10 Mac, 2015

Masa Untuk Letak Nama Besar Dalam Watchlist

Ramai pelabur yang berminat untuk membeli dan memegang saham dengan nama yang kukuh, bermodal besar dan mempunyai pegangan saham institusi dalam portfolio masing-masing.

Tetapi masalahnya bagi value investor (pelabur berasaskan nilai) ialah pada kebanyakan masa, harga saham syarikat yang kukuh dan terkenal agak mahal berbanding nilainya, terutamanya dalam keadaan bull market (pasaran saham sedang meningkat).

Ini kerana ia sentiasa mendapat perhatian para penganalisis dan pelabur besar. Namun begitu, terdapat situasi yang berlaku sekali-sekala di mana suasana ekonomi, industri atau pasaran kurang menarik, dan menjejaskan keuntungan syarikat.

Dalam keadaan inilah nama-nama besar ini boleh dibeli pada harga yang lebih berpatutan. Contoh terbaik ialah selepas krisis kewangan Asia pada 1998 dan juga krisis subprima AS pada 2008.

Suasana ekonomi semasa belum sampai ke tahap serius, tetapi tetap membuka satu atau dua peluang terutamanya dalam sektor minyak dan gas dan komoditi yang telah terjejas teruk.

Bagaimanapun, saya berpendapat lebih banyak peluang dalam sektor lain akan muncul dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Antara nama yang kini saya perhatikan termasuk Aeon, FGV, Tan Chong, UMW Oil & Gas, Petronas Chemicals, Tenaga, MBM Resources dan Gas Malaysia. Apakah nama besar dalam watchlist anda?

Tidak dinafikan ada banyak nama terkenal lain, cuma saya perhatikan saham di atas sebab didapati mula berpatutan dari segi nilai, walaupun sesetengahnya masih agak mahal.

Perlu diingat bahawa dimasukkan dalam watchlist bukan bermakna kita akan beli, cuma kita perhatikan sahaja dan menunggu sehingga ia mematuhi kebanyakan kriteria yang kita tetapkan. 

Apabila memenuhi kebanyakan kriteria kita, barulah kita masukkan dalam buylist, dan seterusnya membeli saham tersebut selepas mengambil kira juga keadaan ekonomi dan pasaran semasa.

Nota:  Untuk kriteria pemilihan saham saya, sila klik artikel Menetapkan Kriteria Pemilihan Saham. Perhatian bahawa kriteria tersebut adalah kriteria peribadi saya, dan pelabur lain menggunakan kriteria lain.

Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

top of the list - tenaga

fgv??

mcm poor managament je company ni

Unknown berkata...

Bila harganya cukup rendah dan harga minyak sawit mentah Nampak akan naik dan semua berita negative telah keluar...itulah masanya untuk beli