Sudah berulang kali drama tersebut dimainkan, dan penghujungnya ialah ramai orang biasa yang rugi. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kecuali diri sendiri kerana melepaskan wang dengan mudah tanpa melakukan due diligence (penyiasatan wajar).
Jika melabur dalam saham, satu kaedah penilaian yang utama ialah membaca laporan tahunan syarikat. Jika melabur dalam unit amanah, anda boleh meminta prospektus dana dan juga meninjau prestasi masa lalu dana terkhusus yang disasarkan.
Persoalannya ialah apabila ada pihak yang meminta anda melabur atau melibatkan diri dalam pelbagai skim yang menjanjikan pulangan lumayan, mengapa anda tidak meminta penyata kewangan syarikat atau sekurang-kurangnya rekod pencapaian pelaburan operasi tersebut?
Memandangkan skim tersebut menjanjikan pulangan hebat, sepatutnya ia tiada masalah untuk menunjukkan penyata kewangannya. Satu pengecualian ialah jika anda melabur dalam syarikat baru ditubuhkan.
Tetapi lazimnya syarikat baru ditubuhkan tidak akan menjanjikan pulangan lumayan di peringkat awal dan dalam kes ini pun, anda patut meminta business plan atau rancangan perniagaan.
Minta penyata kewangan dan lihat apa reaksi mereka. Reaksi tersebut sahaja sudah pasti boleh menentukan sama skim tersebut meragukan atau tidak, sebelum anda membaca dan meneliti kandungannya.
Selain daripada meminta penyata kewangan, anda banyak cara lain untuk mengesan skim cepat kaya yang sudah banyak kali dipaparkan oleh pelbagai pihak yang prihatin dan mahu menyelamatkan mangsa. Saya juga telah menulis tentang perkara ini dalam beberapa posting.
Saya senaraikan sekali lagi cara mengesan skim cepat kaya di bawah:
- Anda perlu menyerahkan wang anda kepada orang yang melaburkan wang tersebut. Dalam pelaburan unit amanah umpamanya, ada pihak ketiga yang dinamakan pemegang amanah yang memegang aset anda untuk mengelakkan penipuan.
- Pulangan yang tinggi dan konsisten. Tiada siapa yang boleh menjanjikan pulangan tinggi yang tetap. Memang menjadi lumrah pelaburan bahawa pulangan adalah tidak tetap dan kadangkala berlaku kerugian. Malah skim ASB pun tidak menjanjikan pulangan tetap.
- Strategi pelaburan atau perdagangan sukar difahami dan berbelit-belit.
- Pelabur tidak digalakkan unutk membuat due diligence dan diminta melabur berasaskan kepercayaan.
- Perlu mendapatkan downline untuk menerima pulangan, tetapi ia bukan perniagaan MLM.
- Tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
- Sukar untuk mengetahui siapa penganjur utama skim. Anda lebih kerap berurusan dengan perantara.
Jika mereka tidak mempunyai akaun atau rekod pelaburan, yang merupakan satu perkara wajib dalam urusan perniagaan dan pelaburan, bagaimana mereka boleh mengendalikan skim yang sahih?
Nota: Maklumat yang saya sampaikan ini bukan baru. Dah lama ada. Bacalah buku Ken Fisher (How to Smell a Rat) atau tulisan Azizi Ali, atau seruan Tuan Afyan Mat Rawi dalam laman FBnya atau mana-mana pakar kewangan yang berwibawa. Saya pun pernah menulis beberapa catatan blog mengenainya. Tapi ramai orang tak peduli dan tak ambil peduli, dan tak faham dan tak mahu faham cara perniagaan dan pelaburan sebenar berfungsi.
2 ulasan:
Macam mface, tuan? hehehe
Padan muka mereka biarkan mereka melingkop
Catat Ulasan