Dengan jumlah wang yang besar, kaedah ini tidak begitu berkesan."

"Beli saham berkualiti pada harga yang berpatutan."

"Harga saham adalah jauh lebih volatile daripada tunai dan instrumen setaranya. Bagaimanapun, dalam jangka panjang, instrumen berasaskan tunai adalah pelaburan yang jauh lebih berisko berbanding portfolio saham yang terpelbagai yang dibeli secara beransur-ansur dengan yuran dan komisen yang kecil."

"Tetapi melabur dalam saham untuk tempoh satu hari, satu minggu atau satu tahun mempunyai risiko lebih tinggi,"

Nota: Charlie Munger ialah orang kanan Warren Buffett.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Tiada ulasan: