23 Februari, 2015

Membina Aset Bahagian 3: Mengenali Tiga Jenis Aset Yang Berbeza

Apakah jenis aset yang patut anda miliki? Adakah perlu cuba memiliki semua jenis aset?

Pertama sekali, sebelum mengumpulkan aset anda perlu mengenali jenis-jenis aset dan cirinya untuk memahami apakah kelebihan dan kelemahannya, di samping risiko dan pulangannya. Aset boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

a) Aset yang menjana pulangan

Aset yang menjana pulangan ialah aset yang meraih nilai daripada dua faktor, iaitu bekalan dan permintaan dan juga pendapatan yang dihasilkan. Beberapa jenis aset yang menjana pulangan termasuk tunai tabungan, hartanah dan tanah sewa, unit amanah dan saham.

Perlu diingat bahawa kebanyakan aset ini mempunyai nilai yang boleh turun naik, pada kadar yang berbeza. Ini juga bermakna masing-masing mempunyai risiko yang tersendiri.

Tunai (dalam Ringgit) mempunyai nilai yang tetap secara nominal, tetapi secara relatif ia berubah berbanding mata wang lain. Nilainya berpotensi dihakis akibat inflasi dan pulangan daripada simpanan tunai lazimnya paling rendah seiring dengan risikonya yang rendah.

Hartanah dan tanah yang disewakan pula berpotensi menjana pulangan daripada sewa yang berlainan bergantung kepada lokasi dan keadaannya. Tetapi berbeza daripada tunai, terdapat potensi kenaikan dan penurunan harga hartanah. Cuma dalam jangka panjang, harga lazimnya meningkat.

Unit amanah pula mempunyai harga yang berubah-ubah setiap hari, dan pendapatan dijana menerusi untung yang dihasilkan oleh syarikat yang dilaburkan oleh dana unit amanah, menerusi peningkatan nilainya. Nilai unit amanah juga boleh merosot dalam keadaan pasaran yang mencabar, tetapi tahap turun naiknya tidak ketara seperti membeli saham individu.

Pulangan saham pula dihasilkan daripada untung yang dihasilkan oleh syarikat. Untung ini dibayar balik menerusi dividen atau disimpan dalam syarikat yang meningkatkan nilai aset bersih syarikat. Tetapi saham mempunyai ciri yang paling tidak stabil (volatile) dalam senarai pilihan aset kerana penurunan dan kenaikan harganya yang boleh berlaku dengan ketara.

Kesimpulannya, pelabur perlu mengetahui pulangan yang munasabah yang boleh diperolehi daripada setiap aset dan kesanggupannya untuk menanggung risiko sebelum menentukan aset mana yang patut diutamakan.

b) Aset yang nilainya bergantung kepada bekalan dan permintaan

Satu lagi jenis aset ialah aset yang nilainya bergantung kepada bekalan dan permintaan. Ini bermakna ia tidak mencipta sebarang nilai tambahan atau mempunyai kegunaan melainkan permintaan yang wujud terhadapnya.

Aset seperti ini termasuk jongkong dan syiling emas dan perak, koleksi lukisan dan bahan koleksi lain, barangan kemas dan item sepertinya.

Jika anda melabur dalam aset sedemikian, anda bergantung semata-mata kepada keadaan pasaran bagi aset tersebut. Ini bermakna anda perlu bijak membeli pada harga yang rendah dan menjual pada harga yang tinggi.

Biasanya penjual aset seperti akan mendakwa bahawa harga aset pasti akan meningkat. Dalam jangka panjang mungkin ya tetapi kenaikan dan penurunan nilai boleh berlaku dalam jangka pendek dan pertengahan. Selain itu, anda tetap perlu membayar zakat walaupun aset tidak menjana keuntungan atau membayar dividen.

Tiada penciptaan nilai berlaku apabila membeli dan memegang aset ini sebagai pelaburan. Jika anda benar-benar berminat, pastikan anda mengkaji dan menguasai trend harga dan faktor yang mendorong permintaan dan bekalan untuk meraih untung daripadanya.

c) Aset yang menyusut nilainya

Aset yang menyusut nilainya ialah aset yang sering kali menimbulkan masalah kepada orang yang membelinya pada harga yang terlalu tinggi. Banyak aset yang menyusut nilainya dikaitkan dengan prestij. Contohnya seperti kereta, perabot, televisyen, telefon bimbit, jam tangan, baju dan kasut.

Sesetengah aset ini dibeli dengan hutang. Perlu diingat nilai hutang tetap sama tetapi nilai aset akan menyusut. Inilah yang menimbulkan masalah. Kebanyakan orang mengukur kemampuan bukan berasaskan nilai aset yang mereka ada, tetapi berdasarkan pendapatan yang mereka raih. Tetapi lebih tinggi pendapatan, lebih tinggi kapasiti untuk berhutang.

Walaupun penting kerana mempunyai nilai gunaan, kita tidak boleh mengambil kira aset ini dalam proses pembinaan aset. Sebaliknya anggap sebagai barangan kegunaan yang perlu digantikan apabila ia luput. Justeru, amat penting agar kita berbelanja secara sederhana ke atas aset ini dan membeli di bawah tahap kemampuan kita. Kalau boleh gunakan tunai dan bukannya berhutang.

Mereka yang bijak dari segi kewangan akan mementingkan fungsi yang dimainkan dan membeli barangan yang memberikan keseimbangan terbaik antara nilai dan fungsi.

Kesimpulan

Keutamaan harus diberikan kepada aset yang menjana pendapatan, kerana aset inilah yang berpotensi untuk beransur-ansur membawa anda ke arah kebebasan kewangan. Tetapi anda juga perlu berwaspada. Ada sesetengah aset dengan ciri yang begitu tidak stabil harganya sehingga boleh menimbulkan kerugian besar terhadap anda. 

Apabila mengumpulkan aset, ilmu dan minat amat penting. Tumpukan terhadap aset di mana anda berminat terhadapnya dan mempunyai ilmu atau sanggup menimba ilmu untuk mempelajari selok-belok pelaburannya.

Jangan membabitkan diri dalam terlalu banyak jenis aset berbeza tetapi semuanya dimiliki dalam jumlah kecil sehingga anda pening kepala menguruskan semua. Walaupun begitu, aset masih perlu dipelbagaikan (diversification) untuk mengurangkan risiko berlaku kemerosotan nilai sesuatu aset.

Buat pemilihan aset berasaskan minat dan sikap anda terhadap risiko, bukan kerana ia pelaburan yang sedang hangat atau orang lain berpendapat ia mampu memberikan pulangan lumayan.


Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

Tiada ulasan: