Jangan putus asa, selagi ada kudrat dan daya fikiran, aset yang hilang boleh diperolehi kembali, yang musnah boleh dibina semula
Situasi semasa amat runcing bagi ramai penduduk di negeri di Pantai Timur dan Utara yang mengalami kesan banjir paling dahsyat dalam hidup kebanyakan mangsa.
Dalam keadaan ini mungkin ramai yang sedih dengan keadaan yang dihadapi. Namun begitu, bagi sebahagian besar daripada mangsa, mereka masih ada daya fikiran dan kekuatan fizikal. Dua aset ini, berbeza daripada segala aset lain yang hilang, ialah yang paling berharga.
Jika fikiran buntu dan asyik fokus kepada apa yang hilang sahaja, ini bermakna kita putus harapan. Sedangkan harapanlah adalah pencetus utama yang boleh merangsang fikiran dan kekuatan fizikal untuk bangkit kembali.
Beberapa hari lepas di Kuala Lumpur pun, sepanjang hari tidak ada satu ruang di langit yang tidak dilitupi awan. Tetapi sebagai seorang yang telah agak lama juga di bumi, saya tahu matahari akan bersinar kembali.
Saya lihat ramai di media sosial yang cuba mencari kesalahan itu dan ini. Seolah-olah perancangan boleh dibuat untuk keadaan luar biasa seperti ini. Memang tidak dinafikan bahawa perancangan lebih baik dan pemuliharaan alam sekitar boleh mengurangkan sedikit kesannya.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa lama dulu pun banjir besar pernah berlaku, sebelum ada sebarang pembangunan. Bagaimana untuk mencari kesalahan bagi bah besar yang berlaku pada masa lepas?
Ada perkara dalam hidup yang tidak dapat dirancang dan dielakkan. Itu takdir Ilahi dan ketentuannya. Yang menentukan perwatakan atau karakter kita di mata saya ialah bukan kekayaan anda atau kejayaan anda tetapi cara anda menghadapi bencana atau perkara di luar dugaan dalam hidup anda.
Lupakan kerugian yang dialami, lihat apa yang anda ada dan mulakan dari situ. Minta bantuan dan peruntukan yang sewajarnya kerana rakyat Malaysia amat pemurah dari segi sumbangan tenaga dan juga harta-benda.
Bila matahari bersinar kembali, tiba masanya untuk membersihkan kawasan dan mula menyemai harapan dan membina semula kehidupan.
Saya pasti anda akan berjaya, tidak kiralah sama ada musibah yang anda hadapi ialah banjir atau perkara lain seperti masalah kewangan atau hutang.
Seperti kata pepatah Inggeris, "What doesn't kill you will make you stronger". Yakinlah, matahari akan bersinar kembali.
Nota: Terima kasih kepada semua wira yang telah memberikan bantuan sama ada dari segi tenaga atau pun wang ringgit. Saya kagum dengan kemurahan hati anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan