26 Oktober, 2014

Menguruskan Portfolio Saham Anda

Uruskan pelaburan anda dengan teliti dan simpan rekod dan catatan yang lengkap untuk mengira untung rugi bagi seluruh operasi saham anda, bukannya mengira secara ad hoc

Ramai pelabur saham, terutamanya pelabur baru, melabur dalam pasaran saham dengan mengira untung rugi saham individu yang dilaburkan sahaja dan tidak menjejak operasi pelaburan secara keseluruhannya.

Jika anda seorang pelabur yang serius tentang pelaburan, berikut adalah beberapa cadangan untuk menguruskan pelaburan anda sebagai satu portfolio.

1. Tentukan berapakah wang yang ingin anda laburkan. Contohnya RM50,000. Wang ini tidak patut digunakan untuk tujuan lain dan anda tidak bercadang untuk mengeluarkannya dalam tempoh terdekat.

2. Tetapkan berapakah peratus maksimum yang anda patut pegang untuk setiap saham. Contohnya jika 20%, ini bermakna anda hanya memperuntukkan maksimum RM10,000 untuk membeli satu saham dan tidak lebih daripada itu. Tujuannya ialah untuk mengelakkan pendedahan terlalu besar kepada satu saham.

3.  Jika kenaikan harga berlaku dan satu saham melebihi tahap tersebut, anda boleh terus pegang sehinggalah anda membuat keputusan untuk menjualnya atau anda boleh jual sedikit sehingga ia turun kembali kepada peratus yang ditetapkan. Ini bergantung pada budi bicara anda.

4.  Berasaskan keadaan pasaran saham secara keseluruhan dan juga situasi ekonomi, tentukan berapa banyak tunai dan berapa banyak saham yang hendak dipegang. Biasanya dalam pasaran di mana banyak saham adalah undervalued, tambahkan pegangan saham. Dalam keadaan pasaran amat tinggi, maka tambah pegangan tunai. Tunai tersebut adalah sebahagian daripada portfolio anda.

5.  Simpan semua rekod urus niaga dan catatkan di dalam spreadsheet. Dividen yang diterima daripada saham juga patut dicatatkan. Pulangan keseluruhan bagi saham tersebut ialah untung + dividen. Berikut adalah contoh pengiraan.


6. Pada akhir setiap tahun, tentukan nilai pegangan saham anda berasaskan harga saham pada akhir tahun, kemudian campur dengan pegangan tunai. Bandingkannya dengan nilai pada tahun lepas dan anda akan memperolehi pulangan portfolio anda untuk tahun tersebut.

7.  Selepas beberapa tahun, anda boleh mengira pulangan terkompaun tahunan anda (annualised return atau compounded return) untuk menilai prestasi anda berbanding FBMKLCI, FBM Emas Shariah, Dana Unit Amanah, ASB dan Tabung Haji.

Dengan cara ini, anda sentiasa mempunyai gambaran tepat tentang kedudukan portfolio anda, dan turut mengambil kira kerugian anda. Ini membuatkan anda sedar bahawa walaupun anda mencatatkan untung hebat untuk beberapa saham, tetapi anda rugi dalam saham lain menyebabkan untung portfolio anda lebih sederhana.

Dengan pengiraan yang teliti, anda boleh membuat penilaian jujur terhadap diri sendiri dan mendapatkan gambaran yang tepat tentang keupayaan anda untuk melabur.

1 ulasan:

arbain berkata...

Terima kasih, tuan. Saya sgt2 menghargai di atas perkongsian ini.