Jawapan yang saya berikan hanyalah pandangan peribadi.
Langkah pertama ialah membina simpanan kecemasan antara 3 - 6 bulan gaji terlebih dahulu. Selepas itu, fokus pertama anda seharusnya menabung untuk membeli rumah. Bagi saya rumah sendiri adalah sesuatu yang sangat penting, lebih penting daripada kereta atau aset lain. Ia merupakan satu keperluan asas manusia.
Malah pelabur saham terkenal Peter Lynch pun berkata anda patut beli rumah dahulu. Bila anda membeli boleh disesuaikan mengikut keadaan pasaran, tetapi usaha membina tabungan untuk membayar wang pendahuluan harus dimulakan dan disempurnakan.
Selepas membeli rumah, barulah tabungan boleh difokuskan pada pelaburan saham. Kaedah ini ialah cara konservatif dan selamat untuk memulakan proses pengumpulan aset dan jalan menuju kebebasan kewangan.
Tetapi ada juga pilihan lain bagi anda. Jika anda masih mahu melabur dalam saham anda boleh bahagikan dana kepada dua, iaitu satu untuk beli rumah dan satu untuk melabur saham.
Dengan cara ini, jika anda meraih untung dalam pasaran saham, maka proses pembelian rumah akan dipercepatkan, tetapi jika anda rugi proses akan dilengahkan, namun perancangan anda tidak begitu terjejas kerana masih ada separuh wang tabungan dan juga dana saham yang lebih kecil.
Jika anda seorang risk taker, anda boleh melabur dalam pasaran saham untuk membeli rumah tetapi cara ini berisiko tinggi. Jika anda untung, rumah sendiri menjadi milik anda dengan cepat tetapi jika rugi, anda mungkin perlu menyewa untuk tempoh yang lama.
Saya telah menggunakan cara kedua, tetapi perlu diingat bahawa walaupun melabur sebahagian daripada wang dalam pasaran saham, tujuan asal saya tetap sama, iaitu membeli rumah sendiri. Rumah sendiri memberikan ketenangan fikiran terutamanya jika anda sudah berkeluarga.
Sekali lagi saya tekankan, ini pendapat peribadi. Bila anda membeli rumah atau pangsapuri bergantung pelbagai faktor pasaran tetapi walau apa pun, wang mesti dikumpulkan terlebih dahulu.
Ada sesetengah orang yang lebih selesa menyewa dan tidak mahu kerenah pemilikan rumah. Terpulang kepada pilihan masing-masing, tetapi bagi saya, rumah sendiri ialah aset paling penting dari pelbagai aspek, bukan sahaja dari sudut kewangan.
Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.