03 Januari, 2014

Prestasi Pasaran Saham Pada 2013

Kenaikan memberangsangkan dari segenap segi tetapi tiada jaminan keputusan boleh diulangi pada tahun 2014

Pasaran saham telah mencatatkan prestasi yang sungguh cemerlang pada tahun 2013, dengan kebanyakan indeks meningkat lebih dua angka.

Indeks utama BSKL, iaitu FBM KLCI, telah naik 10.54% (dari harga penutup 31 Dis 2012 ke 31 Dis 2013)  pada tahun 2013, seperti yang ditunjukkan daripada graf di bawah. 

Yahoo Finance

Sementara itu, indeks FBM Emas Syariah pula mencatatkan prestasi yang lebih memberangsangkan, apabila mencatatkan kenaikan 13.30%. Bagi pelabur yang melabur berasaskan syariah, inilah indeks yang patut menjadi penanda aras prestasi pelaburan anda.

Shareinvestor.com.my

Tetapi prestasi paling cemerlang ditunjukkan oleh FBM Small Cap, yang mencatatkan kenaikan cemerlang sebanyak 36.74%.  FBM Small Cap merangkumi hampir semua saham selain daripada 100 saham bermodal terbesar.

Shareinvestor.com.my

Ternyata tahun 2013 merupakan tahun cemerlang bagi mereka yang memegang saham bermodal kecil, memandangkan prestasinya pada tahun 2012 adalah kurang menarik.

Saya ada menulis tentang perbezaan ketara antara indeks komposit FBM KLCI dan juga FBM Small Cap pada hujung tahun 2012 dalam artikel bertajuk Jurang Besar Antara FBM KLCI dan FBM Small Cap pada 7 Nov 2012.

Jelas bahawa jurang prestasi tersebut telah dirapatkan tahun 2013 apabila FBM Small Cap mencatatkan kenaikan yang amat ketara.

Secara keseluruhannya untuk tempoh 2 tahun, iaitu pada 2012 dan 2013, hampir semua sektor pasaran telah mencatatkan kenaikan yang sangat memuaskan.

Persoalan sama ada kenaikan boleh diteruskan pada 2014 amat bergantung kepada sama ada syarikat-syarikat dapat menambah untung pada tahun ini, untuk menyokong tahap harga semasa yang agak tinggi.

Masalah sekarang ini ialah pasaran telah naik dengan ketara dalam tempoh lima tahun lepas dan berada pada P/E yang lebih tinggi daripada purata. Ini menunjukkan ia mungkin menghadapi masalah untuk naik lagi.

Tetapi ekonomi pula tidak nampak seperti akan mengalami sebarang kemelesetan ketara, dan dijangka berkembang pada kadar sederhana. Ini menjadikannya amat sukar untuk meramalkan hala tuju pasaran.

Saya berpendapat bahawa pada tahun 2014 seorang value investor perlu bekerja keras untuk mencari saham yang undervalued kerana tidak banyak peluang yang muncul pada paras harga yang tinggi ini.

Di samping itu, pelabur perlu berhati-hati dan memantau sebarang perkembangan negatif yang boleh menjejaskan keuntungan syarikat atau pasaran saham secara keseluruhannya.

Nota: Untuk bacaan lanjut tentang prestasi pasaran dan saham pada 2013, sila baca artikel berikut bertajuk FBM KLCI Beats Expectations di akhbar The Star Online.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SALAM.

boleh tuan komen mengenai I REITs?
AXIS ReitS ketika ini PE ratio adalah 10, dan purata income distribution adalah 4x setahun.adakah company ini sesuai utk dimasuki dlm mase terdekat?

terima kasih.

Unknown berkata...

Saya tidak melabur dalam REIT, tetapi saya tahu bahawa AXIS REIT ini amat kukuh pengurusannya.

Cuma masalahnya ialah terdapat ketidakpastian terhadap pasaran hartanah dalam tempoh satu dua tahun ini.

Justeru Tuan perlu mengimbangi kekuatan REIT ini dengan tinjauan pasaran hartanah semasa dan menentukan harga sasaran untuk dibeli.

Tanpa Nama berkata...

terima kasih tuan.sy agak berminat kerana dr hasil pmbacaan, syarikat REIT perlu mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada hasil keuntungan kepada para pelabur. terima kasih atas jawapan tuan..=)